From Wikipedia, the free encyclopedia
Politik perubahan iklim lahir daripada perbezaan pandangan dalam strategi tindak balas terhadap perubahan iklim. Pemanasan global didorong secara amnya oleh pelepasan gas rumah hijau akibat aktiviti ekonomi manusia, terutamanya pembakaran bahan api fosil, kewujudan industri berpelepasan karbon tinggi seperti pengeluaran simen dan keluli, dan pembersihan tanah untuk pertanian dan perhutanan pengeluaran. Sejak Revolusi Perindustrian, bahan api fosil telah menyediakan sumber tenaga utama untuk pembangunan ekonomi dan teknologi. Kebergantungan kepada bahan api fosil dan industri-industri intensif karbon lain telah menyebabkan penentangan terhadap dasar-dasar politik mesra iklim, walaupun wujud konsensus saintifik yang meluas terhadap keperluan dasar sedemikian.
Perubahan iklim muncul sebagai isu politik bagi kali pertama pada 1970-an. Usaha-usaha untuk mengurangkan perubahan iklim menjadi sebahagian terutama daripada agenda politik antarabangsa sejak 1990-an, dan juga semakin penting di peringkat nasional dan tempatan. Perubahan iklim merupakan masalah global yang kompleks. Pelepasan gas rumah hijau (GHG) menyumbang kepada pemanasan global, walaupun pelepasan tersebut mungkin bersifat tempatan. Namun begitu, kesan pemanasan global tidak sama rata, dan bergantung kepada kedudukan atau status pembangunan ekonomi sesebuah negara. Kesan perubahan iklim dikatakan negatif secara keseluruhan, malah akan bertambah buruk dengan pemanasan meningkat. Wujud juga perbezaan ketara antara negara bagi manfaat yang mampu diperoleh daripada sumber tenaga bahan api fosil dan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Perbezaan pandangan terhadap tanggungjawab, faedah dan ancaman berkaitan dengan perubahan iklim yang dihadapi oleh negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyumbang kepada bermulanya persidangan perubahan iklim sedunia. Namun begitu, persidangan terawal tidak berhasil selain daripada penyataan hasrat am untuk menangani masalah perubahan iklim serta perjanjian tidak mengikat daripada negara maju untuk mengurangkan pelepasan mereka. Pada abad ke-21, perhatian terhadap mekanisme seperti kewangan iklim telah meningkat supaya negara yang terdedah kepada kesan-kesan perubahan iklim mampu mengadaptasi terhadap masalah tersebut. Sesetengah negara dan bidang kuasa tempatan telah menerima dan mengguna pakai dasar mesra iklim yang melampaui komitmen di peringkat antarabangsa. Namun begitu, pengurangan pelepasan GHG yang dicapai oleh dasar mesra iklim di peringkat tempatan tidak mampu memperlahankan pemanasan global melainkan jumlah keseluruhan pelepasan GHG sejagat menurun.
Menjelang 2020-an, penggantian bahan api fosil sebagai sumbar tenaga dengan sumber tenaga boleh diperbaharui telah menjadi jauh lebih mudah. Kini, terdapat beberapa buah negara yang menjana hampir semua tenaga elektrik mereka daripada tenaga boleh diperbaharui. Kesedaran awam terhadam ancaman akibat perubahan iklim telah meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan sosial yang dipimpin oleh belia dan keterlihatan kesan perubahan iklim, seperti kejadian cuaca ekstrem dan banjir yang disebabkan oleh kenaikan paras laut. Pelbagai tinjauan menunjukkan bahawa semakin banyak pemilih yang mendukung perubahan iklim sebagai keutamaan politik, dan memudahkan ahli politik untuk mengambil kisah terhadap dasar tindakan iklim. Pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi membawa kepada seruan meluas untuk mewujudkan suatu "pemulihan hijau ". Beberapa konteks politik seperti Kesatuan Eropah telah berjaya memasukkan tindakan iklim ke dalam perubahan dasar mereka. Penafian perubahan iklim secara terang-terangan semakin kurang berpengaruh sejak 2019, sejakmana pembangkang telah beralih strategi kepada melengahan atau tidak mengambil tindakan terhadap perubahan iklim.
