baka anjing dari Amerika Syarikat From Wikipedia, the free encyclopedia
Pitbulterier Amerika atau pit bull terrier Amerika[lower-alpha 1] ialah satu baka anjing yang diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC)[1] dan American Dog Breeders Association (ADBA),[2] tetapi bukan American Kennel Club (AKC).[3] Ia merupakan anjing bersaiz sederhana, berbulu pendek, dan berbinaan padu, yang leluhur awalnya berasal dari England. Jika dibandingkan dengan bulterier Staffordshire Inggeris, pitbulterier Amerika adalah lebih besar dengan jidar ketinggian 6–8 inci (15–20 cm) dan berat 25–35 paun (11–16 kg). Pitbulterier Amerika berbeza-beza dari segi saiz: jantan biasanya sekitar setinggi 18–21 inci (46–53 cm) dan seberat 35–60 paun (16–27 kg), sementara betina pula biasanya sekitar setinggi 17–20 inci (43–51 cm) dan seberat 30–50 paun (14–23 kg).[1]
Nama lain |
| ||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas |
| ||||||||||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Amerika Syarikat | ||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Menurut ADBA, pitbul Amerika diperihalkan bersaiz sederhana dan mempunyai lapis bulu pendek dan struktur otot licin cukup jelas dan matanya patut bulat hingga berbentuk badam dan telinganya pendek hingga sederhana, biasanya separa mencucuk atau mawar dari segi gaya bawa. Ekornya ditetapkan tebal sedikit dan meruncing ke titik. Lapis bulu yang disyaratkan oleh ADBA adalah licau, licin, pendek, dan kaku kepada sentuhan. Banyak warna, corak warna, dan gabungan warna dapat diterima oleh ADBA, kecuali kedua-dua ADBA dan UKC tidak mengiktiraf pewarnaan merle.[1][2] Corak warna yang tipikal pada baka ini merupakan padu dan tuksedo.[4][5]
Walaupun terdapat penggunaan percakapan bagi istilah "pitbul" untuk merangkumi seluruh kategori anjing dan penggunaan perundangan bagi istilah itu untuk menyertakan beberapa baka dalam perundangan, sesetengah pembiak baka profesional konservatif bagi pitbulterier Amerika serta sesetengah pakar dan penyokong mendakwa bahawa, dari segi sejarah, APBT ialah satu-satunya "pitbul" sebenar dan satu-satunya baka yang patut dinamai sedemikian.[6][7][8][9]
Dua belas buah negara di Eropah, serta Australia, Kanada, sesetengah bahagian Amerika Syarikat, Ecuador, Malaysia, New Zealand, Puerto Rico, Singapura, dan Venezuela telah menggubal sesetengah bentuk perundangan spesifik baka ke atas anjing jenis pitbul, termasuk pitbulterier Amerika, daripada larangan langsung kepada pembatasan import dan syarat pemilikan. Beberapa buah negeri di Australia menempatkan sekatan ke atas baka ini, termasuk pemandulan mandatori. Pitbulterier dilarang di United Kingdom,[10] di provinsi Ontario di Kanada,[11] dan di banyak lokasi di Amerika Syarikat.[12]
Sehingga pertengahan abad ke-19, terier lama Inggeris dan buldog lama Inggeris yang telah pupus dibiakbakakan bersama-sama untuk menghasilkan anjing yang menggabungkan gameness terier dengan kekuatan dan kesukanan bulldog.[13][14] Jenis anjing ini, yang dibiakbakakan di England, kemudian dikenali sebagai bull and terrier.[14] Anjing ini tiba di Amerika Syarikat pada lewat abad kesembilan belas. Di sana, ia menjadi leluhur langsung kepada pitbulterier Amerika.[1]
