![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/8/8e/Kiplingcropped.jpg/640px-Kiplingcropped.jpg&w=640&q=50)
Rudyard Kipling
From Wikipedia, the free encyclopedia
Joseph Rudyard Kipling (30 Disember 1865 – 18 Januari 1936) ialah seorang pengarang dan pemuisi berbangsa British kelahiran Bombay, di India British,[1] yang terkenal sekali kerana karya-karya cereka The Jungle Book (1894) (koleksi cerita yang mengandungi Rikki-Tikki-Tavi), Kim (1901) (kisah pengembaraan); cerpen The Man Who Would Be King(1888); dan puisi Mandalay (1890), Gunga Din (1890), dan If— (1910). Beliau disanjungi sebagai seorang "pembaharu utama dalam seni cerpen";[2] di samping karya sastera kanak-kanak klasik yang tidak lapuk dek zaman, segala karya terbaik ciptaan beliau merupakan kurniaan yang serba guna dan jelas naratifnya kepada dunia sastera.[3][4]
Rudyard Kipling | |
---|---|
![]() Fotogravur (1926) | |
Pekerjaan | Pengarang cerpen, Novelis, Pemuisi, Wartawan |
Warganegara | British |
Genre | Cerpen, novel, kesusasteraan kanak-kanak, puisi, kesusasteraan pelancongan, cereka sains |
Subjek | India |
Karya terkenal | The Jungle Books Just So Stories Kim |
Anugerah | Hadiah Nobel dalam kesusasteraan (1907) |
Kipling ialah salah seorang tokoh penulisan bahasa Inggeris yang tersohor dalam bidang prosa dan puisi pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.[2] Henry James mengulas: "Pada pandangan peribadi saya, Kipling merupakan insan terlengkap dari segi genius (berbeza dengan kepintaran terbaik) yang pernah saya kenali."[2] Pada tahun 1907, beliau dikurniakan anugerah Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan, menjadikan penulis bahasa Inggeris pertama yang menerima hadiah tersebut, dan hingga kini masih memegang rekod sebagai penerima termuda hadiah ini.[5]
Menjelang akhir hayatnya, Kipling diberi jolokan (oleh George Orwell, antara lainnya) sebagai "penanjur imperialisme British."[6] Ramai yang mentafsir anasir-anasir prejudis dan militarisme dalam karya-karyanya,[7][8] menyebabkan beliau diselubungi kontroversi sepanjang abad ke-20.[9][10] Menurut ulasan Douglas Kerr: "Beliau masih kekal sebagai pengarang yang boleh mengilhamkan pertentangan pendapat yang mendalam, dan tempatnya dalam sejarah sastera dan kebudayaan masih belum tetap lagi. Sungguhpun demikian, pada zaman kemerosotan empayar-empayar Eropah, beliau diiktiraf sebagai pentafsir pengalaman empayar yang tiada bandingannya, biarpun mengundang kontroversi. Itulah, selain limpah-limpahan pengiktirafan kepada anugerah naratifnya yang luar biasa, yang menjadikannya sebagai seorang tokoh yang disegani."[11]