Sukan Asia Tenggara ke-24 (juga dikenali sebagai Sukan SEA) telah diadakan di Wilayah Nakhon Ratchasima (Korat), utara Thailand dari 6 Disember hingga 16 Disember, 2007. Majlis Olimpik Thailand telah merancang acara ini sempena hari ulang tahun kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej yang ke-80.
Fakta Segera Penyertaan negara, Penyertaan atlet ...
Ini adalah kali ke-6 Thailand menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara ini. Sebelum ini pada 1959, 1967, 1975, 1985, dan 1995. Sepatutnya Sukan SEA edisi 2007 tetapi Singapura telah menarik diri daripada peluang menjadi tuan rumah pada 2004 di Stadium Nasional Singapura dan ingin membina Hub Sukan Singapura maka Thailand mempunyai peluang menjadi tuan rumah Sukan SEA kali ini.
Pada 24 Februari2006, Gabenor Wilayah Nakhon Ratchasima bertemu untuk membincangkan jadual Sukan SEA ke-24, dan perkembangan projek di wilayah itu yang menelan kos perbelanjaan US$65 juta bagi pembinaan kompleks sukan. Projek ini diketuai oleh gabenor; Somboon Ngamlak. Akhirnya, gambaran keseluruhan pembinaan kemudahan sukan tersebut dinyatakan dalam satu perjumpaan, dan beliau menyatakan kesemua kemudahan sukan sedia digunakan untuk Sukan SEA 2007.
Kebanyakan sukan akan diadakan di kompleks sukan berharga $65 juta di Jalan Pakthongchai di Nakhon Ratchasima. [2] Kompleks sukan ini boleh menampung 20,000 tempat duduk dinamakan Kompleks sukan Keputeraan Raja ke-80 tahun, 5 Disember 2007. Kompleks sukan ini juga termasuk stadium dalaman berjumlah 5,000-tempat duduk, 16 kemudahan gelanggang tenis , di kalangan kemudahan lain yang dijadualkan tamat pembinaannya pada bulan Jun 2007.[3]
Terdapat lebih 400 acara daripada 43 jenis sukan dipertandingkan di Sukan Asia Tenggara 2007 termasuk 2 sukan pertunjukan (iaitu; Go dan Kempo).[4] Edisi ke-24 ini akan mempertandingkan jumlah acara tertinggi dalam sejarah Sukan Asia Tenggara, melebihi jumlah acara di Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
¹ - bukan jenis sukan rasmi Sukan Olimpik
² - sukan ini hanya dipertandingkan di Sukan SEA sahaja
³ - bukan sukan tradisi Sukan Olimpik mahupun Sukan SEA tetapi sukan ini hanya dipertandingkan oleh negara tuan rumah sahaja.
° - merupakan sukan rasmi Sukan Olimpik, tetapi tidak pernah dipertandingkan di mana-mana edisi sebelumnya dan dipertandingkan oleh negara tuan rumah. ʰ - tidak dipertandingkan di edisi sebelumnya tetapi dipertandingkan semula oleh negara tuan rumah.
Temasya Sukan SEA edisi yang ke-24 ini dibuka secara rasmi di Korat, Thailand. Temasya ini dianggap paling istimewa dalam sejarah enam kali Thailand menjadi tuan rumah kerana temasya dwi-tahunan terbesar di rantau Asia Tenggara itu, kali ini dilangsungkan hampir serentak dengan sambutan Keputeraan Raja Thai Ke-80.
Malah pemilihan Wilayah Nakhon Ratchasima sebagai gelanggang Sukan SEA kali ini khusus dibuat untuk memeriahkan lagi sambutan hari kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej, raja paling lama memerintah di dunia.
Walau bagaimanapun, upacara perasmian Sukan SEA edisi 2007 ini tidak dapat disempurnakan oleh Raja Bhumipol sendiri. Sebaliknya, diambilalih oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang mewakili bapanya yang uzur dan agak keletihan kerana menghadiri aturcara padat sempena sambutan hari lahirnya sebelum upacara perasmian ini menjelang.