Di United Kingdom, bull and terrier digunakan dalam sukan darah seperti pengumpanan lembu dan pengumpanan beruang. Sukan-sukan darah ini dilarang pada tahun 1835 apabila Britain memperkenalkan undang-undang kebajikan haiwan. Memandangkan laga anjing adalah lebih murah untuk dianjurkan dan jauh lebih mudah untuk disembunyikan daripada undang-undang daripada pengumpanan lembu atau pengumpanan beruang, penyokong sukan darah beralih kepada laga sesama anjing.[15] Laga anjing digunakan sebagai sukan darah (kerap melibatkan perjudian) dan cara untuk terus menguji kualiti ternakan mereka. Selama beberapa dekad selepas itu, laga anjing secara rahsia berlangsung di kawasan-kawasan kecil di Britain. Anjing ini tiba di Amerika pada sekitar tahun 1845 hingga tahun 1860. Di sana, amalan laga anjing mendapat kesinambungan.[16][17] Pada 10 Februari 1898, baka ini telah diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC) dan dinamai American Pit Bull Terrier ("pitbulterier Amerika").[1]
Untuk beberapa ketika pada awal abad ke-20, UKC mula mendaftarkan nama baka ini dengan perkataan "pit" dalam kurungan ("American (Pit) Bull Terrier") untuk memudahkan penerimaan orang ramai sebagai American Bull Terrier ("bulterier Amerika").[18] Walau bagaimanapun, ini hanya bertahan dalam jangka masa singkat dan kembali kepada bentuk sebelumnya.[1]
Pada awal abad ke-20, pitbul digunakan sebagai anjing tangkap di Amerika untuk lembu separa liar dan babi hutan, untuk memburu babi hutan, dan menggiring haiwan ternakan, dan sebagai teman keluarga.[13]
Pitbulterier mengisi peranan sebagai anjing teman, anjing pekerja, anjing sukan atletik (penarikan berat, sukan gelanggang Perancis, top dog), anjing polis,[19][20] dan anjing terapi.[21] Pitbulterier juga merangkumi sebahagian besar anjing yang digunakan untuk laga anjing haram di Amerika.[22] Sebagai tambahan, pertubuhan penguatkuasaan undang-undang melaporkan bahawa anjing ini digunakan untuk tujuan jahat lain, seperti penjagaan operasi narkotik haram,[23] penggunaan menentang polis,[24] dan sebagai anjing penyerang.[25]
Dalam usaha untuk menentang reputasi laga pada anjing jenis pitbul, pada tahun 1996, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan San Francisco menamai pitbulterier semula sebagai "St. Francis Terrier" ("terier Santo Fransiskus", "terier Santo Francis", "terier San Francisco"), dengan harapan agar orang ramai akan lebih cenderung untuk menerima pakainya.[26] 60 ekor anjing yang disaring untuk perangai diadopsi sehingga program itu dihentikan, selepas beberapa pitbul yang baru diadopsi membunuh kucing.[27] Center for Animal Care and Control Bandar Raya New York mencuba pendekatan serupa pada tahun 2004 dengan melabel pitbul mereka semula sebagai "New Yorkies" ("[anjing] New York"), tetapi menggugurkan idea itu dalam menghadapi tentangan hebat orang ramai.[28][29]
UKC memberikan perihal ini tentang ciri-ciri pitbul Amerika: "Ciri-ciri inti bagi pitbulterier Amerika merupakan kekuatan, keyakinan, dan semangat untuk kehidupan. Baka ini tidak sabar-sabar untuk menggembirakan dan melimpah ruah dengan semangat. Ketangkasan semula jadi baka ini menjadikannya salah satu anjing pendaki paling berkebolehan, maka pagar baik ialah kemestian untuk baka ini. Baka ini sangat baik dalam acara prestasi kerana paras tinggi kecerdasannya dan kesanggupannya untuk bekerja."[30]
Piawaian yang dikenakan oleh ADBA dan Old Family Red Nose Registry (OFRNR) menganggap agresi manusia sebagai faktor penyingkiran.[31] Piawaian American Preservation Dog Registry (APDR) menunjukkan bahawa "perangai mesti boleh dipercayai sepenuhnya dengan orang".[32]
Pada September 2000, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menerbitkan sebuah kajian yang memeriksa kematian berkaitan dengan gigitan anjing (kematian manusia yang disebabkan oleh kecederaan gigitan anjing) untuk "merumuskan baka anjing yang terlibat dalam serangan manusia yang membawa maut semasa tempoh 20 tahun dan untuk mentaksir implikasi dasar."[33] Kajian itu memeriksa 238 kematian pada antara tahun 1979 dengan tahun 1998, yang dalamnya baka anjing diketahui. Kajian mendapati bahawa "data menunjukkan bahawa anjing Rottweil dan anjing jenis pitbul menyumbang 67% daripada DBRF manusia (kematian berkaitan dengan gigitan anjing) di Amerika Syarikat pada antara tahun 1979 dengan tahun 1998" dan bahawa "ia amat tidak mungkin merangkumi di mana-mana hampir 60% anjing di Amerika Syarikat semasa tempoh sama dan, oleh itu, kelihatannya terdapat masalah spesifik baka dengan kematian."[33]