Perbahasan dasar politik mengenai perubahan iklim adalah mengenai tindakan yang perlu atau boleh diambil untuk menangani isu tersebut. [1] Politik perubahan iklim bertunjangkan pelbagai hujah berbeza termasuk penilaian tentang dekatnya ancaman serta kebolehlaksanaan, kebaikan dan keburukan pelbagai jenis tindakan iklim. Secara amnya, perbezaan pendapat dalam perbahasan dasar perubahan iklim berkaitan dengan tindak balas mampu diambil. [1]
Kenyataan yang membentuk hujah politik boleh dibahagikan kepada dua jenis: pernyataan positif dan normatif. Pernyataan positif boleh dijelaskan atau disangkal dengan menggunakan istilah yang didefinisikan secara teliti mahupun dengan mengemukakan bukti saintifik. Sebaliknya, kenyataan normatif menjelaskan apa yang "sepatutnya" dilakukan sering dikaitkan dengan soal pertimbangan dan hujah moraliti. Kemajuan terhadap persefahaman menjadi lebih mudah sekiranya hujah positif dan normatif hujah dapat dipisahkan demi mencapai persetujuan terhadap pernyataan positif terlebih dahulu. Pada peringkat awal perbahasan, pandangan normatif pendebat terpengaruh oleh persepsi mereka terhadap kepentingan golongan yang mereka wakili. Dalam mencapai kemajuan yang luar biasa pada persidangan Paris 2015, para diplomat termasuk Christiana Figueres menyatakan bahawa pelakon utama dalam konteks antarabangsa dapat melangkaui permikiran yang berlandaskan kepentingan yang saling bersaing kepada kenyataan normatif yang mencerminkan kepentingan bersama yang berlandaskan kerjasama sejagat. [2] [note 1]
Tindakan iklim boleh dibahagikan kepada tiga kelas, iaitu: mitigasi – tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan untuk meningkatkan penyerap karbon, penyesuaian – tindakan untuk mempertahankan daripada hasil negatif pemanasan global, dan pengurusan sinar matahari melalui kejuruteraan iklim – teknologi di mana cahaya matahari (kesinaran suria) dipantulkan kembali ke angkasa lepas. [3]
Kebanyakan perselisihan pendapat di peringkat antarabangsa dalam abad ke-20 mengenai perubahan iklim tertumpu hampir sepenuhnya pada kaedah mitigasi sehingga lahirnya pendapat bahawa memberi perhatian kepada penyesuaian boleh disamakan dengan mengaku kalah. Selain itu, penyesuaian merupakan sesuatu yang dilaksanakan amnya di peringkat tempatan kerana ancaman dan peluang yang dihadapi berbeza mengikut kedudukan dan status pembangunan manakala manakala mitigasi adalah suatu perjuangan bersama tanpa mengira kedudukan mahupun kekayaan negara.
Menjelang awal abad ke-21, walau mitigasi dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menangani perubahan iklim, ia tidak lagi dijadikan satu-satunya tumpuan kerjasama antarabangsa. Penyesuaian kini dilihat secara meluas dianggap sebagai penting dan perlu, maka dibincangkan di peringkat antarabangsa pada tahap tinggi, walaupun kebanyakan tindakan khusus perlu diambil secara tempatan. Komitmen untuk menyediakan bantuan kewangan bernilai AS$100 billion setahun kepada negara membangun telah dibuat pada Sidang Kemuncak Copenhagen 2009. Antara perkara yang telah dijelaskan di Persidangan Paris ialah bahawa peruntukan pembiayaan iklim harus melibatkan pemisahan seimbang antara penyesuaian dan mitigasi. Namun begitu, tidak semua pembiayaan telah disediakan menjelang Disember 2020, dan peruntukan tersedia telah diperuntukkan kepada projek mitigasi. [4] [5] Menjelang 2019, kemungkinan untuk kejuruteraan bumi juga semakin menjadi tema perbincangan dan dijangka akan lebih diutamakan pada masa akan datang. [3] [6]
Perbincangan mengenai dasar mitigasi yang berkesan mengambil bentuk yang berbeza berdasarkan skala tadbir urus yang dipertimbangan. Sebagai contoh, pertimbangan berbeza menjadi topik perbincangan pada peringkat antarabangsa, peringkat kebangsaan dan peringkat daerah. Keyakinan bahawa masalah itu dapat ditangani dengan berjaya wujud pada 1990-an apabila perubahan iklim mula mengambil tempat utama dalam agenda politik. Penandatanganan Protokol Montreal 1987 untuk melindungi lapisan ozon telah menunjukkan bahawa tindakan secara kolektif mampu diambil dalam menangani ancaman yang lahir akibat perubahan iklim, ancaman tersebut belum menyebabkan kemudaratan yang ketara kepada manusia pada ketika itu. Namun pada awal 2000-an, pelepasan GHG terus meningkat, tanpa tanda persetujuan untuk menghukum pencemar mahupun untuk memberi ganjaran kepada negara-negara yang melaksanakan dasar mesra iklim. Dengan itu, cabaran mengehadkan pemanasan global menjadi lebih ketara global. [note 2] [3] [7] Sesetengah ahli politik, termasuk Arnold Schwarzenegger dengan slogannya "terminasikan pencemaran", mengatakan bahawa aktivis harus mencipta keyakinan dengan memberi tumpuan kepada manfaat kesihatan bersama sebagai manfaat tindakan iklim. [8]
Perubahan iklim menjadi agenda politik global tetap pada awal 1990-an, dengan persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan setiap tahun. Acara tahunan ini juga dipanggil Persidangan Para Pihak (COP). Antara mercu COP utama ialah Protokol Kyoto 1997, Sidang Kemuncak Copenhagen 2009 dan persidangan Paris 2015. Kyoto dianggap berpotensi tinggi pada mulanya. Namun, keputusannya kelihatan mengecewakan menjelang awal 2000-an. Copenhagen menyaksikan percubaan besar untuk bergerak melangkaui Kyoto dengan pakej komitmen yang lebih kukuh, tetapi gagal diimplementasikan. Walau Pernjajian Paris dianggap secara meluas sebagai dasar yang berjaya, keberkesanannya untuk mengurangkan pemanasan global pada jangka panjang masih belum ketara. [3]
Pada peringkat antarabangsa, terdapat tiga pendekatan luas untuk pengurangan pelepasan yang negara boleh cuba untuk berunding, iaitu:
