Templat:Kotak info N

Angkatan Belia Islam Malaysia (Jawi: اڠکتن بليا اسلام مليسيا, Bahasa Inggeris: Muslim Youth Movement of Malaysia, disingkatkan sebagai ABIM) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Presiden ABIM masakini adalah Tuan Muhammad Faisal Abdul Aziz. ABIM kini mempunyai 123 cawangan seluruh negara, puluhan agensi dan ratusan institusi pendidikan di peringkat prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan institusi pengajian tinggi.

Sejarah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Sulaiman dan Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Ustaz Razali Nawawi (sekarang Profesor Dr) telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala Anwar Ibrahim (sekarang Dato’ Seri) dipilih sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Ustaz Siddiq Fadzil (sekarang Dato’ Dr) pula telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982.

Ustaz Muhammad Nur Manuty (sekarang Dr) telah dilantik sebagai Presiden pada tahun 1991. Pada September 1997, Ahmad Azam Ab Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Pada Ogos 2005 pula, saudara Yusri Mohamad dipilih sebagai Presiden ABIM yang keenam di Muktamar Sanawi ABIM ke-34. Dalam era 1970-an, semasa ABIM berada di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan Anwar Ibrahim, ABIM mengambil pendekatan konfrontasi dan dengan demikian, ABIM menjadi lantang terhadap beberapa dasar dan pendirian pihak pemerintah. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu.

Pada dekad kedua, di tahun-tahun 1980-an, ketika kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil, pendekatan ABIM ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Pendekatan ini melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti Islamic Outreach-ABIM dan seumpamanya. Ketika dekad ketiga 1990-an pula, ABIM yang berada di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).

Di alaf baru, Ahmad Azam Ab Rahman membawa tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah, bertepatan dengan tuntutan semasa yang begitu mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka.

Setelah itu, ABIM di bawah pimpinan saudara Yusri Mohamad memberikan tumpuan kepada agenda dakwah serta memperkasa agama dan bangsa. Pada 1 Ogos 2009, Muhamad Razak Idris dipilih sebagai Presiden ABIM yang ketujuh di Muktamar Sanawi ke-38. Kepimpinan ABIM diteruskan oleh Amidi Dato' Abdul Manan yang diamanahkan sebagai Presiden 2011-2015. Kemudian, ABIM dipimpin oleh Mohamad Raimi Ab Rahim yang memimpin ABIM pada 2015-2019. Kini ABIM dipimpin oleh generasi pimpinan muda diketuai oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Identiti Keorganisasian

Misi dan Visi

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Visi ABIM ialah "Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah manakala misinya pula ialah "Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah".

Budaya ABIM

  1. Menghayati Budaya Ilmu,
  2. Menghayati Amalan Kerohanian,
  3. Menghayati Amal Shura dan Amal Jama’iyy,
  4. Memahami dan Melibatkan Diri Pada Isu Semasa, dan
  5. Menghayati Ruh - Jihad fi Sabilillah.

Objektif

  1. Menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan ajaran asasi al-Qur’an al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
  2. Menjalankan da’wah Islamiah dengan cara yang progresif kepada seluruh lapisan masyarakat;
  3. Menggembleng tenaga belia seluruhnya dan mengarahkannya untuk kebaikan masyarakat;
  4. Mewakili belia-belia Islam Malaysia di persidangan-persidangan luar negeri;
  5. Menjalankan kegiatan-kegiatan lain yang tidak berlawanan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah

Agensi ABIM

Lebih Separuh Abad ABIM bertapak dengan pelbagai program dan amal usahanya, ABIM kini mempunyai sekitar 30 agensi yang merupakan perkembangan program-program ABIM termasuklah memiliki ratusan premis pra-Sekolah (Taski ABIM), 15 sekolah rendah Islam (SERI), 9 sekolah menengah Islam (SEMI), pusat Tahfiz dan kelas Fardhu Ain, satu Institusi Pengajian Tinggi iaitu Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), beberapa sekolah muhajirin (pelarian Levant dan Rohingya), Hospital Pakar Al-Islam (di Kampung Baru, Kuala Lumpur), pusat da’wah untuk saudara baru (Islamic Outreach ABIM Centre), Koperasi Belia Islam (KBI) dan lain-lain. Senarai agensi ABIM adalah seperti berikut:

