![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/f/f8/Vandal_alan_kingdom_526.png/640px-Vandal_alan_kingdom_526.png&w=640&q=50)
Sejarah Tunisia
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada permulaan sejarah tercatat, Tunisia dihuni oleh puak Barbar. Pantainya kemudian dihuni oleh orang-orang Phoenicia bermula seawal abad ke-10 SM lagi. Pada abad ke-8 SM, kota Carthage diasaskan oleh peneroka-peneroka dari Tyrus (Lubnan kini). Legenda mengatakan bahawa Ratu Dido mengasaskan kota ini, sebagaimana diceritakan dalam Aeneid, mahakarya Rom. Peneroka-peneroka Carthage membawa kebudayaan dan agama mereka daripada kaum-kaum Phoenicia dan Kanaan.
Selepas suatu siri peperangan dengan Yunani pada abad ke-6 SM, Carthage bangkit untuk berkuasa dan akhirnya menjadi peradaban yang utama di Mediterranean. Masyarakat Carthage menyembah dewa-dewa Timur Tengah yang termasuk Baal dan Tanit. Lambang Tanit, bentuk wanita yang muda dengan pakaian panjang serta tangan yang dihulurkan, merupakan ikon yang popular yang banyak terdapat di tapak-tapak kuno. Para pengasas Carthage juga mengasaskan kota Tophet yang diubah pada zaman Rom. Walaupun Rom merujuk kepada empayar baru yang bertumbuh di kota Carthage sebagai Punik atau Phoenicia, empayar tersebut merupakan sebuah entiti politik merdeka yang berbeza daripada petempatan-petempatan Phoenicia yang lain di Mediterranean Barat.
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/f/f8/Vandal_alan_kingdom_526.png/640px-Vandal_alan_kingdom_526.png)
Suatu serangan Carthage ke atas Itali oleh Hannibal semasa Perang Punik Kedua, sebuah siri peperangan dengan Rom, hampir melumpuhkan kebangkitan Empayar Rom. Carthage akhirnya ditaklukkan oleh Rom pada abad ke-2 SM, suatu titik peralihan yang menyebabkan peradaban Mediterranean kuno dipengaruhi khususnya oleh orang-orang Eropah berbanding dengan kebudayaan-kebudayaan Afrika. Selepas penaklukan Rom, kawasan itu menjadi salah satu jelapang Rom. Ia ditaklukkan oleh puak Vandal pada abad ke-5 dan ditaklukkan semula oleh komander Belisarius pada abad ke-6 semasa pemerintahan Justinian, maharaja Empayar Rom Timur.
Pada abad ke-7, kawasan ini ditaklukkan pula oleh kaum Muslim Arab yang mengasaskan kota Kairouan. Dinasti-dinasti Muslim yang berturut-turut memerintah, digendalakan sekali-sekala oleh pemberontakan-pemberontakan Barbar. Pemerintahan Dinasti Aghlabid (abad ke-9) dan Dinasti Zirid (sejak 972), pengikut-pengikut Kerajaan Fatimiyyah Barbar, amat makmur. Apabila Zirid menyebabkan Fatimid di Kaherah (1050) marah, Fatimid menghantar puak Banu Hilal untuk menjarah Tunisia.
Pada abad ke-12, pantai-pantai Tunisia ditakluk oleh kaum Norman dari Sicily buat tempoh yang singkat. Tunisia kemudian ditakluk oleh para khalifah Al-Muwahhidun pada tahun 1159. Mereka digantikan oleh kaum Hafsid Barbar (k.k. 1230ā1574) dan di bawah kaum ini, Tunisia berkembang maju. Pantai tersebut menjadi sebuah kubu lanon (sila lihat Negara-negara Barbary) pada akhir abad ke-16. Pada tahun-tahun terakhir Dinasti Hafsid, Sepanyol merampas banyak daripada kota-kota pantai, tetapi kota-kota tersebut kemudian didapat balik oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Di bawah para Bey, gabenor-gabenor Turki, Tunisia mencapai kemerdekaan sebenarnya. Dinasti Hussein para Bey yang diasaskan pada tahun 1705 wujud sehingga tahun 1957.