Pendekatan-pendekatan ini saling melengkapi, walaupun persidangan iklim sering diberikan kepada pendekatan pengurangan pelepasan. Sehingga kira-kira 2010, rundingan antarabangsa tertumpu sebahagian besarnya pada sasaran pelepasan. Kejayaan perjanjian Montreal dalam mengurangkan pelepasan CFC yang merosakkan lapisan ozon mencadangkan bahawa sasaran boleh menjadi berkesan. Namun dalam kes pengurangan gas rumah hijau, sasaran pengurangan tidak berjaya membawa kepada pengurangan besar dalam pelepasan karbon. Sasaran yang bercita-cita tinggi lazimnya tidak tercapai. Usaha untuk mengenakan hukuman berat yang menginsentifkan usaha lebih gigih demi mencapai sasaran pengurangan pelepasan lazimnya disekat oleh kerajaan-kerajaan yang berpengaruh dan bergantung kuat kepada industri intensif karbon. [9]
Pada abad ke-21, persetujuan meluas telah dicapai bahawa penetapan harga karbon adalah cara paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan, sekurang-kurangnya secara teori. [10] Namun, negara-negara enggan menerima pakai harga karbon sama sekali, lebih-lebih lagi menerima harga karbon yang tinggi. Salah satu sebab utama keengganan ini ialah masalah kebocoran karbon – fenomena di mana aktiviti menghasilkan pelepasan GHG dialihkan keluar dari bidang kuasa yang mengenakan harga karbon sekaligus mengurangkan peluang pekerjaan dan kutipan hasil tanpa membawa mana-mana faedah, kerana pelepasan akan dialih keluar ke tempat lain yang tidak mengenakan harga karbon. Namun begitu, peratusan pelepasan dunia yang dikenakan sebahagian daripada pasaran karbon meningkat daripada 5% pada tahun 2005 kepada 15% menjelang 2019, dan dijangka melebihi 40% sebaik sahaja harga karbon China berkuat kuasa sepenuhnya. Kebanyakan rejim harga karbon yang sedia ada telah dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah, negara-negara dan bidang kuasa subnasional yang bertindak secara berautonomi. [11]
Sistem ikrar dan semakan yang secara sukarela di mana negara membuat rancangan untuk pengurangan pelepasan telah diperkenalkan pada tahun 1991, tetapi ditinggalkan sebelum selesainya perjanjian Kyoto 1997 di mana perhatian ditumpukan kepada mendapatkan persetujuan untuk menetapkan sasaran pelepasan dari "atas-ke-bawah". Pendekatan ini telah dihidupkan semula di Copenhagen, dan semakin terkenal dengan Perjanjian Paris 2015, walaupun ikrar kini dipanggil sumbangan yang ditentukan secara nasional (NDC) yang sepatutnya dipertingkatkan setiap 5 tahun. Keberkesanan pendekatan ini masih belum ketara. [12] Sesetengah negara telah menaikkan NDC mereka pada tahun 2021, sekitar persidangan Glasgow . Peraturan perakaunan untuk perdagangan karbon telah dipersetujui pada mesyuarat COP Glasgow 2021. [13]
Dasar untuk mengurangkan pelepasan GHG ditetapkan sama ada di peringkat kebangsaan atau subnasional, atau di peringkat serantau dalam kes Kesatuan Eropah. Kebanyakan dasar pengurangan pelepasan yang telah dilaksanakan telah melebihi apa yang telah ditetapkan oleh perjanjian antarabangsa. Sebagai contoh, pengenalan harga karbon oleh beberapa buah negeri di AS, atau pencapaian Costa Rica dalam menjana 99% daripada kuasa elektrik mereka melalui tenaga boleh diperbaharui menjelang 2010-an.
Keputusan untuk mengurangkan pelepasan atau mengguna teknologi bersih tidak dibuat oleh kerajaan, sebaliknya dibuah oleh individu, para peniaga dan organisasi-organisasi lain. Namun begitu, kerajaan negara dan tempatan yang menetapkan dasar untuk menggalakkan aktiviti mesra iklim. Secara umumnya dasar ini boleh dibahagikan kepada empat jenis:
Politik iklim tempatan kerap dikaitkan dengan pencemaran udara, contohnya mewujudkan zon pelepasan rendah di bandar yang dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada pengangkutan jalan raya. [14]
Individu, perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mempengaruh politik perubahan iklim secara langsung dan tidak langsung. Mekanisme proses tersebut termasuk retorik individu, pernyataan pendapat agregat melalui tinjauan pendapat, dan bantahan besar-besaran. Dari segi sejarah, sebahagian besar protes ini telah menentang dasar mesra iklim. Sejak protes bahan api UK 2000, terdapat berpuluh-puluh bantahan di seluruh dunia terhadap cukai bahan api atau penamatan subsidi bahan api. Sejak 2019 dan kemunculan mogok sekolah dan Pemberontakan Kepupusan, mogok pro-iklim telah menjadi lebih menonjol. Pembiayaan atau mengusahakan teknologi hijau, dan pergerakan pelupusan bahan api fosil termasuk bawah saluran tidak langsung untuk mempengaruhi politik perubahan iklim bagi pelakon berkecuali. [3]
Terdapat pelbagai kumpulan, organisasi dan syarikat berkepentingan khas yang mempunyai pendapat awam dan kendiri mengenai topik pemanasan global. Pelakon berkepentingan khas yang telah menunjukkan minat dalam politik pemanasan global termasuk:
Pihak berkepentingan yang pelbagai ini kadangkala menyelaraskan penerangan antara satu sama lain untuk mengukuhkan hujah mereka. Contohnya, syarikat elektrik membiayai pembelian bas sekolah elektrik untuk memberi manfaat kepada bidang perubatan dengan mengurangkan beban perkhidmatan kesihatan dan menjual tenaga elektrik pada masa yang sama. Industri juga membiayai pertubuhan bukan untung khusus untuk meningkatkan kesedaran dan melobi untuk kepentingan mereka. [30] [31]
Politik iklim semasa dipengaruhi oleh beberapa gerakan sosial dan politik yang berpaksikan kehendak politik untuk tindakan iklim. Ini termasuk gerakan keadilan iklim, pergerakan iklim belia dan gerakan untuk penyahlaburan daripada industri bahan api fosil.