Penggambaran media telah memberikan kesan yang ketara kepada cara pandangan orang awam Amerika terhadap perangai APBT. Sebuah kajian dari tahun 2002 mencadangkan bahawa "media berita membesar-besarkan dan memburukkan sebarang masalah sebenar atau bakal masalah yang wujud dengan pitbul."[34] Kajian-kajian lain juga menyatakan bahawa ramai orang, termasuk pakar seperti pegawai kawalan haiwan dan doktor haiwan, melaporkan palsu tentang mana-mana anjing gempal berbulu pendek sebagai pitbul.[35] Akibatnya, pitbul mempunyai kebarangkalian lebih rendah bagi adopsi atau bahkan untuk dibawa ke tempat perlindungan untuk dijaga.[36]
Oleh sebab oleh kesukanan dan pelbagai latar belakang pembiakbakaan, baka ini cenderung untuk menjadi tahan lasak, dengan purata jangka hayat sebanyak 12 hingga 14 tahun, yang lebih lama daripada banyak baka dengan saiz serupa. Terdapat sesetengah keadaan genetik yang perlu diawasi. Baka ini cenderung untuk menghidap penyakit tulang seperti displasia pinggul, mielopati degeneratif anjing, dan kehelan tempurung lutut. Baka ini juga dapat menghidap masalah kulit, seperti kurap dan alahan kulit, kerana lapis bulu pendeknya. Penyakit kesihatan lain yang terlihat pada baka ini termasuk kecacatan tiroid dan kecacatan jantung kongenital.[37][38]
Baka ini cenderung untuk mempunyai insiden lebih tinggi daripada purata bagi displasia pinggul.[39] Penakaian untuk prestasi telah membantu untuk membasmi masalah ini dan yang lain-lain seperti masalah tempurung lutut, disfungsi tiroid, dan kecacatan jantung kongenital.[40] Pitbulterier Amerika dengan warna lapis bulu cair tidak mempunyai kejadian lebih banyak bagi alahan kulit seperti baka lain.[41] Sebagai baka, ia lebih rentan terhadap parvovirus daripada yang lain jika tidak divaksin, terutamanya sebagai anak anjing, maka pemvaksinan adalah penting mulai usia 39 hari dan berterusan setiap 2 minggu sehingga usia 4 bulan, kemudian sekali lagi pada usia 8 bulan, dan sekali setahun selepas itu, seperti yang disyorkan untuk semua baka.[perlu rujukan]
Ia terdedah terhadap kurap demodeks kerana penakaian untuk prestasi. Terdapat dua jenis berlainan bagi kurap demodeks, iaitu demodeks setempat dan menyeluruh. Walaupun ini tidak berjangkit, ini kadang-kadang sukar untuk dirawat kerana keimunodefisienan pada sesetengah anak anjing. Gejala setempat biasanya merupakan keguguran bulu dalam tompok-tompok kecil pada kepala dan kaki anak anjing berkenaan. Jenis ini biasanya sembuh sebaik anak anjing membesar dan sistem imunnya bertambah kuat. Jenis kedua, iaitu kurap demodeks menyeluruh, ialah bentuk lebih parah bagi penyakit ini. Gejala termasuk keguguran bulu di serata tubuh dan kulit juga mungkin berkeruping dan berdarah. Kurap menueluruh biasanya diwarisi kerana gen keimunodefisienan yang diwarisi daripada bapa dan ibu kepada anak-anak. Ujian pengikisan kulit mudah membolehkan doktor haiwan mendiagnosis kurap demodeks. Kaedah yang digunakan dengan paling meluas untuk merawat kurap demodeks ialah penyuntikan ivermektin atau ubat mulut. Memandangkan kurap demodeks hidup di dalam folikel bulu anjing berkenaan, ivermektin membunuh tungai ini di sumbernya.[42]
APBT mempunyai beberapa susur galur, banyak yang berasal daripada laga anjing "profesional" sepanjang abad ke-20.