  1. Seranta: ISLAMIC OUTREACH ABIM CENTRE (IOAC)
  2. Pelancongan Masjid: MOSQUE TOUR GUIDE PROGRAM
  3. Institusi Kesihatan: HOSPITAL PAKAR AL-ISLAM
  4. Kesedaran Kesihatan: BIRO KESIHATAN ABIM (BKA)
  5. Pendidikan Kesihatan Reproduktif: AKADEMI DERMAGA
  6. Ekonomi Kolektif: KOPERASI BELIA ISLAM (KBI)
  7. Kemanusiaan: GLOBAL PEACE MISSION (GPM)
  8. Global: MALAYSIA FOR SYRIA
  9. Alam Sekitar: GRASS MALAYSIA
  10. Alam Sekitar: MALAYSIAN INTERFAITH CLIMATE CHANGE NETWORK (MICCN)
  11. Multi-Budaya: YOUTH INTERFAITH GROUP ABIM (YIGA)
  12. Kerja Belia: ADAB YOUTH GARAGE (AYG)
  13. Penerbitan Ilmiah: ABIM PRESS
  14. Penyelidikan Ilmiah: AKADEMI KAJIAN KETAMADUNAN (AKK)
  15. Pendidikan: YAYASAN TAKMIR PENDIDIKAN (YTP)
  16. Prasekolah: TASKI MALAYSIA
  17. Pendidikan Rendah: SEKOLAH RENDAH ISLAM ABIM (SERI)
  18. Pendidikan Menengah: SEKOLAH MENENGAH ISLAM ABIM (SEMI)
  19. Institusi Pengajian Tinggi: KOLEJ DAR AL-HIKMAH (KDH)
  20. Institusi Latihan Kemahiran: KBI-CALTECH
  21. Sekolah Alternatif Muhajirin: JASMINE ASH SHAM
  22. Sekolah Alternatif Muhajirin: ROHINGYA EDUCATION CENTRE
  23. Studio: WAPTV
  24. Pusat Bimbingan dan Perlindungan Wanita: BAYT AL-RAHMAH
  25. Sokongan Psikososial: RAHMAT SUPPORT TEAM
  26. Guaman dan Perundangan: Grup Peguam ABIM (GPA)
  27. Bantuan Pasca-Covid: URUN DANA
  28. Upaya Integriti: NOOR MALAYSIA
  29. Kohesi Sosial & Integrasi Nasional: INFO BANGSA MALAYSIA
  30. Transmisi Agenda Pembaharuan: RISALAH ABIM
  31. Jurnal Akademik: MALAYSIAN JOURNAL OF ISLAMIC MOVEMENTS AND MUSLIM SOCIETIES
  32. Agenda Pengurusan Keorganisasian: MYABIM

Kerangka Strategi ABIM

Kepemimpinan ABIM semasa mensasarkan matlamat untuk menciptakan ABIM sebagai sebuah gerakan kemasyarakatan atau gerakan sosial yang memfokus kepada unsur “ilmu dan bakti” iaitu suatu pergerakan masyarakat bagi membangun masyarakat sebagai ilmuwan yang mencerahkan kelompoknya sendiri dengan ilmu dan hikmah, kemudiannya merencana dan menggerakkan tindakan berstrategi ke arah membaiki masyarakatnya. Dari masyakarat, kepada masyarakat, untuk masyarakat.