Percubaan setakat ini untuk mencapai persetujuan politik terhadap dasar mengehadkan pemanasan global telah gagal secara amnya. Pengulas yakin bahawa tahun 2020-an mungkin lebih berjaya ikutan perkembangan politik dan peluang terkini. Namun, pengulas lain mengeluarkan amaran bahawa masa untuk bertindak semakin singkat untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 °C, malah peluang untuk mengekalkan pemanasan global di bawah 2 °C juga terhad. [3] [32] [33] [34]
Pada penghujung 2010-an, pelbagai perkembangan yang kondusif bagi politik mesra iklim membangkitkan optimisme dalam kalangan para pengulas bahawa kemajuan terhadap menangani ancaman pemanasan sejagat dapat dilihat pada 2020-an. [3] [32] [33]
Tahun 2019 telah disifatkan sebagai "tahun bilamana dunia cakna terhadap perubahan iklim", didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan pengiktirafan terhadap ancaman pemanasan global akibat peristiwa cuaca ekstrem baru-baru ini, kesan Greta dan laporan IPPC 1.5 °C. [36] [37]
Pada 2019, setiausaha agung OPEC mengiktiraf gerakan mogok sekolah sebagai ancaman terbesar yang dihadapi oleh industri bahan api fosil. Menurut Christiana Figueres, apabila kira-kira 3.5% daripada populasi mula mengambil bahagian dalam protes tanpa kekerasan, mereka akan berjaya mencetuskan perubahan politik. Dengan kejayaan gerakan Fridays for Future oleh Greta Thunberg, ambang ini mungkin boleh diperolehi. [38]
Kajian tinjauan 2023 yang diterbitkan dalam One Earth menyatakan kebanyakan orang berpendapat bahawa perubahan iklim sedang berlaku atau akan berlaku dalam masa terdekat. [39] Kajian ini menyimpulkan bahawa penanggapan perubahan iklim sesuatu yang lebih jauh tidak semestinya tindakan iklim yang kurang dan pengurangan jarak psikologi tidak meningkatkan tindakan iklim secara konsisten. [39]
Menjelang 2019, penafian perubahan iklim secara terang-terangan kurang berpengaruh berbanding tahun-tahun sebelumnya. Antara punca perubahan ini termasuk kekerapan kejadian cuaca ekstrem yang semakin meningkat, komunikasi yang lebih berkesan di pihak saintis iklim dan kesan Greta. Sebagai contoh, Institut Cato yang menafikan perubahan iklim telah menutup badan kajian iklimnya pada tahun 2019. [40] [41] [42] [43] [44]
Tenaga boleh diperbaharui adalah sumber tenaga yang tidak akan habis dan dapat diperbarui secara semula jadi. Sumber tenaga boleh diperbaharui utama ialah angin, tenaga hidro, solar, geoterma, dan biojisim. Pada tahun 2020, 29% tenaga elektrik dunia dijana dengan menggunakan sumber boleh diperbaharui. [45]
Susulan Perjanjian Paris, 168 negara telah menerima pakai sasaran tenaga boleh diperbaharui negara dan 115 daerah juga membuat sasaran tenaga boleh diperbaharui. Terdapat pelbagai usaha yang digunakan oleh negara-negara ini untuk mencapai sasaran tersebut, termasuk pelaburan tenaga boleh diperbaharui. Sebanyak 102 negara telah melaksanakan kredit cukai, 101 negara telah melaksanakan program pelaburan awam dan 100 negara sedang menggunakan pengurangan cukai bagi membantu dalam pencapaian sasaran tersebut. Pemancar CO terbesar merupakan negara-negara perindustrian seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan India. Negara-negara ini tidak melaksanakan dasar perindustrian yang mencukupi (188) berbanding dengan dasar penempatan (lebih daripada 1,000). Jelas sekali bahawa dasar ini perlu diwujudkan dengan cara yang saling membina supaya dapat meningkatkan keberkesanan. [46]
Pada November 2021, Persidangan Para Pihak (COP26) ke-26 telah berlangsung di Glasgow, Scotland. Hampir 200 buah negara telah bersetuju untuk mempercepatkan perjuangan menentang perubahan iklim dan menekankan komitmen kepada janji iklim yang lebih berkesan. Pembaharuan mengenai pencemaran gas metana, penebangan hutan dan pembiayaan arang batu termasuk antara ikrar baharu yang dibuat. AS dan China (dua pemancar karbon terbesar) juga bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha untuk mencegah pemanasan global daripada melepasi 1.5 darjah Celsius. [47] Sesetengah saintis, ahli politik dan aktivis berhujah bahawa masih banyak yang belum dilakukan pada sidang kemuncak ini dan kami masih akan mencapai titik puncak 1.5 darjah itu. Laporan Bebas oleh Climate Action Tracker berkata komitmen itu adalah "layanan bibir" dan "kami akan mengeluarkan kira-kira dua kali lebih banyak pada 2030 berbanding apa yang diperlukan untuk kekal bawah 1.5 darjah." [48]
Setakat 2020, kebolehpasaran menggantikan tenaga bahan api fosil dengan nuklear atau tenaga boleh diperbaharui telah meningkat dengan ketara. Kini, berpuluh-puluh negara menjana lebih daripada separuh daripada campuran tenaga dengan menggunakan sumber boleh diperbaharui. [49] [50]
Paket pemulihan hijau adalah usulan reformasi lingkungan, peraturan, dan fiskal untuk membangunkan kemakmuran setelah krisis ekonomi, contohnya pandemik COVID-19 atau Krisis Kewangan Global. Paket-paket tersebut berkaitan dengan langkah-langkah fiskal yang bertujuan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi sambil memberikan manfaat bagi alam sekitar. Antara dasar pemulihan hijau ialah tenaga boleh diperbaharui, penggunaan energi yang cekap, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pengangkutan mampan, inovasi hijau, dan pekerjaan hijau.
