From Wikipedia, the free encyclopedia
Tripanosomiasis Afrika atau penyakit tidur[1] ialah penyakit parasit protozoa yang menjangkiti manusia dan beberapa binatang lain. Ia disebabkan oleh sejenis parasit dari spesis Trypanosoma brucei.[2] Terdapat dua jenis yang mengancam manusia, Trypanosoma brucei gambiense (T.b.g) dan Trypanosoma brucei rhodesiense (T.b.r.).[1] T.b.g menyebabkan 98% daripada kes-kes yang dilaporkan.[1] Kedua-dua biasanya dipindahkan melalui gigitan lalat tsetse yang dijangkiti dan biasanya didapati di kawasan-kawasan pedalaman.[1]
Pada permulaannya, pada tahap pertama penyakit tersebut, demam, sakit kepala, gatal-gatal, dan sakit sendi akan dialami.[1] Ini akan berlaku selama satu sehingga tiga minggu selepas digigit.[3] Dalam tempoh berminggu-minggu sehinggalah berbulan-bulan kemudian, tahap kedua muncul apabila pesakit mengalami kekeliruan, koordinasi badan yang tidak baik, kekakuan dan masalah tidak boleh tidur.[1][3] Diagnosis dibuat dengan mengesan parasit tersebut dalam calitan darah atau dalam cecair di dalam nodul limfa.[3] Satu punktur lumbar selalunya diperlukan untuk mengetahui perbezaan antara tahap pertama dan kedua penyakit tersebut.[3]
Untuk mengelak penyakit itu daripada semakin menular teruk, penyaringan dilakukan terhadap populasi yang menghadapi risiko jangkitan melalui ujian darah untuk T.b.g.[1] Rawatan lebih mudah apabila penyakit tersebut dikesan dengan lebih awal sebelum terdapat simptom-simptom neurologi.[1] Rawatan untuk tahap pertama adalah dengan ubat-ubatan seperti pentamidin atau suramin.[1] Rawatan untuk tahap pertama juga termasuk eflornitin atau campuran nifurtimoks dan eflornitin untuk T.b.g.[3] Sementara melarsoprol boleh digunakan untuk kedua-dua spesis, ia biasanya digunakan untuk T.b.r. kerana kesan sampingannya yang buruk.[1]
Penyakit ini biasanya berlaku di kawasan-kawasan Afrika Subsahara, yang mengancam populasi sebanyak 70 juta orang di 36 buah negara dengan risiko mendapat penyakit ini.[4] Dalam tahun 2010 ia sudah mengakibatkan 9,000 kematian, lebih rendah daripada 34,000 kematian dalam tahun 1990.[5] Kira-kira 30,000 orang kini dijangkiti, dengan 7000 orang yang baru dijangkiti dalam tahun 2012.[1] Lebih daripada 80% daripada kes ini adalah dari Republik Demokratik Congo.[1] Tiga kejadian utama wabak penyakit ini telah tercatat dalam sejarah: pertama dari tahun 1896 sehingga tahun 1906 terutamannya di Uganda dan di Lembangan Congo dan dua dalam tahun 1920 dan tahun 1970 di beberapa negara Afrika.[1] Binatang-binatang lain, seperti lembu, boleh dijangkiti penyakit ini dan boleh menghidapinya.[1]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.