Memory Stick
From Wikipedia, the free encyclopedia
Memory Stick ialah format kad ingatan kilat mudah alih, mula dilancarkan oleh Sony pada lewat tahun 1998[1]. Di samping produk asal Memory Stick, terdapat juga beberapa produk lain seperti Memory Stick PRO iaitu produk kemaskini yang menawarkan saiz storan yang lebih besar dan kadar pemindahan fail yang lebih pantas; Memory Stick Duo, versi Memory Stick yang memiliki kerangka yang lebih kecil (termasuklah PRO Duo); Memory Stick Micro (M2) yang menawarkan saiz kerangka lebih kecil berbanding Memory Stick Duo dan juga Memory Stick PRO-HG yang merupakan varian kepada PRO bagi kegunaan video berdefinisi tinggi dan kamera pegun[2].
Jenis media | Kad ingatan kilat |
---|---|
Dibangunkan oleh | Sony |
Diperluas kepada | Memory Stick PRO, Memory Stick Duo, Memory Stick Micro |
Disebabkan hak cipta format ini dipatenkan Sony, Sony menggunakan Memory Stick secara eksklusif kepada produk-produk yang dikeluarkan sekitar tahun 2000-an seperti kamera digital Cyber-shot, kamkoder digital Handycam, telefon mudah alih Sony Ericsson, televisyen di bawah jenama WEGA dan BRAVIA, komputer VAIO, pemain audio digital dan konsol permainan video mudah alih PlayStation Portable. Format ini juga pernah dilesenkan kepada beberapa syarikat di waktu awal pelancarannya[1].
Dengan populariti Secure Digital (SD) yang semakin meningkat sekitar tahun 2010, Sony mula menawarkan komponen SD dalam produk-produknya, menandakan berakhirnya "perang format" Sony dalam pasaran memori kad serta menamatkan pembangunan berterusan terhadap format ini[3]. Walaupun begitu, Sony masih lagi menyokong penggunaan Memory Stick dalam beberapa produk barunya dengan penggunaan penyesuai[4].