Matlamat Organisasi Bertempoh

Disimpulkan daripada penelitian atas sumber dan perbincangan kepemimpinan, bahawa matlamat organisasi ABIM (bertempoh) adalah seperti formula berikut [ABIM = Gerakan Ilmu dan Bakti]

Bidang Keberhasilan Utama (KRA)

Matlamat “ABIM sebagai gerakan ilmu dan bakti” ini akan dicapai melalui empat bidang keberhasilan utama (key result area/ KRA), iaitu:

  1. KRA1: Keutuhan (integrity)
  2. KRA2: Kebertanggungjawaban (accountability)
  3. KRA3: Penglibatan (engagement)
  4. KRA4: Pengislahan (reform)

Pernyataan Fokus Empat (4) Bidang Keberhasilan Utama

(A) Pengutuhan (Integrity)

  • Pengukuhan Manhaj Ilmu dan kapasiti aktivis, penggerak dan organisasi ABIM

(B) Kebertanggungjawaban (Accountability)

  • Bertanggungjawab kepada anggota ABIM dan menambahbaik mekanisme semak imbang dalam susur pentadbiran dan kepimpinan ABIM. Dalam masa sama mengambil berat isu dan perkembangan agensi-institusi ABIM.
  • Bertanggungjawab kepada anggota masyarakat untuk bersama bergerak dan memberi pencerahan mengikut ketetapan fokus utama yang diputuskan.

(C) Penglibatan (Engagement)

  • Melebarkan kolaborasi & smart partnership dengan semua pemegang taruh atas dasar perkongsian matlamat & ilmu serta kemahiran untuk bersama membangunkan masyarakat.

(D) Pengislahan (Reform)

  • Meningkatkan tahap kohesi sosial di semua peringkat & kesejahteraan masyarakat khususnya menerusi agenda pendidikan kebudayaan dan kenegaraan.
  • Membawa kesedaran perubahan iklim dan budaya hijau dalam komuniti agama, belia dan keluarga.
  • Bertindak sebagai penyemak dan pengimbang dalam dasar-dasar reformasi negara.
  • Meningkatkan kapasiti capaian ABIM dari sudut sebarluas kepada masyarakat dalam negara & antarabangsa.
  • Meningkat kefahaman dan memperbaharu gerak kerja pembangunan komuniti dalam dan luar negara menerusi acuan pembangunan lestari.

Nilai Bersama (SV)

Keempat-empat KRA: Keutuhan (integrity); Kebertanggungjawaban (accountability); Penglibatan (engagement); Pengislahan (reform) ini pula dilandasi oleh tiga nilai bersama (shared-values/ SV) iaitu:

  1. SV1: Budaya pembelajaran dan pemikiran maqasidi (learning culture & maqasidi thought)
  2. SV2: Peduli akar umbi (focusing on the grassroots)
  3. SV3: Terpandu data dan berbasis pembuktian (data driven and evident based)

Kendera Organisasi

Terdapat tiga kategori kendera (vehicles) yang akan menyemangati dan mengaplikasi nilai bersama (SV) dalam menggerakkan bidang keberhasilan utama (KRA) dengan perincian petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing. Dengan yang demikian, diharapkan organisasi keseluruhannya akan mencapai matlamat “ABIM sebagai gerakan ilmu dan bakti” sebagaimana disasarkan. Tiga kategori kendera itu adalah:


1) Governans ABIM

  • berdasarkan berperlembagaan
  • praktis kelaziman
  • tradisi organisasi


2) Agenda-agenda ABIM

  • Agenda Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan
  • Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, Kesihatan dan Multi-Budaya
  • Agenda Antarabangsa, Kemanusiaan, dan Pemberdayaan Komuniti
  • Agenda Badan Masyarakat Madani dan Hak Asasi Manusia
  • Agenda Belia, Sukan, Multimedia dan Komunikasi Awam


3) Teras-teras ABIM

  • Teras Tarbiyah
  • Teras Urusan Gerakan
  • Teras Kewangan

Kerangka Kerja Organisasi

Kerangka kerja organisasi semasa ABIM adalah bersandarkan kepada matlamat organsasi [ABIM = Gerakan Ilmu dan Bakti], yang akan dapat dicapai melalui empat Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Areas, KRA) iaitu Keutuhan (integrity); Kebertanggungjawaban (accountability); Penglibatan (engagement); Pengislahan (reform) ini pula dilandasi oleh tiga nilai bersama (shared-values/ SV) iaitu Budaya pembelajaran dan pemikiran maqasidi (learning culture & maqasidi thought); Peduli akar umbi (focusing on the grassroots); Terpandu data dan berbasis pembuktian (data driven and evident based). Bagi mengegrakkan KRA yang ditetapkan, maka tiga kategori kendera (vehicles) – Governans ABIM; Teras ABIM dan Agenda ABIM – akan menyemangati dan mengaplikasi nilai bersama (SV) dalam menggerakkan bidang keberhasilan utama (KRA) dengan perincian petunjuk prestasi utama (Key Performance Indicators, KPI) masing-masing.