Yang lain dikembangkan untuk pertunjukan pengakuran United Kennel Club pada tahun 1980-an.[43] Walaupun sejarah dan keleluhuran susur galur APBT dapat menyediakan konteks dan wawasan tentang perkembangan baka ini, ada kepentingan untuk mengutamakan amalan pembiakbakaan bertanggungjawab dan kesejahteraan setiap anjing.
Dengan pengasasan oleh Tekla Castillo pada awal tahun 1980-an,[44] program beliau tertumpu pada piawaian pengakuran dalam UKC. Susur galur Castillo ialah zuriat pitbulterier Amerika yang terkenal kerana gabungan unik susur galur pembiakbakaan berlainan yang menghasilkan anjing dengan trait yang diingini seperti kekuatan, kecerdasan, dan perangai. Asas susur galur termasuk anjing seperti "PR" Nelson's Hazard Joe, yang lahir daripada pembiakbakaan antara Camarano's Buster Jo dengan Coonie's Bonnie.
Susur galur Castillo menampilkan kacukan susur galur cukup terkenal lain, dengan sambungan kepada pembiak baka anjing berpengaruh seperti Earl Tudor, Joe Corvino, J.P. Colby, dan lain-lain. Oleh sebab sifat saling berkaitan bagi komuniti pembiakbakaan dan pelbagai pengaruh ke atas susur galur, zuriat Castillo telah berkembang sebagai hasil daripada usaha kolektif berbilang pembiak baka yang menyumbang kepada perkembangannya seiringan dengan masa.
Anjing Colby ialah susur galur purba berhidung hitam yang menyumbang sebagai salah satu tonggak bagi baka APBT. Anjing Colby, yang dianggap sebagai salah satu daripada susur galur paling penting dan masyhur, dimulakan oleh John Pritchard Colby pada tahun 1889, yang memperoleh anjing-anjing laga terbaik (bull and terrier) yang diimport dari Ireland dan England.[45] Salah seekor anjing paling masyhur dalam susur galur beliau ialah Colby's Pincher. Pincher digunakan secara meluas sebagai bapa anjing. Atas sebab ini, Pincher hadir dalam pedigri sebahagian besar spesimen APBT. Susur salur anjing Colby kekal dipulihara oleh keluarga John P. Colby.[46]
Old Family Red Nose ("Hidung Merah Keluarga Lama"; OFRN) ialah satu strain lama atau sekeluarga susur galur yang berasal dari Ireland dan terkenal kerana pewarnaan kemerah-merahan spesifik dan uniknya. Banyak anjing daripada strain OFRN mempunyai hidung dan lapis bulu merah tembaga, bibir merah, kuku jari kaki merah, dan mata merah atau ambar.[47] Bukan setiap pitbulterier Amerika dengan ciri-ciri ini semestinya anjing OFRN, kerana, untuk ini, anjing berkenaan mesti mempunyai peratusan tinggi bagi susur galur beriktiraf bagi keluarga ini dalam pedigrinya.
Pada pertengahan abad ke-19, terdapat satu strain anjing serling di Ireland yang dikenali sebagai "Old Family" ("Keluarga Lama"). Pada masa itu, semua susur galur dibiakbakakan secara dalaman dengan rapat dengan setiap puak keluarga. Memandangkan merah adalah resesif kepada semua warna kecuali putih, strain ini dikenali sebagai "Irish Old Family Reds" ("[kn] Merah Keluarga Lama Ireland"). Apabila anjing mula tiba di Amerika, anjing tersebut sudah menunjukkan hidung merah.[48][49] Anjing "Old Family Reds" tiba di Amerika pada abad ke-19, terutamanya melalui pendatang Ireland, walaupun ramai di Amerika Syarikat mengimport baka ini.[48][49]
Banyak strain telah disilangkan dengan Old Family Reds pada suatu ketika dalam kewujudannya. Hasilnya, hampir mana-mana strain kadang-kadang menghasilkan anak anjing hidung merah. Ini bermakna bahawa bukan setiap anjing berhidung merah ialah OFRN sebenar. Old Family Reds menghasilkan lebih banyak daripada bahagiannya yang baik tidak seperti strain lain yang diketahui. Old Family Reds dicari-cari kerana gameness-nya. Strain asli terus dibiakbakakan.
