From Wikipedia, the free encyclopedia
Ali Shariati (kadang dieja sebagai Ali Syari'ati dan Ali Shari'ati) (23 November 1933 – 1977) adalah warganegara Iran. Beliau adalah seorang penulis, pemikir, intelektual, guru, pensyarah, ahli sosiologi dan revolusi, cendekiawan dan pakar bidang sosiologi agama. Beliau seorang pemikir sosial yang berpengaruh abad ke-20, kerana beliau ialah ideologi penting yang secara tidak langsung mencetuskan Revolusi Iran. Sehingga hari ini nama beliau masih disebut-sebut dan dikenang-kenang sebagai seorang pemikir revolusioner Islam.
Rencana ini perlu dikemas kini. (Mei 2020) |
Salah seorang penyelidik revolusi Iran pernah mengatakan,
”Tak boleh dinafikan, setelah Khomeini, Shariati adalah tokoh paling berpengaruh dalam gerakan Islam yang berakhir pada Revolusi 1979."
Ali Shariati dilahirkan pada 1933 di Mazinan pinggir kota Sabzevar, timur laut Iran. Bapanya, Mohamad-Taqi adalah seorang guru dan pemikir Islam, pengasas Pusat Dakwah Islam di wilayah Khorasan semasa fahaman Marxist berkembang di Iran.
Di sekolah rendah, Shariati telah membaca berbagai jenis buku; karya Victor Hugo, Les Miserables, Que sais-je, History of Cinema, dan buku popular yang hebat seperti Zan-e- Mast. Ketika di sekolah menengah pula, Shariati mulai mempelajari buku-buku yang berkaitan dengan masalah-masalah falsafah, mistik, dan sufisme. Dalam bidang falsafah, beliau melahap karya-karya ahli falsafah Jerman, seperti Arthur Schopenhauer, novelis Franz Kafka, dan penyair besar Jerman Anatole France. Beliau memiliki kenangan pertama terhadap karya-karya Maurice Maeterlink. Beliau mengatakan penulis dan penyair simbolik dari Belgium ini sebagai pelopor dalam merefleksikan dan merenungkan kebenaran yang ada di balik realiti.
Selain itu sastera sufi juga turut dibacanya. Antaranya adalah karya sufi besar, seperti al-Hallaj, al-Junayd, Qadi Abu Yusuf, Syabastari, Qusyairi, Abu Said Abu al-Khayr, Abu Yazid al-Bustami, Ayn al-Qudat al-Hamadani, dan Maulana Jalaluddin Rumi. Dalam masa-masa tersebut, seperti dijelaskan Rahnema, Shariati juga telah membaca buku-buku tafsir Al-Qur'an, sastera, puisi, sejarah Islam, dan tentu saja buku-buku politik.
Semasa di Maktab Latihan Perguruan, Shariati rapat dengan golongan miskin. Beliau terdedah kepada falsafah Barat dan pemikiran politik. Beliau cuba mengemukakan jalan penyelesaian masalah masyarakat Islam berasaskan prinsip Islam tradisional, pandangan sosiologi moden dan falsafah.
Pada tahun 1952, beliau menjadi guru sekolah tinggi dan mengasaskan Persatuan Pelajar Islam dan menyebabkannya ditangkap dalam satu demonstrasi. Pada 1953, Perdana Menteri Iran pertama, Mossadeq telah digulingkan oleh CIA. Ketika itu beliau seorang ahli Pergerakan Rintangan Kebangsaan. Beliau mendapat ijazah dari Universiti Mashhad pada 1955. Pada 1957, beliau ditangkap sekali lagi oleh polis Shah Iran bersama dengan 16 ahli Pergerakan Pembaharuan Kebangsaan.
Ali Shariati kemudian mendapat biasiswa kerajaan Perancis dan belajar di Universiti Paris. Di universiti ini, beliau dianggap sebagai pelajar pintar dan terbaik. Beliau menyambung kedoktoran jurusan sosiologi dan meninggalkan Paris sebelum sempat menghabiskan kajian pada 1964. Semasa di Paris, Shariati mula bekerjasama dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Algeria (FLN) pada 1959. Pada tahun 1960, beliau mula membaca tulisan Frantz Fanon dan menerjemahkan kepada bahasa Parsi. Shariati memperkenalkan pemikiran Fanon kepada pejuang-pejuang Revolusi Iran di luar negara. Menurut Dr. Muhaimin Sulam dalam sebuah kolumnya di MalaysiaKini,[1] semasa Shariati belajar di Perancis, beliau ada berbahas dengan Fanon.
Fanon berkata agamalah yang menyebabkan masyarakat menjadi beku. Shariati menolak pandangan tersebut dan mengemukakan idea-idea Islam yang progresif. Antaranya melalui tulisannya mengenai ibadah haji.
Shariati ditangkap di Paris semasa mengadakan demonstrasi ketika penghormatan pemimpin Patrice Lumumba, pada 17 Januari 1961.