Senarai Presiden ABIM

  1. Prof Dr Razali Nawawi 1971-1974
  2. Dato' Seri Anwar Ibrahim 1974-1982
  3. Dato' Dr. Siddiq Fadzil 1983-1991
  4. Prof Dr. Muhammad Nur Manuty 1991-1997
  5. Dato' Ahmad Azam Ab Rahman 1997-2005
  6. Dr Yusri Mohamad 2005-2009
  7. Dr Muhamad Razak Idris 2009-2011
  8. Amidi Abdul Manan 2011- 2015
  9. Mohamad Raimi Ab Rahim 2015-2019
  10. Muhammad Faisal Abdul Aziz 2019 - 2023
  11. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (2023-kini)

Era Awal Pergerakan ABIM

Era awal pergerakan ABIM dicorakkan oleh usaha bagi mempertegaskan idealisme dan cita-cita perjuangan. Pelbagai kegiatan direncanakan bagi menjelaskan identiti ABIM sebagai sebuah pertubuhan belia dan gerakan Islam yang berteraskan prinsip da’wah dan tarbiyyah sebagai asas pendekatan pergerakannya. Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegaraan.[1]

Usrah Pertama di Malaysia

Pada awal penubuhan ABIM, Ustaz Razali Nawawi (Profesor Dr.) telah memperkenalkan sistem usrah. Usrah pertama dijalankan di rumah beliau di alamat 27, Jalan Aman, Kawasan Melayu, Petaling Jaya, Selangor. Mereka yang hadir ketika itu termasuklah Sdr. Anwar Ibrahim (kini Dato' Seri), Sdr. Sanusi Junid (Allahyarham Tan Sri Dato Sri), Sdr. Said Ibrahim, Sdr. Kamaruddin Md Nor (kini Datuk), Sdr. Osman Bakar (Kini Profesor Emeritus Datuk Dr.) dan Sdr. Omar Jaafar (kini Datuk Wira). Antara bahan yang dibincangkan merangkumi bacaan Al-Quran, tafsir, hadith, sirah Rasulullah SAW dan isu-isu semasa. Menurut beliau:

"Usrah ini nadi ilmu kepada ABIM. Jadi di situlah, kerana ABIM ini ada (ahli-ahlinya) aliran Agama, ada aliran English based education, yang habis Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia baru bermula (ketika itu), yang habis (tamat pengajian) dari England, habis dari Mesir dan sebagainya. Jadi berbagai-bagai latar belakang pendidikan. Dalam Usrah kita dapat gabungkan (ilmu, pengalaman dan perspektif) daripada pelbagai latar belakang pendidikan... Maka, usrah dikatakan nadi kepada ABIM yang kemudiannya menjadi (norma), semua orang pakai, orang lain pun guna usrah, persatuan artis pun guna usrah, usrah pelakon-pelakon. Usrah tidak lagi menjadi hak milik ABIM, usrah jadi semua orang menggunakannya. Bagi saya, itu suatu perkara yang amat penting bagi Angkatan Belia Islam Malaysia". [2]

Ustaz Razali Nawawi juga turut memperkenalkan latihan Tamrin al-Kader dan menyusun sukatan dan kurikulumnya pada semua peringkat. Sejarah pengasasan program latihan Tamrin al-Kader dinyatakan sendiri oleh beliau:

" Tamrin waktu itu (diwujudkan) kerana waktu itu kita mahu mendidik sahabat-sahabat kita di akar umbi. Nama Tamrin al Kader, saya ingat Anwar (dato Seri Anwar Ibrahim) yang tanya, “Ok, program latihan ini nama apa?”.