Walaupun pernah terkenal kerana gameness-nya, ia kemudian dibiakbakakan untuk mengekalkan warna kemerah-merahan uniknua. Sesetengah pembiak baka paling bereputasi pada masa lalu, seperti Lightner, McClintock, Hemphill, Williams, Menefee, Norrod, dan Wallace telah menyumbang kepada pemuliharaan dan perkembangan strain ini. Akhir sekali, seperti yang dikatakan oleh McNolty dalam 30-30 Journal (1967), "Tanpa mengira perspektif sejarah seseorang, anjing lama bermata ambar, berhidung merah, berkuku kaki merah, dan berlapis bulu merah ini mewakili sebahagian sejarah dan tradisi paling ketara pitbul yang berdiri di atas empat kaki kini."[49]
Pada tahun 1935 di England, strain bull and terrier Cradley Heath diterima dan didaftarkan sebagai baka tulen oleh The Kennel Club sebagai bulterier Staffordshire.[50] Setahun kemudian di Amerika, American Kennel Club (AKC) mencatatkan peningkatan kepopularan dan penerimaan baka serupa yang sudah didaftarkan bertahun-tahun sebelum itu oleh United Kennel Club (UKC), iaitu pitbulterier Amerika. AKC akhirnya berkeputusan untuk menerima untuk mendaftar dan mengiktiraf baka Amerika itu, tetapi menamai baka itu semula dengan komitmen bahawa para pembiak baka bersekutu tidak akan membiakbakakan anjing untuk laga anjing.[51]
"American Bull Terrier" ("bulterier Amerika tanpa") "pit" ("serling", perkataan yang merujuk kepada arena laga anjing) ialah nama pertama yang dipertimbangkan oleh AKC, tetapi segera diketepikan kerana bantahan oleh para pembiak baka bulterier Inggeris.[18] "Yankee Terrier" ("terier Yankee") ialah satu lagi pilihan yang juga diketepikan.[18] Nama "Staffordshire Terrier" ("terier Staffordshire") dipilih dengan dakwaan bahawa baka itu berasal dari Staffordshire di England.[52] Pada 10 Jun 1936, sekitar 50 ekor anjing UKC memasuki buku pembaka AKC atas nama "Staffordshire Terrier". Wilfred Truman Brandon mengasaskan Staffordshire Terrier Club of America (STCA). Anjing Colby bernama Colby's Primo ialah antara yang pertama dianggap sebagai model unggul bagi piawaian baka dalam AKC. Buku pembaka AKC dibuka beberapa kali lagi sehingga kali terakhir ditutup pada sekitar tahun 1970-an. Pada tahun 1972, AKC mengubah nama baka itu kepada "American Staffordshire Terrier" ("terier Staffordshire Amerika")[52] kerana sudah ada niat untuk mengiktiraf bulterier Staffordshire British sebagai baka terpisah pada tahun-tahun berikut.[53]
Hujah berterusan mengenai sama ada pitbulterier Amerika dan terier Staffordshire Amerika merupakan dua baka berasingan atau masih baka sama.[52] Para pembiak baka pitbul dan amstaff telah menjauhkan diri antara satu sama lain dengan mengejar matlamat berlainan sepanjang 30 tahun lalu dengan menghasilkan anjing dengan perbezaan fizikal dan perangai. Sejak tahun 2015, American Dog Breeders Association (ADBA), yang telah mendaftarkan pitbulterier Amerika sejak tahun 1909,[54] menganggap terier Staffordshire Amerika sebagai baka terpisah.[55][56][57] UKC ialah satu-satunya kelab kenel pada masa ini yang menerima untuk mendaftarkan terier Staffordshire Amerika sebagai pitbulterier Amerika.[58][59] Juara pengakuran UKC adalah sangat serupa dengan juara AKC, kerana kedua-dua kelab mengongsi ramai hakim. AKC belum menerima untuk mendaftarkan pitbulterier Amerika sebagai terier Staffordshire Amerika sejak lewat abad ke-20.[60]
Sehingga kini, terdapat anjing yang dipanggil anjing berdaftar dwidaftar, iaitu anjing yang berdaftar pada masa yang sama sebagai terier Staffordshire Amerika dalam AKC dan sebagai pitbulterier Amerika dalam UKC, kerana pembiak baka terdahulu yang berkeputusan untuk mengekalkan kedua-dua daftar pedigri itu selari.[51][60] Sejak tahun 2015, ADBA mengelaskan kebanyakan (atau semua) anjing dwidaftar (AKC-UKC) ini sebagai terier Staffordshire Amerika.[56]