Untuk pemulihan hijau dalam menangani pandemik COVID-19, sokongan daripada pelbagai parti politik, kerajaan, aktivis, dan akademia di seluruh Kesatuan Eropah, UK, AS, dan negara-negara lain. Mengikuti langkah-langkah serupa dalam menangani Krisis Kewangan Global, sebahagian penting paket tersebut adalah memastikan bahawa tindakan untuk memerangi kemerosotan ekonomi juga memerangi perubahan iklim, termasuk pengurangan penggunaan batu arang, bahan bakar fosil, pengangkutan bersih, energi boleh perbaharui, bangunan mesra alam, dan amalan korporat dan kewangan yang mampan. Inisiatif-inisiatif ini disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Beberapa inisiatif global telah menyediakan penjejakan langsung terhadap tindak balas fiskal kebangsaan, termasuk [Global Recovery Observatory] (dari Universiti Oxford), PBB, dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Penjejak Dasar Tenaga, dan Penjejak Pemulihan Hijau OECD. [Global Recovery Observatory] merangkumi ~8.000 dasar dalam 88 buah negara manakala Energy Policy Tracker menjejak ~1700 dasar dalam 35 buah negara, dan 1.500 dasar dalam 44 buah negara untuk OECD.
Meneliti antara pelaburan menyelamat dan pemulihan, analisis Universiti Oxford Mac 2021 mendapati bahawa 18% daripada pelaburan pemulihan dan 2.5% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan adalah perbelanjaan hijau. Pada Julai 2021, Agensi Tenaga Antarabangsa menyokong analisis itu, dengan menyatakan bahawa hanya sekitar 2% daripada wang bailout ekonomi di seluruh dunia akan digunakan untuk membersihkan tenaga. Menurut analisa 2022 mengenai $14 trillion yang telah dibelanjakan oleh negara G20 sebagai rangsangan ekonomi sedunia, hanya kira-kira 6% daripada perbelanjaan pemulihan pandemik telah diperuntukkan kepada kawasan yang turut mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk mengelektrik kenderaan, menjadikan bangunan lebih cekap tenaga dan memasang bahan boleh diperbaharui.
Walaupun terdapat pelbagai keadaan yang berpoensi, terdapat beberapa cabaran sukar yang perlu diatasi demi mengakibatkan pengurangan besar pelepasan gas rumah hijau. [3] [32] [33] Sebagai contoh, meningkatkan cukai atas daging mungin sukar dari segi politik. [51]
Sehingga 2021, paras CO2 telah meningkat kira-kira 50% sejak era pra-industri, dengan berbilion tan lagi dikeluarkan setiap tahun. Pemanasan global telah mengakibatkan malapetaka di beberapa kawasan. Jadi perubahan dasar yang besar perlu dilaksanakan tidak lama lagi jika risiko peningkatan kesan alam sekitar ingin dielakkan. [3] [32] [33]
Tenaga bahan api fosil kekal asas kepada ekonomi dunia, menyumbang kira-kira 80% daripada penjanaan tenaga sejagat pada tahun 2019. Penghapusan subsidi bahan api fosil secara tiba-tiba sering menyebabkan rusuhan. [52] Walaupun tenaga bersih kadangkala lebih murah berbanding tenaga bahan api fosil, [53] [note 3] membuat peruntukan untuk memperbersihkan sumbar tenaga dalam tempoh masa yang singkat merupakan cabaran besar bagi kebanyakan negara. [3] [6] [7] Menurut laporan 2023 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa, pelepasan arang batu meningkat 243 Mt ke paras tertinggi baharu sepanjang masa hampir 15.5 Gt. Peningkatan 1.6% ini adalah lebih cepat daripada pertumbuhan purata tahunan 0.4% sepanjang dekad yang lalu. [54] Pada 2022 , Bank Pusat Eropah berhujah bahawa harga tenaga yang tinggi telah mempercepatkan peralihan tenaga daripada bahan api fosil, tetapi kerajaan harus mengambil langkah untuk mencegah kemiskinan tenaga tanpa menghalang peralihan kepada tenaga rendah karbon. [55]
Walaupun penafian secara terang-terangan terhadap perubahan iklim kurang berpengaruh pada 2020-an berbanding dekad-dekad sebelumnya, banyak hujah terus dibuat terhadap tindakan untuk mengehadkan pelepasan GHG. Hujah penafi perubahan iklim termasuk pandangan bahwa ada cara yang lebih baik untuk menggunakan dana yang tersedia (seperti adaptasi), bahawa menunggu perkembangan teknologi baru yang akan membuat mitigasi menjadi lebih murah adalah lebih baik, bahawa teknologi dan inovasi akan membuat perubahan iklim menjadi tidak penting atau menyelesaikan aspek-aspek perubahan iklim tertentu, dan bahwa kesan negatif perubahan iklim pada masa depan harus diketepikan berbanding dengan keperluan masa kini.[56] [57]
