daerah Melayu Kelantan di Terengganu, Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Besut ialah sebuah daerah di utara Terengganu, Malaysia. Daerah ini bersempadan negeri dengan daerah Pasir Puteh, Kelantan di utara manakala di selatan bersempadan dengan daerah Hulu Terengganu, Setiu dan Laut China Selatan di timur. Ibu daerah Besut ialah Jerteh sementara pusat pentadbiran ialah di Kampung Raja dan pusat pelabuhan ikan adalah di Kuala Besut. Daerah ini mempunyai keluasan 123,367.8 hektar (304,848 ekar)[1] dan penduduk seramai 154,168 pada tahun 2020.
Besut | |
---|---|
Daerah Besut | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Terengganu |
Pihak berkuasa tempatan | Majlis Daerah Besut |
Pentadbiran | |
• Yang Dipertua | Abdul Rasid bin Jusoh |
Keluasan | |
• Jumlah | 123,367.8 ha (304,848.5 ekar) |
• Kawasan majlis | 73.82 km2 (28.50 batu persegi) |
Penduduk (2020)[3] | |
• Jumlah | 154,168 |
• Kepadatan | 120/km2 (320/batu persegi) |
• Kawasan majlis | 154,168 |
• Kepadatan Kawasan majlis | 2,100/km2 (5,400/batu persegi) |
Poskod | 22+++ |
Laman sesawang | Majlis Daerah Besut Pejabat Daerah dan Tanah Besut |
Nama Besut ini dipercayai berasal daripada kata Siam yang bermaksud "Daerah Pengakhiran" iaitu BE bermaksud "daerah" dan SUT bermaksud "hujung" atau "pengakhiran" sesuai dengan namanya yang merupakan kawasan yang paling hujung pemerintahan Kerajaan Patani yang bernaung dibawah Siam.
Versi lain pula menyatakan bahawa nama Besut daripada nama Ketua Lanun dari kalangan Orang Darat, mereka sangat ganas dan kejam sehingga tidak ramai yang tinggal di kawasan tersebut. Ketua Lanun itu bergelar "Besut" juga dikenali sebagai Raja Sang Nyana, setelah kematian beliau, kumpulan Orang Darat tersebut menggelar tempat tinggal mereka itu sempena nama Raja mereka. Ada juga yang mengatakan bahawa nama "Besut" berasal daripada nama Ketua kampung orang asli di kawasan tersebut.
Besut pada asalnya merupakan tanah milik Kesultanan Kelantan-Patani. Hal ini dapat dibuktikan melalui zaman pemerintahan Raja Sakti I dari Kelantan yang mengabungkan Patani dibawah pengaruh pentadbirannya apabila Ratu Kuning dari Patani sudah wafat dan tidak memiliki waris manakala Terengganu pula bernaung dibawah Kelantan-Patani. Penguasaan Kelantan keatas Besut hanyalah berlama 161 tahun sahaja apabila Kesultanan Patani diserang oleh Siam pada tahun 1780 yang menyebabkan Kelantan berpecah belah menjadi dua blok iaitu Kelantan Timur dan Kelantan Barat manakala Terengganu telah melarikan diri dan bernaung dengan Kesultanan Pahang dan Johor.
Setelah keruntuhan Negara Patani Besar, Terengganu telah mengunakan peluang untuk menguasai tanah Kelantan yang waktu itu berpecah belah. Terengganu dengan bantuan Long Yunus akhirnya berjaya menyatukan Kelantan dan Long Yunus menaiki takhta sebagai Raja Kelantan dibawah pengaruh Terengganu. Pada tahun 1780, Sultan Mansur Riayat Syah telah berjaya menyelamatkan Besut daripada ancaman lanun dan akhirnya Besut menjadi sebuah negeri kecil yang berasingan dengan Kelantan yang bernaungan dengan Terengganu. Terengganu telah melantik Tengku Abdul Kadir bin al-Marhum Sultan Mansur Shah sebagai raja Besut yang pertama. Raja Kelantan, Long Yunus juga telah membantu Besut daripada ancaman Bugis dengan pertandingan sabung ayam apabila Tengku Ali, putera raja Besut tewas dalam pertandingan tersebut dan akhirnya Long Yunus berjaya selamatkan Besut daripada ancaman penganas Bugis namun disebabkan Terengganu yang telah membantu Long Yunus mendapatkan takhta Kelantan maka Kelantan menyerahkan Besut kembali kepada Terengganu atas tanda terima kasih.