Anjing juara pengakuran ADBA adalah sangat berbeza daripada anjing juara UKC dan AKC. Piawaian AKC tidak menerima anjing berhidung merah.[53] Anjing UKC dan amstaff pada umumnya adalah lebih berat, lebih tegap, dan lebih besar daripada pitbulterier Amerika ADBA.[51]
Pitbulterier Amerika cemerlang dalam banyak sukan anjing, termasuk penarikan berat, ketangkasan anjing, flyball, lure coursing, dan pertandingan kepatuhan lanjutan. Daripada 115 ekor anjing yang telah memperoleh status "superdog" ("anjing super") UKC (dengan memperoleh gelaran kejuaraan dalam pengakuran, kepatuhan, ketangkasan, dan penarikan berat), 34 ekor anjing merupakan pitbulterier Amerika dan 13 ekor lagi merupakan terier Staffordshire Amerika.[61][62]
Pitbulterier Amerika ialah anjing pekerja dan sesuai untuk pelbagai disiplin kerja kerana kecerdasan, paras tenaga tinggi, dan daya ketahanannya. Di Amerika Syarikat, ia telah digunakan sebagai anjing pencarian dan penyelamatan,[63] anjing polis yang melakukan pengesanan narkotik dan bahan letupan,[64][65] anjing Peronda Sempadan, anjing mendengar untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak, serta anjing khidmat umum, termasuk anjing terapi.
Di sesetengah tempat, ia kerap menjadi anjing kegemaran untuk menangkap babi jalang.[66] Walaupun, Australian Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA) menerangkan cara amalan ini dapat menjadi berbahaya untuk anjing pemburu, dengan menyatakan bahawa anjing berkenaan mungkin mengalami kecederaan parah, "kelesuan haba, keracunan, trauma kenderaan, gigitan ular, dan tembakan tidak sengaja".[67]
United Kingdom,[10] Brazil,[68] Australia,[69] Ecuador,[70] Malaysia,[71][72] New Zealand,[73] wilayah Puerto Rico,[74] Singapura,[75] Venezuela,[76] Trinidad dan Tobago,[77] Denmark, Israel,[78] Perancis, Jerman, Norway, Poland, Portugal, Romania, Sepanyol, Switzerland,[79] dan Turki[80] telah menggubal sesetengah bentuk perundangan spesifik baka ke atas anjing jenis pitbul, termasuk pitbulterier Amerika, daripada larangan langsung kepada pembatasan import dan syarat pemilikan.[79][81] Negeri New South Wales di Australia menempatkan sekatan ke atas baka ini, termasuk pemandulan mandatori.[82][83]
Bandar raya tertentu di Amerika Syarikat, serta provinsi Ontario, Kanada, telah melarang pemilikan pitbulterier Amerika.[79][84] Di United Kingdom, ada larangan undang-undang ke atas pemilikan, penjualan, peninggalan, pemberian, atau pembiakbakaan pitbulterier.[10] Setakat September 2023, sekatan telah berkurang dengan sekurang-kurangnya 120 pemansuhan sejak tahun 2018.[12]
Pada tahun 2014, bukti statistik baharu muncul mengenai larangan seluruh provinsi ke atas "pitbul", lebih khusus pitbulterier Amerika dan terier Staffordshire Staffordshire, di provinsi Ontario di Kanada. Sejak larangan itu dilaksanakan, gigitan anjing yang melibatkan jenis pitbul, seperti yang dikenal pasti oleh pemilik atau penyiasat bandar raya, telah menurun dengan ketara apabila populasi berdaftar bagi baka-baka ini berkurang di bandar raya terbesar provinsi itu, Toronto.[85] Walau bagaimanapun, "gigitan anjing yang dilaporkan di Toronto telah meningkat sejak tahun 2012 dan, pada tahun 2013 dan tahun 2014, angka mencapai paras tertinggi pada abad ini, walaupun ketika pitbul dan anjing serupa menghampiri kepupusan tempatan" dan bukti yang diterbitkan di Global News menunjukkan bahawa beberapa baka anjing lain telah menyumbang kepada peningkatan.[86]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.