Pengglasieran Andes-Sahara
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pengglasieran Andes-Sahara, juga dikenali sebagai Zaman Air Batu Paleozoik Awal,[1] Peristiwa Rumah Ais Paleozoik Awal,[2] Pengglasieran Ordovisi Akhir, pengglasieran penghujung Ordovisi, atau pengglasieran Hirnant, berlaku semasa era Paleozoik bermula kira-kira 460 juta tahun dahulu (jtd) sehingga ke sekitar 420 jtd, semasa epok Ordovisi Akhir dan tempoh Silures. Pengglasieran utama pada tempoh ini dahulunya dianggap hanya terdiri daripada pengglasieran Hirnant itu sendiri tetapi kini telah diiktiraf sebagai peristiwa yang lebih lama dan beransur-ansur,[3][4][5] yang bermula seawal peringkat Darriwil,[1] dan mungkin juga peringkat Flo di bawah tempoh Ordovisi.[6] Bukti pengglasieran ini boleh dilihat di beberapa tempat seperti semenanjung Arab, kawasan Afrika Utara, Afrika Selatan, Brazil, Peru, Bolivia, Chile, Argentina dan Wyoming di Amerika Syarikat.[7][8][9][10] Lebih banyak bukti yang diperoleh daripada data isotop ialah semasa epok Ordovisi Akhir, suhu lautan tropika adalah kira-kira 5 °C lebih sejuk berbanding suhu lautan tropika pada masa ini; dan hal ini telah menjadi faktor utama yang membantu dalam proses pengglasieran.[11]
Pengglasieran epok Ordovisi Akhir secara meluas dianggap sebagai punca utama kepupusan besar-besaran Ordovisi Akhir,[2][12] dan ia merupakan satu-satunya episod pengglasieran yang nampaknya bertepatan dengan kepupusan besar-besaran hampir 61% hidupan laut.[13] Anggaran isi padu lembar ais puncak berkisar antara 50 hingga 250 juta kilometer padu, dan tempohnya dianggarkan sekitar 35 juta hingga kurang daripada 1 juta tahun. Pada kemuncaknya semasa peringkat Hirnant, zaman air batu tersebut dipercayai berlaku jauh lebih ekstrem berbnanding Maksimum Glasier Terakhir yang berlaku semasa akhir epok Pleistosen.[11] Pengglasieran Hemisfera Utara adalah berada pada paras minimum kerana sejumlah besar tanah ketika itu berada di Hemisfera Selatan.