Walaupun Terengganu telah berjaya menyelamatkan Besut namun Besut telah melakukan pemberontakan keatas Terengganu semasa Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir menaiki raja Besut ke-dua. Hal ini kerana campur tangan serta hasutan masyarakat Besut yang menyebabkan Tengku Ali menjadi benci dan anti kepada Terengganu yang mentadbir Besut secara penuh seolah-olah menafikan Tengku Ali sebagai raja Besut. Semasa pertabalan Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu, Raja Besut tidak langsung menghadiri majlis tersebut sehingga menyebabkan Sultan Terengganu, Sultan Omar menggerakkan angkatan tenteranya ke Besut yang menyaksikan Tengku Ali membawa tenteranya yang berpangkalan di Jerteh yang disokong oleh masyarakat Besut dan Kelantan untuk menghalau Sultan Omar dari Besut. Sultan Omar telah menuduh Kesultanan Kelantan yang membuat tentera untuk menentang Terengganu namun ianya dinafikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad I kerana Kelantan sudah tidak mahu berperang dengan Terengganu apabila Sultan Muhammad I berjaya menghalau pengaruh Terengganu keatas Kelantan pada tahun 1800 yang akhirnya menyebabkan Sultan Muhammad I diiktiraf oleh Siam sebagai Sultan Kelantan yang pertama serta Kelantan tidak mahu lagi mengubah sempadan dengan Terengganu. Tentera Tengku Ali akhirnya tewas apabila Sultan Omar telah meminta bantuan dari Siam yang berpangkalan di Singgora (Songkhla kini) untuk menentang Besut. Untuk menyelesaikan konflik ini maka Terengganu melantik Tengku Ngah sebagai Raja Besut sehingga pentadbirannya tamat pada tahun 1899 dan akhirnya Besut digabungkan dengan Kesultanan Terengganu Darul Iman.
Petempatan-petempatan utama dalam daerah ini termasuklah Alor Lintah, Apal, Jabi, Jerteh, Kampung Raja, Kuala Besut dan Pasir Akar.[2]
Besut ditadbir oleh sebuah kerajaan tempatan iaitu Majlis Daerah Besut. Majlis ini dipimpin oleh Yang Dipertua dan pada masa ini dijawat oleh Abdul Rasid bin Jusoh.[4] Kawasan di bawah majlis ini meliputi 73.82 kilometer persegi (18,240 ekar) iaitu 90 peratus keseluruhan kawasan daerah[2]; penduduk di bawahnya adalah seramai 154,168 orang pada tahun banci 2020.[5] Besut dirancang untuk dinaik taraf menjadi sebuah daerah perbandaran menjelang tahun 2022.[perlu rujukan]
Besut diwakili dalam Dewan Parlimen oleh sebuah kerusi iaitu Besut (P33). Bagi peringkat negeri, Besut diwakili dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh empat kerusi iaitu Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut dan Hulu Besut.
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di Daerah Besut ialah seramai 154,168 orang dengan kepadatan penduduk 125 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah Besut berbangsa Melayu, seramai 148,925 orang.[6][5]
Di daerah Besut, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 98 peratus diikuti agama Buddha sebanyak satu peratus. Agama Kristian, Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[5]
Kegiatan ekonomi yang utama penduduk di daerah Besut ialah berniaga, mengusaha tanaman padi, sawit, getah dan perikanan.
Penduduk Besut kebanyakan berasal dari negeri Kelantan. Kebanyakan budaya di Besut dipengaruhi budaya Kelantan sama ada dari segi pakaian, bahasa serta makanan. Majoriti penduduk Besut bertutur dalam Bahasa Melayu Kelantan namun terdapat juga sebahagian kecil bertutur dalam Bahasa Melayu Terengganu terutama di bahagian sempadan daerah Besut dengan Setiu dan juga di sempadan daerah Hulu Terengganu.
Besut terletak menghadap Laut China Selatan yang mana terdapat pantai dan juga beberapa pulau yang terkenal seperti Pulau Perhentian, Pulau Rhu, Pulau Rawa dan Pulau Redang.
Di Besut juga terdapat tempat perkelahan yang menarik lain seperti Lata Tembakah, Lata Kolam, Lata Belatan, La Hot Spring,Gunung Tebu, Bukit Keluang, Pantai Benting Lintang, Pantai Dendong, Pantai Bukit Bubus, Pantai Bukit Keluang, Pantai Air Tawar, dan beberapa lokasi lain yang sedang di majukan.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.