Sistiserkosis
From Wikipedia, the free encyclopedia
Sistiserkosis merupakan jangkitan tisu yang disebabkan oleh bentuk muda (sistiserkus) daripada cacing pita daging khinzir (Taenia solium).[1][2] Individu yang terkena jangkitan ini mungkin mengalami sedikit atau tiada simptom selama bertahun-tahun, mendapat gumpalan keras yang tidak menyakitkan pada kulit dan otot-otot sebesar kira-kira satu sehingga dua sentimeter, atau mengalami simptom neurologi jika otak terjejas.[3][4] Selepas beberapa bulan atau tahun, gumpalan ini boleh menyakitkan dan membengkak, kemudian menghilang. Di negara-negara membangun, hal ini merupakan satu daripada punca sawan yang paling biasa.[3]
Sistiserkosis | |
---|---|
Pengelasan dan sumber luaran | |
ICD-10 | B69 |
ICD-9 | 123.1 |
P. Data Penyakit | 3341 |
MedlinePlus | 000627 |
eMedicine | emerg/119 med/494 ped/537 |
MeSH | D003551 |
Penafian perubatan |
Jangkitan ini biasanya berpunca daripada mengambil makanan atau air yang mengandungi telur cacing pita. Sayur yang tidak dimasak merupakan punca utama.[2] Telur cacing pita datang daripada najis orang yang dijangkiti cacing dewasa, iaitu satu keadaan yang dikenali sebagai teniasis.[3][5] Teniasis merupakan suatu penyakit yang lain dan disebabkan oleh pengambilan sista dalam daging khinzir yang tidak dimasak secukupnya.[2] Mereka yang hidup bersama seseorang yang dijangkiti cacing pita mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap sistiserkosis.[5] Diagnosis boleh dilakukan dengan penyedutan sista.[3] Mengambil gambar otak menggunakan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) sangat berguna untuk mendiagnos penyakit di dalam otak. Peningkatan dalam bilangan sel darah putih, yang dipanggil eosinofils, dalam cecair spina serebrum dan darah juga digunakan sebagai penunjuk.[3]
Jangkitan boleh dicegah secara efektif dengan kebersihan diri dan sanitasi. Ini termasuk: memasak daging khinzir dengan secukupnya, tandas yang betul dan peluang mendapatkan air bersih yang lebih baik. Merawat orang yang menghidap teniasis adalah penting bagi mencegah jangkitan daripada merebak.[2] Merawat penyakit yang tidak melibatkan sistem saraf mungkin tidak diperlukan.[3] Rawatan mereka yang menghidap neurosistiserkosis boleh dilakukan dengan ubat praziquantel atau albendazole. Ubat-ubat ini mungkin diperlukan untuk suatu jangka masa yang panjang. Steroid, untuk antikeradangan semasa rawatan, dan ubat antisawan juga mungkin diperlukan. Pembedahan kadangkala dijalankan untuk mengeluarkan sista.[2]
Cacing pita daging khinzir biasa ditemui khususnya di Asia, Subsahara Afrika, dan Amerika Latin. [3] Di beberapa kawasan, dipercayai sehingga 25% penduduk terjejas.[3] Jangkitan ini jarang ditemui di negara maju.[6] Pada tahun 2010, ia sudah mengakibatkan 1,200 kematian seluruh dunia, iaitu satu peningkatan dari 700 kematian pada tahun 1990. [7] Sistiserkosis juga menjejaskan khinzir dan lembu tetapi jarang mengakibatkan simptom kerana kebanyakan daripadanya hidup tidak cukup lama.[2] Penyakit ini sudah berlaku dalam kalangan manusia sejak dahulu lagi.[6] Ia merupakan salah satu penyakit tropika yang terabai.[8]