Dengan bertemakan ‘Semangat, Setiakawan, dan Perayaan’ serta maskot kucing Siam ‘maeo si sawat’, acara perasmian tetap berlangsung dengan meriah dan penuh warna-warni apabila Stadium Utama Keputeraan Raja Thai Ke-80 yang boleh menempatkan kapasiti 40,000 orang.
Upacara perasmian bermula pukul 6.15 petang (waktu tempatan) dengan persembahan yang bertajuk ‘The Journey of SEA Games to Korat’ mula membuka tirai diikuti empat lagi persembahan kebudayaan menarik yang membabitkan 8,793 pelajar daripada 35 institusi pendidikan di Korat ini.
Antara persembahan tersebut ialah menyanjung pemerintahan Raja Bhumibol, pengkisahan tentang legenda tempat bersejarah Phu Mai Ruin dan pembukaan awal bandar Korat.
Selepas itu, 11 kontinjen negara yang mengambil bahagian pada temasya kali ini mula berarak masuk dengan didahului kontinjen Brunei Darussalam.
Kemuncak kepada upacara perasmian ini pastinya pengumuman pembukaan rasmi oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan SEA (SGF) dan pernyalaan obor sebagai tanda bermulanya temasya secara rasmi.
Dua atlet legenda Thailand iaitu pemenang pingat gangsa acara tinju lelaki Sukan Olimpik Athens 2004, Suriya Prasathinpimai dan atlet angkat berat dan wanita pertama Thailand yang memenangi emas di Sukan Olimpik 2004, Leftenan Udomporn Polsak diberi penghormatan menyalakan obor temasya.
Sebanyak 5,200 atlet daripada 11 buah negara Asia Tenggara mengambil bahagian pada temasya kali ini yang mempertandingkan 43 acara kesemuanya serta menawarkan 475 pingat emas untuk direbut.
Pemain hoki padang lelaki Thailand, Surathep Wisawathiron menjadi atlet pertama diuji ujian dadah positif menggunakan dadah jenis methyltestosterone.[5]
Malaysia menarik diri daripada semua acara sukan sepak takraw selepas membantah penggunaan bola getah yang baru. Sepak Takraw biasanya bola berkenaan diperbuat daripada rotan. Ini sekaligus memberikan kemenangan percuma/berat sebelah kepada Thailand dalam semua acara Sepak Takraw. Tetapi Thailand ingin mendakwa Malaysia kerana menarik diri daripada acara yang dipertandingkan pada saat-saat akhir. Meskipun, Thailand sudah menyapu bersih kesemua pingat emas acara Sepak Takraw. [7]
Mary Antoinette Rivero dari Filipina ditumpaskan 7-4 oleh Cassandra Haller dari Thailand dalam acara sukan taekwando wanita; kategori bawah 65 kilogram; Rivero sebenarnya boleh memungut 3 mata pada pusingan ketiga dan sudah menjatuhkan Haller ke lantai tetapi Haller pula yang mendapat mata pemberian juri. Ini telah menyebabkan atlet taekwando Filipina yang lain menarik diri dan beredar dari venue perlawanan sukan taekwondo.[8]
Filipina memulaukan semua perlawanan akhir tinju secara mengejut dan menunjukkan isyarat bahawa mutu pengadilan perlawanan rendah disebabkan keputusan berat sebelah oleh pihak juri.[9] Dua daripada tujuh petinju Filipina tidak muncul selepas loceng perlawanan berbunyi pada pusingan pertama sementara empat yang lain tidak muncul selepas loceng perlawanan pusingan penentuan pingat emas dibunyikan ketika menentang lawan dari Thailand, sekaligus kemenangan berpihak kepada Thailand. Mungkin, petinju Filipina menganggap mereka akan tetap tewas meskipun berjuang sehabis-habisan disebabkan keputusan juri yang sememangnya dijangka berat sebelah. Petinju Filipina turun sebagai 'underdog' pada semua perlawanan hari Khamis, untuk berlawan dengan petinju dari Thailand termasuk Non Boonjumnong; pemenang pingat perak kejohanan dunia 2007, Worapoj Petchkoom; pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2004, dan Suriya Prasathinphimai; pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2004.[10] Hanya lawan Boonjumnong, Larry Semilano berjaya menumpaskan satu-satunya petinju Thailand untuk merangkul pingat emas.