peranti elektronik From Wikipedia, the free encyclopedia
Fon kepala merupakan sepasang pembesar suara kecil yang dilekapkan pada telinga pengguna serta disambungkan ke punca isyarat audio seperti penguat audio, radio ataupun pemain CD. Ia juga dikenali dengan nama-nama seperti fon telinga dan set kepala.
Fon telinga telefon seperti di gambar sebelah kanan ini adalah lazim pada awal abad ke-20. Daripada fon telinga telefon tersebut maka lahirlah fon kepala. Fon kepala yang sensitif merupakan satu-satunya cara bagi mendengar isyarat audio sebelum penguat audio mula dibangunkan.[1]
Fon kepala yang sangat sensitif seperti keluaran Brandes sekitar 1919 lazimnya digunakan bagi kerja-kerja radio terawal. Fon kepala terawal tersebut menggunakan pemacu besi boleh gerak. Keperluan bagi tahap kepekaan yang tinggi bermaksud tiada lembapan audio digunakan, maka kualiti suara pada ketika itu agak kasar. Ia juga kurang selesa berbanding fon kepala moden, biasanya tiada pelapik dan selalunya perlu diapitkan dengan kuat pada kepala. Kadar galangan adalah sekitar 1,000 hingga 2,000 ohm, yang serasi dengan set triod dan hablur.
Apabila digunakan pada radio terawal, fon kepala tersebut biasanya disambungkan ke terminal positif voltan tinggi bateri, manakala terminal negatif pula dibumikan. Penggunaan sambungan elektrik yang kurang kemas pada zaman tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko renjatan elektrik sekiranya mereka menyentuh fon kepala bagi memperbetulkan keadaan yang kurang selesa.
Fon kepala boleh digunakan pada peralatan tetap seperti pemain CD atau DVD, sistem teater rumah, komputer peribadi serta peralatan mudah alih seperti pemain MP3 dan telefon bimbit. Fon kepala digunakan secara meluas untuk mendengar punca audio bagi tujuan hiburan dan rekreasi. Dalam sektor audio profesional pula fon kepala digunakan pada situasi secara langsung seperti pengacara lagu (DJ) dengan pencampur DJ serta jurutera bunyi bagi tujuan memantau punca isyarat audio. Di stesen radio pula, DJ menggunakan sepasang fon kepala sambil bercakap melalui mikrofon sambil pembesar suara dimatikan, bagi menghapuskan tindak balas akustik serta untuk memantau suara masing-masing. Di studio rakaman pula, penyanyi dan pemuzik menggunakan fon telinga untuk merakam suara untuk dimainkan bersama runut latar. Di bidang ketenteraan pula, isyarat suara dari pelbagai jenis dipantau menggunakan fon kepala.
Fon kepala berwayar dipasang pada punca audio. Penyambung yang paling lazim ialah jenis plag dan soket 1/4" dan 3.5 mm stereo. Piawaian 1/4" yang lama digunakan pada peralatan profesional, dan biasanya digunakan pada peralatan tetap. Sony memperkenalkan penyambung stereo "mini" 3.5 mm yang lebih kecil, lebih murah dan kini digunakan secara meluas, serta membolehkan plag 3.5 mm mono digunakan pada barisan pemain kaset stereo Walkman. Penyuai bagi sambungan antara peralatan 1/4" dan 3.5 mm boleh didapati secara meluas.
Fon kepala terdiri daripada 3 jenis utama iaitu jenis cawan telinga (earcup), fon telinga (earphone) dan fon salur telinga (canalphone).
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.