"Semasa di Mesir, ana melanggan satu majalah dipanggil Majalah Siyāsah. Majalah ini berkisar tentang politik semasa di Asia Barat. Pihak yang menerbitkannya adalah al-Ittiḥād al-Ishrāqī al-Misr, yang dikelola oleh Arab Socialist Union di bawah kendalian rejim Gamal Abdul Nasser. Dalam majalah itu ada ditulis istilah Tamrin al-Kawadir. Jadi, ana kata kita pun gunalah Tamrīn al-Kawādir atau Tamrin al-Kader. Sebenarnya, ia istilah yang digunakan oleh Arab Socialist Union".

"Kemudian, Bapak Imaduddin Abdulrahim datang dari Indonesia. Dia bawa ke sini LKD (Latihan Kader Dakwah). Pak Imaduddin waktu itu merupakan pensyarah di ITK (Institut Teknologi Kebangsaan). Jadi, apabila ABIM dirasmikan, maka program Usrah dan program Tamrin disistematikkan, dijadikan program rasmi kita."[2]

ABIM dan Pemakaian Tudung di Malaysia

Meskipun dekad 1960-an dan 1970-an menyaksikan masyarakat kita dipengaruhi oleh pakaian ala-Barat, cara pemakaian wanita Melayu-Islam di Malaysia mula berubah pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya. Hal ini kerana kemunculan gerakan-gerakan dakwah yang aktif di universiti, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti, ABIM dikenali kerana kelantangan serta keberanian para pimpinannya dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terbanyak. Slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ mendekatkan masyarakat kepada kefahaman serta penghayatan terhadap keindahan nilai-nilai Islam.[3]

Prof. Dr. Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua HELWA 1973-1974 ABIM) menukilkan:

“Saya masih ingat kenangan ketika mula-mula mempelopori pemakaian tudung kepala bersama beberapa orang rakan. Hasrat ini timbul setelah membaca Al-Qur’ān. Semasa itu hasrat untuk mengamalkannya begitu mendalam. Bagaimanapun pada peringkat awal, kami mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya. Kami banyak kali disindir dan digelar dengan bermacam-macam gelaran seperti ‘orang pakai dakwah’, ‘hantu bungkus’ dan sebagainya. Alhamdullilah, dalam hal ini kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan. Kini pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini.”[3]

Kini, pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini.

Faktor Ketertonjolan ABIM

Fenomena kebangkitan Islam melalui gerakan islah yang juga dikenali sebagai “gerakan kaum muda” yang muncul di celah-celah penggumulan masalah umat dalam abad ke-20. Ia muncul secara bererti pada awal abad ke-20 dan akhir abad yang sama. ABIM lahir di bahagian akhir abad ke-20. Di bahagian awal dan di bahagian akhir abad ke-20 itu, berlaku suatu keadaan “vibrant”, suatu keadaan yang penuh dengan dinamika. Menurut Siddiq Fadzil:

"...saya kira yang lebih berimpak tinggi adalah yang kemunculan kebangkitan Islam pada hujung abad ke-20 . Sebabnya, ada beberapa sebab, mengapa ABIM berjaya mencorakkan masyarakat Melayu-Islam ketika itu. Saya tidak mahu menggunakan istilah “re-Islāmīzation” of the Malays, sebab Melayu telah Islam bagaimanpun. Cuma menyedarkan semula (masyarakat Melayu akan) hakikat Islam sebagai nizam al-hayah, sebagai way of life".[2]

Oleh yang demikian, terdapat tiga faktor yang membawa kepada kejayaan dan ketertonjolan ABIM yang menjadi legasi perjuangannya, seterusnya merupakan antara ramuan penting yang membantu ABIM terus releven dalam tempoh masa separuh abad, iaitu faktor waktu kemunculannya, ketokohan kepemimpinan kolektif, dan budaya keorganisasian.