Pada tahun yang sama juga, beliau berganding dengan Ebrahim Yazdi, Mostafa Chamran dan Sadegh Qotbzadeh dalam Pergerakan Kebebasan Iran di luar negeri. Beliau mempelopori revolusi Iran semasa ketiadaan Ayatullah Khomeini. Pada 1962, beliau belajar sosiologi dan sejarah perkembangan agama di seluruh dunia. Seterusnya mengikuti kursus pendek dengan cendekiawan Islam Louis Massignon, Jacques Berque dan ahli sosiologi Georges Gurvitch. Beliau juga berkenalan dengan ahli falsafah eksistensialis Jean-Paul Sartre. Selain itu, beliau juga banyak membaca buku Jalal Al-e Ahmad berjudul Gharbzadegi (atau Occidentosis).
Pada tahun 1964, ketika beliau kembali ke Iran, beliau ditangkap dan dipenjarakan oleh kerajaan Iran kerana melibatkan diri dalam kegiatan politik subversif semasa di Perancis. Beliau dibebaskan selepas beberapa minggu. Seterusnya, beliau mula mengajar di Universiti Mashhad.
Shariati pergi ke Tehran dan memberi kuliah di Hosseiniye Ershad, sebuah tempat pengajian yang didanai hartawan dan dermawan. Sesi ceramah beliau dipenuhi berkaitan ekonomi masyarakat, kelas pertengahan dan kelas atasan.
Sekali lagi beliau ditahan bersama para pelajar. Selepas tekanan rakyat dan antarabangsa, Ali Shariati dibebaskan selepas 18 bulan dalam penjara dan dibebaskan pada 20 Mac 1975.
Shariati dibenarkan pergi ke England. Tiga minggu kemudian beliau mati di Southampton, England kerana serangan jantung. Sumber-sumber lain menyatakan beliau dibunuh oleh Savak - pasukan polis rahsia Shah Iran.
Biografi Ali Syari'ati yang lebih jitu boleh dibaca pada buku Ali Rahnema yang menulis tuntas tentang beliau.
Perjuangan Shariati sangat dipengaruhi oleh fahaman Marxist dan idea Dunia Ketiga semasa belajar di Paris. Idea tentang pertentangan kelas dan revolusi akan membawa kepada masyarakat tanpa kelas - di satu pihak, dan Ketulenan Islam (Reformasi Islam). Beliau dikatakan mengembangkan idea Gharbzadegi daripada Jalal Al-e Ahmad.
Beliau mengembangkan idea-idea berasaskan simbol-simbol kebudayaan mazhab Syiah rakyat Iran. Baginya, Syiah tidak seharusnya hanya menunggu kedatangan Imam ke-12. Katanya "setiap hari adalah Ashura, setiap tempat adalah Karbala." Beliau seorang ahli sosiologi dan aktivis yang mahir menggunakan simbol atau sosok dan mengartikulasikannya menjadi sesuatu subjek yang penting dan berkesan untuk pemahaman massa, terutama massa yang beragama.
Ali Shariati sering merujuk dirinya sebagai "mazhab Syiah merah" berbanding dengan "mazhab Syiah hitam" atau Safavid Mazhab Syiah. Idea-ideanya dibandingkan dengan pergerakan Pembebasan Teologi Katolik di Amerika Selatan oleh Gustavo Gutierrez (Peru) dan Leonardo Boff (Brazil).
Salah seorang peminat gagasan Shariati, Hamid Enayat, mengklasifikasikan pemikiran Shariati ke dalam model Sosialisme Islam yang bersifat radikal[2], dengan beragam sudut pandang pemikirannya Shariati dikatakan sebagai pencetus gerakan Sosialisme Islam radikal.[3]
Petikan ucapan
Di sisi lain Islam yang diidealkan Syari'ati ialah sebagaimana yang ditampilkan oleh sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Dzar, pencetus pemikiran sosialistik Islam pada masa Nabi[4]:
- "Hari demi hari, aristokrasi, eksploitasi, pembaziran, kemiskinan, jarak serta perpecahan masyarakat dan golongan, keretakan menjadi semakin besar, dan propaganda Abu Dzar tumbuh makin lama makin luas, yang menyebabkan rakyat jelata dan golongan yang tertimpa eksploitasi menjadi lebih tergoncang. Orang-orang yang lapar, mendengar dari Abu Dzar bahawa kemiskinan mereka bukanlah takdir Tuhan yang tertera di dahi dan merupakan ketetapan nasib serta takdir di langit: penyebabnya adalah kinz, penimbunan modal."[5]
Islam menurut Shariati bukanlah agama yang hanya memperhatikan aspek spiritual dan moral atau hubungan individual dengan penciptanya[6], tetapi lebih merupakan sebuah ideologi emansipasi dan pembebasan:
- "Adalah tidak cukup dengan menyatakan kita harus kembali ke Islam. Kita harus menspesifikasi Islam mana yang kita maksudkan; Islam Abu Zar atau Islam Marwan b. Affan", sang penguasa. Keduanya disebut Islam, walaupun sebenarnya terdapat perbezaan di antara keduanya. Satunya adalah Islam kekhalifahan, istana dan penguasa. Sedangkan lainnya adalah Islam merakyat, mereka yang dieksploitasi dan miskin. Lebih jauh, tidak cukup sah dengan sekadar berkata, bahawa (concern) kepada kaum miskin dan tertindas. Khalifah yang korup juga berkata demikian. Islam yang benar lebih dari sekadar kepedulian, Islam yang benar memerintahkan kaum beriman berjuang untuk keadilan, persamaan dan penghapusan kemiskinan."[7]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.