Syarikat minyak dan gas terbesar membentuk Big Oil dan cabang pelobi industri mereka, Institut Petroleum Amerika (API), membelanjakan sejumlah besar wang untuk melobi dan membiayai kempen politik sambil menggaji ratusan pelobi, semata-mata untuk menghalang dan menangguhkan tindakan kerajaan untuk menangani perubahan iklim. Lobi bahan api fosil mempunyai pengaruh besar di Washington, DC dan pusat-pusat politik yang lain, termasuk Kesatuan Eropah dan United Kingdom. [58] [59] [60] [61] [62] [63] Industri bahan api fosil menghabiskan berkali ganda apa yang dikeluarkan oleh rakyat biasa dan aktivis alam sekitar untuk memajukan agenda mereka di dewan kuasa. Pelobi tersebut membelanjakan $2 bilion pada tahun 2000–2016 untuk melobi perubahan iklim di Amerika Syarikat. [64] [65] Lima syarikat "Big Oil" terbesar telah membelanjakan ratusan juta euro untuk melobi agendanya di Brussels. [66] Syarikat Big Oil sering mengguna pakai "prinsip kemampanan" yang bertentangan dengan agenda dasar yang diperjuangkan oleh pelobi mereka. Ini sering menimbulkan keraguan tentang realiti dan kesan perubahan iklim serta menghalang usaha kerajaan untuk menanganinya. API telah melancarkan kempen disinformasi perhubungan awam dengan tujuan membangkitkan keraguan dalam khalayak orang ramai supaya "perubahan iklim menjadi" tidak menjadi isu. [58] [65] Industri ini juga berbelanja besar untuk membiayai kempen politik Amerika, dengan kira-kira 2/3 daripada sumbangan politiknya dalam dekad-dekad lalu menyemarakkan kempen ahli politik Parti Republikan, [67] dan membelanjakan jumlah berlipat ganda apa yang mampu diperoleh daripada penyokong tenaga boleh diperbaharui . [68] Sumbangan politik industri bahan api fosil memberi ganjaran kepada ahli politik yang mengundi menentang perlindungan alam sekitar. Menurut kajian yang diterbitkan oleh Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America, kerana pengundian oleh ahli Kongres Amerika Syarikat bertukar lebih anti-alam sekitar, seperti yang diukur oleh rekod pengundiannya seperti yang dijaringkan oleh Liga Pengundi Pemuliharaan (LCV), sumbangan industri bahan api fosil yang diterima oleh ahli Kongres ini meningkat. Secara purata, penurunan 10% dalam skor LCV dikaitkan dengan peningkatan sebanyak $1,700 dalam sumbangan kempen daripada industri bahan api fosil untuk kempen berikutan tempoh Kongres. [69] [70]
Syarikat Big Oil, menyekat laporan saintis mereka sendiri tentang kesan iklim utama pembakaran bahan api fosil seawal tahun 1970-an. ExxonMobil melancarkan kempen propaganda korporat yang mempromosikan maklumat palsu tentang isu perubahan iklim, taktik yang telah dibandingkan dengan usaha perhubungan awam Big Tobacco untuk menipu orang ramai tentang bahaya merokok. [71] Kumpulan pemikir yang dibiayai oleh industri bahan api fosil mengganggu saintis iklim yang membincangkan ancaman perubahan iklim yang teruk secara terbuka. [72] Seawal 1980-an apabila segmen yang lebih besar daripada orang awam Amerika mula menyedari isu perubahan iklim, pentadbiran beberapa presiden Amerika Syarikat mencemuh saintis yang bercakap secara terbuka tentang ancaman bahan api fosil yang ditimbulkan untuk iklim. [73] Pentadbiran AS yang lain telah membungkam saintis iklim dan menutup mulut pemberi maklumat kerajaan. [74] Pelantikan politik di beberapa agensi persekutuan menghalang saintis daripada melaporkan penemuan mereka mengenai aspek krisis iklim, mengubah pemodelan data untuk mencapai kesimpulan yang telah mereka tetapkan sebelum dibuktikan, dan menutup input saintis kerjaya agensi tersebut. [75] [76] [77]
Aktivis iklim dan alam sekitar, termasuk mereka yang mempertahankan kawasan hutan daripada industri pembalakan, terbunuh di beberapa negara termasuk Colombia, Brazil dan Filipina. Kebanyakan pembunuh dalam kes-kes sedemikian belum dihukum. Jumlah pembunuhan aktivis iklim yang tertinggi telah direkodkan pada tahun 2019. Aktivis alam sekitar orang asli disasarkan secara tidak seimbang, yang terdiri daripada sebanyak 40% daripada kematian di seluruh dunia. [78] [79] [80] Perkhidmatan perisikan domestik beberapa kerajaan termasuk kerajaan AS, telah menyasarkan aktivis alam sekitar dan organisasi perubahan iklim sebagai "pengganas domestik" dan memantau, menyiasat, menyoal, dan meletakkan mereka dalam "senarai pantauan" negara yang boleh menyukarkan mereka untuk menyertai konferens luar negara sambil mencetuskan pemantauan penguatkuasaan undang-undang tempatan. [81] [82] [83] Taktik AS juga merangkumi penghalangan liputan media mengenai perhimpunan warga Amerika dan protes terhadap perubahan iklim, dan bekerjasama dengan syarikat keselamatan swasta untuk memantau aktivis. [84]