"Sebabnya, pertama timing, soal waktu yang tepat. ABIM lahir pada waktu yang tepat sebab ketika itu sedang berlaku gelora kebangkitan Islam yang global, di mana-mana – di Pakistan, di Mesir dan di negara mana-mana. Pada waktu itulah ABIM lahir di Malaysia, menyambut kebangkitan yang disebut sebagai al-Sahwah al-Islāmīyah, Islāmīc Resurgence itu. Jadi, apabila kita mahu menubuhkan suatu organisasi, harus dilihat timing nya tepat atau tidak. ABIM telah membuat suatu keputusan untuk lahir pada waktu yang tepat, (iaitu) waktu kebangkitan, dan di Malaysia, tiada wadah yang menyambutnya. Wadah (organisasi) yang ada ketika itu tidak terpanggil dengan semangat dan imbauan kebangkitan Islam itu. Tetapi ABIM lahir utk mewadahi suatu fenomena yang disebut sebagai Islāmīc resurgence itu".

"Keduanya, faktor tokoh. Kita dikurnia Tuhan suatu tokoh yang mampu membawa aspirasi kebangkitan ini... Jadi, kita dibantu oleh faktor tokoh. ABIM punya tokoh. Jadi dalam kepimpinan ABIM ketika itu, memang ada tokoh sentralnya... dan kita semua juga selalu menyebut collective leadership, kepimpinan kolektif, kepimpinan jama‘iy, qiyadah jama‘iyyah... Semua orang mengakui dan mengiktiraf bahawa organisasi yang paling kaya dengan tokoh-tokoh muda yang promising ini ialah ABIM".

"...faktor ketiganya kita dibantu oleh organisasi yang kuat, tersusun, sistematik, punya struktur yang sangat kemas. Jadi kita dibantu oleh kekuatan organisasi, bukan kekuatan tokoh semata-mata, bukan kekuatan individu semata-mata. Tetapi kekuatan organisasi dipadu dengan kekuatan tokoh, dan kekuatan budaya. Orang tahu kalau macam ini (gaya dan cara), mesti orang ABIM. Tahu dah. Kekuatan budaya ABIM ini di samping kekuatan organisasi"[2]

Isu tahanan ISA

Ramai pemimpin ABIM menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terutama pada 3 Disember 1974 berikutan Demosntrasi di Universiti Malaya dan di padang Dataran Merdeka. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM ditahan bersama pemimpin pelajar dan pensyarah universiti. Antaranya ialah Kamarazaman Yacob, Ibrahim Ali, Syed Husin Ali, Adi Satria, Hamzah Kassim, CCYong, Yong Ah Chit, Yeo Ben Foo. Tempat Anwar dipangku oleh Fadhil Noor. Mereka ditahan di bawah seksyen 117, Akta Polis .Ketika itu Dr Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pelajaran. Pada 5 Februari 1975, mereka dipindah ke Kem Tahanan Kamunting, di Taiping, Perak sehingga dibebaskan pada November 1976.

AJK ABIM ketika Anwar ditahan adalah Syed Ibrahim, Naib Presiden (sekarang dalam PAS), Kamaruddin Mohd Nor, Setiausaha Agong (sekarang dalam UMNO), Anwar Hashim, Setiausaha Kewangan, Omar Jaafar, Ketua Perhubungan (sekarang dalam PKR), Sididq Fadzil, Ketua Penerangan (sekarang mantan Presiden WADAH), Nakhaei Ahmad, Ketua Dakwah (mantan Pengerusi YADIM dan UMNO), Ramli Ibrahim, Ketua Kebajikan (Sekarang dalam PKR), Osman Bakar, Ketua Pelajaran (Ahli Akademik).

Maklumat Perhubungan

Alamat Ibu Pejabat

Sekretariat ABIM Pusat
Angkatan Belia Islam Malaysia
No 6, Jalan TC 2A/2
Taman Cemerlang, 53100
Kuala Lumpur

Nombor-nombor Perhubungan

Telefon: 603-6188 0300
Faks: 603-6189 6700
E-mel: sap[aT]abim.org.my

Laman Web & Laman Jaringan Sosial

Laman Web ABIM: www.abim.org.my
Laman Bio ABIM: abim.contactin.bio
Facebook : https://www.facebook.com/abimalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/abimmalaysia/
Twitter : https://twitter.com/abimalaysia

Rujukan

Laman web

Lihat juga

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.