Dalam konteks politik perubahan iklim, doomisme merujuk kepada naratif pesimis yang mendakwa bahawa tiada peluang lagi untuk melakukan apa-apa tentang perubahan iklim. Doomisme boleh merangkumi keterlaluan kebarangkalian titik tolak iklim yang melata, dan kemungkinannya mencetuskan pemanasan global yang lari di luar kemampuan manusia untuk dikawal, walaupun manusia dapat menghentikan serta-merta semua pembakaran bahan api fosil. Di AS, tinjauan pendapat mendapati bahawa bagi orang yang tidak menyokong tindakan lanjut untuk mengehadkan pemanasan global, kepercayaan bahawa sudah terlambat untuk berbuat demikian diberikan sebagai alasan yang lebih biasa daripada keraguan tentang perubahan iklim yang dibuat oleh manusia. [85] [86]
Beberapa dasar mesra iklim telah disekat dalam proses perundangan oleh kumpulan dan pihak pendesak alam sekitar dan/atau kiri. Sebagai contoh, pada tahun 2009, parti hijau Australia mengundi menentang Skim Pengurangan Pencemaran Karbon, kerana mereka merasakan ia tidak mengenakan harga karbon yang cukup tinggi. Di AS, Kelab Sierra membantu mengalahkan rang undang-undang cukai iklim 2016 yang mereka lihat sebagai kekurangan keadilan sosial. Beberapa percubaan untuk mengenakan harga karbon di negeri-negeri AS telah disekat oleh ahli politik sayap kiri kerana ia akan dilaksanakan melalui mekanisme had dan perdagangan, bukannya cukai. [87]
Isu perubahan iklim biasanya sesuai dengan pelbagai sektor, maka penyepaduan dasar perubahan iklim ke dalam bidang dasar lain sering menjadi tema. [88] Masalah perubahan iklim adalah sukar kerana perlu ditangani pada pelbagai skala dengan pelbagai pelakon yang terlibat dalam proses tadbir urus. [89]
Penyesuaian yang berjaya terhadap perubahan iklim memerlukan mengimbangi kepentingan ekonomi, sosial dan politik yang bersaing. Sekiranya tiada pengimbangan sedemikian, akibat yang tidak diingini yang berbahaya boleh membatalkan manfaat inisiatif penyesuaian. Sebagai contoh, usaha untuk melindungi terumbu karang di Tanzania memaksa penduduk kampung tempatan beralih daripada aktiviti perikanan tradisional kepada pertanian yang menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang lebih tinggi. [90]
Janji teknologi dilihat sebagai ancaman dan potensi keuntungan. Teknologi baharu boleh membuka kemungkinan untuk dasar iklim baharu dan lebih berkesan. Kebanyakan model yang menunjukkan laluan untuk mengehadkan pemanasan kepada 2 °C mempunyai peranan besar untuk penyingkiran karbon dioksida, salah satu pendekatan mitigasi perubahan iklim . Pengulas dari seluruh spektrum politik cenderung mengalu-alukan penyingkiran CO2. Tetapi ada yang ragu-ragu bahawa ia akan dapat mengeluarkan CO2 yang mencukupi untuk memperlahankan pemanasan global tanpa terdapat juga pengurangan pesat dalam pelepasan, dan mereka memberi amaran bahawa terlalu yakin tentang teknologi sedemikian boleh menyukarkan dasar mitigasi untuk digubal. [3] [32]
Pengurusan sinaran suria adalah satu lagi teknologi yang bertujuan untuk mengurangkan pemanasan global. Sekurang-kurangnya dengan varian aerosol berasaskan sulfur, terdapat persetujuan luas bahawa ia akan berkesan dalam menurunkan purata suhu global. Namun prospek itu dianggap tidak diingini oleh ramai saintis iklim. Mereka memberi amaran bahawa kesan sampingan akan termasuk kemungkinan pengurangan dalam hasil pertanian akibat cahaya matahari dan hujan yang berkurangan, dan kemungkinan kenaikan suhu setempat dan gangguan cuaca yang lain. Menurut Michael Mann, prospek menggunakan pengurusan suria untuk mengurangkan suhu adalah satu lagi hujah yang digunakan untuk mengurangkan kesediaan untuk menggubal dasar pengurangan pelepasan. [91] [32] [92]
Gangguan ekonomi akibat aktiviti berintensif karbon secara berperingkat, seperti perlombongan arang batu, penternakan lembu [93] atau pukat tunda dasar, [94] boleh menjadi sensitif dari segi politik kerana profil politik pelombong arang batu yang tinggi, [95] petani [96] dan nelayan [97] di sesetengah negara. Banyak kumpulan buruh dan alam sekitar menyokong peralihan yang adil yang meminimumkan bahaya dan memaksimumkan faedah yang berkaitan dengan perubahan berkaitan iklim kepada masyarakat, contohnya dengan menyediakan latihan pekerjaan.
Dasar mesra iklim disokong merentasi spektrum politik. Walaupun terdapat banyak pengecualian dalam kalangan pengundi dan ahli politik yang condong ke arah kanan, malah ahli politik di sebelah kiri jarang menjadikan menangani perubahan iklim sebagai keutamaan. Sesetengah negara dan individu tidak mahu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau atau menguatkuasakan undang-undang kerana dengan berbuat demikian, mereka hanya akan menderita dalam membayar harga penuh pengurangan. [99] Pada abad ke-20, ahli politik sayap kanan mengetuai banyak tindakan penting terhadap perubahan iklim, di peringkat antarabangsa dan domestik, dengan Richard Nixon dan Margaret Thatcher menjadi contoh yang menonjol. [100] [101] Namun menjelang 1990-an, terutamanya di beberapa negara berbahasa Inggeris dan terutamanya di AS, isu itu mula terpolarisasi. [7] [3] Media sayap kanan mula berhujah bahawa perubahan iklim sedang dicipta atau sekurang-kurangnya dibesar-besarkan oleh pihak kiri untuk mewajarkan perluasan dalam saiz kerajaan. [note 4] Sehingga 2020, beberapa kerajaan sayap kanan telah menggubal dasar mesra iklim yang meningkat. Pelbagai tinjauan menunjukkan sedikit trend malah pengundi sayap kanan AS menjadi kurang skeptikal terhadap pemanasan global, dan kumpulan seperti American Conservation Coalition menunjukkan pengundi muda Republikan menerima iklim sebagai medan dasar pusat. Walaupun pada pandangan Anatol Lieven, bagi sesetengah pengundi sayap kanan AS, bersikap skeptikal terhadap perubahan iklim telah menjadi sebahagian daripada identiti mereka, jadi pendirian mereka mengenai perkara itu tidak boleh dialihkan dengan mudah oleh hujah yang rasional. [102] [103] [43] [104]
Kajian 2014 dari Universiti Dortmund menyimpulkan bahawa negara yang mempunyai kerajaan pusat dan sayap kiri mempunyai pengurangan pelepasan yang lebih tinggi daripada kerajaan sayap kanan di negara OECD untuk tempoh masa 1992–2008. [105] Dari segi sejarah, kerajaan nasionalis adalah antara yang berprestasi paling teruk dalam menggubal dasar. Walaupun menurut Lieven, memandangkan perubahan iklim semakin dilihat sebagai ancaman kepada kewujudan negara bangsa yang berterusan, nasionalisme berkemungkinan menjadi salah satu kuasa paling berkesan untuk memacu usaha mitigasi yang ditentukan. Trend yang semakin meningkat untuk mengamankan ancaman perubahan iklim mungkin amat berkesan untuk meningkatkan sokongan di kalangan nasionalis dan konservatif. [102] [3]
Dalam kesusasteraan saintifik, terdapat konsensus yang menggalakkan bahawa suhu permukaan global telah meningkat dalam beberapa dekad yang lalu dan disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau akibat kegiatan manusia. [106] [107] [108]
Politisasi ilmu pengetahuan dalam arti memanipulasi ilmu pengetahuan untuk kepentingan politik adalah bagian dari proses politik. Hal ini merupakan sebahagian daripada kontroversi mengenai reka bentuk pintar [113] [114] (bandingkan dengan strategi Baji) atau Merchants of Doubt, saintis yang disyaki dengan rela mengaburkan penemuan. cth tentang isu seperti asap tembakau, penipisan ozon, pemanasan global atau hujan asid. [115] [116] Walau bagaimanapun, contohnya dalam kes penipisan ozon, peraturan global berdasarkan Protokol Montreal berjaya, dalam iklim ketidakpastian yang tinggi dan menentang rintangan yang kuat [117] manakala dalam kes perubahan iklim, Protokol Kyoto gagal. [118]
Walaupun proses IPCC cuba mencari dan mengatur penemuan penyelidikan perubahan iklim global untuk membentuk konsensus di seluruh dunia mengenai perkara itu ia sendiri telah menjadi objek politikisasi yang kuat. Perubahan iklim antropogenik berkembang daripada isu sains semata-mata kepada topik dasar global teratas. [119]
Proses IPCC setelah membina konsensus sains yang luas tidak menghalang kerajaan mengikuti matlamat yang berbeza, jika tidak bertentangan. [120] Dalam kes cabaran penipisan ozon, peraturan global telah pun dilaksanakan sebelum konsensus saintifik diwujudkan. [117] Jadi model linear pembuatan dasar, berdasarkan lebih banyak pengetahuan yang kita ada, lebih baik tindak balas politik akan dilihat tidak semestinya tepat. Sebaliknya dasar pengetahuan, [119] berjaya mengurus pengetahuan dan ketidakpastian sebagai asas untuk membuat keputusan politik; memerlukan pemahaman yang lebih baik tentang hubungan antara sains, pemahaman awam (kekurangan) dan dasar. [118] [120] [121] [122]
Kebanyakan perbahasan dasar mengenai mitigasi perubahan iklim telah dirangka oleh unjuran untuk abad kedua puluh satu. Ahli akademik telah mengkritik ini sebagai pemikiran jangka pendek, kerana keputusan yang dibuat dalam beberapa dekad akan datang akan mempunyai akibat alam sekitar yang akan bertahan selama beribu tahun. [123]
Dianggarkan hanya 0.12% daripada semua pembiayaan untuk penyelidikan berkaitan iklim dibelanjakan untuk sains sosial mitigasi perubahan iklim. [124] Lebih banyak pembiayaan dibelanjakan untuk kajian sains semula jadi tentang perubahan iklim dan sejumlah besar juga dibelanjakan untuk kajian tentang kesan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim. [124] Telah dihujahkan bahawa ini adalah salah alokasi sumber, kerana teka-teki yang paling mendesak pada persimpangan semasa adalah untuk mencari cara untuk mengubah tingkah laku manusia untuk mengurangkan perubahan iklim, sedangkan sains semula jadi tentang perubahan iklim sudah mantap dan akan ada dekad dan abad untuk mengendalikan penyesuaian. [124]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.