Spring adalah sebuah kumpulan rock Malaysia yang pernah aktif sekitar akhir 80an hingga awal 2000an. Kumpulan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan diterajui oleh penyanyinya, Ameng yang berasal dari Besut, Terengganu ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Spring | |
---|---|
Juga dikenali sebagai | Anthem (1987-1989) |
Berasal dari | Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia |
Genre | Heavy metal, hard rock, slow rock, rock progresif, pop rock, folk rock, balada |
Pekerjaan | Kugiran |
Tahun aktif | 1987 (tahun penubuhan) 1991 - 2003 2019 - kini |
Syarikat rakaman | Sony Music Malaysia |
Ahli | Ameng (vokal) Zahar (gitar utama) Empy (bes) Acong (dram) |
Bekas ahli | Amat (vokal) Iskandar (gitar utama) Yunus (bes) Ajis (bes) Ayim (bes, meninggal dunia) Fauzi Kamis (dram) |
Spring mula meniti puncak populariti apabila single daripada album kedua mereka yang berjudul Sampai Hati telah merajai carta muzik Malaysia pada tahun 1993. Setelah itu, Spring melahirkan lebih banyak lagu hits seperti Bourgenvilla, Persada Cintaku, Butakah Cinta, dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta. Menerusi lapan album studio dan beberapa album kompilasi, kumpulan ini berjaya menjual lebih 500,000 unit secara keseluruhannya dan menjadi salah satu dari artis Malaysia yang merekodkan jualan album terbanyak dalam sejarah. Kumpulan ini pernah meraih anugerah Kumpulan Muzik Paling Popular 1994 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.[1]
Latar belakang
1987-1989 : Sejarah awal
Spring telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu di Seremban dengan nama asalnya, Anthem. Kumpulan ini diasaskan oleh tiga orang pemuda yang meminati muzik iaitu Tengku Raden Iskandar bin Tengku Ismail (Iskandar) di posisi gitar, Mohd Azhar bin Mohd Yusof (Zaha - gitar) dan Ahmad Hafzan bin Abdullah (Amat - vokal). Mereka bertiga merupakan anggota-anggota asal. Manakala posisi pemain gitar bes dan dram kemudiannya diisi oleh ahli-ahli yang silih berganti. Antara pemain bes yang pernah menyertai Anthem ialah Ajis dan Allahyarham Rahim (Ayim). Fauzi pernah mengisi posisi pemain dram. Tengku Hanif kong diisi posisi pemain turntable Pada zaman awal, kumpulan ini boleh dikatakan aktif apabila kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan di pesta ria, kelab, konsert-konsert mini dan majlis-majlis perkahwinan di seluruh Malaysia. Antara pengaruh awal bagi Anthem ketika itu adalah kumpulan heavy metal dari luar negara seperti Iron Maiden dan Accept.
Anthem pernah mendapat peluang untuk merakam lagu dalam album kompilasi War Rock 3 (1989). Namun, gitaris utama Iklim, Umarul Mahdzar Embong telah mengesan bakat dan potensi mereka, seterusnya mempelawa Anthem untuk menjadi artis rakaman. Merasakan itu adalah peluang terbaik untuk Spring mempunyai album sendiri, akhirnya mereka sah menandatangani kontrak sebagai kumpulan rock pertama yang bernaung di bawah label CBS Records yang mana syarikat tersebut kemudiannya dikenali sebagai Sony Music Malaysia pada tahun 1990. Ketika itu, Mohd. Yunus Mokhtar (Yunus - bes) dan Rozly Yahya (Acong - dram) telah pun menyertai Anthem. Sebelum merakam album pertama, nama Anthem telah ditukar kepada Spring.
1990-1991 : Kemasukan Ameng dan album pertama
Ketika proses rakaman album pertama Spring dijalankan, mereka menerima ujian getir apabila vokalisnya, Amat meninggalkan kumpulan ini kerana masalah kesihatan yang serius. Ini telah memaksa Spring untuk menangguhkan seketika kerja-kerja rakaman untuk memberi ruang untuk mereka mencari vokalis baharu. Dalam usaha Spring untuk mencari vokalis baharu, mereka telah berkelana ke merata-rata tempat, antara Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan juga Terengganu.
Setelah beberapa bulan merantau, akhirnya mereka bertemu dengan seorang pemuda yang berasal dari Besut, Terengganu iaitu Wan Aminuddin bin Wan Ismail atau dikenali sebagai Ameng yang ketika itu hendak mencari tapak dalam industri muzik tanah air. Sejak itu, Ameng telah dipilih sebagai vokalis Spring yang baharu dan Spring akhirnya kembali memasuki studio rakaman untuk meneruskan rakaman album pertama yang tertangguh sejak sekian lama.
Pada tahun 1991, Spring telah mengeluarkan album pertama yang berjudul sendiri di bawah label Sony Music Malaysia. Album yang berkonsep rock / heavy metal ini telah memperkenalkan nama mereka dengan single yang berjudul Sejiwa (ciptaan Adi Jagat & lirik oleh Azida N.S.). Umarul bertindak sebagai penerbit dan bersama rakan sekumpulan, Mohalim (pemain bass Iklim) turut menyumbangkan lagu dalam album tersebut. Zaha juga menunjukkan bakatnya mencipta lagu dengan menyumbangkan dua lagu rancak, iaitu Gubuk (berentak hard rock) dan Kawah Berapi (berentak speed metal). Sayangnya, album pertama Spring ini mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan apabila terjual sebanyak 25,000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan-kumpulan rock lain yang sudah mencipta nama pada ketika itu. Namun Spring tidak mudah mengalah, sebaliknya mereka diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk memulakan proses rakaman untuk album kedua Spring pada tahun 1992.
1992-2003 : Pertukaran anggota, Sampai Hati dan puncak kegemilangan
Seperti yang berlaku ketika proses rakaman album pertama, Spring sekali lagi diuji apabila pemain bassnya, Yunus menarik diri ketika proses rakaman album kedua sedang dijalankan. Ini telah memaksa Spring untuk mengambil pemain bass sementara iaitu Lan untuk mempercepatkan proses penyiapan album tersebut yang kemudiannya diberi judul Spring 2.. Sampai Hati pada hujung tahun 1992. Album kedua ini menampilkan lagu-lagu yang lebih mantap, baik lagu balada mahupun lagu rancak dengan kualiti bunyi yang lebih bersih. Lagu mereka yang paling popular, Sampai Hati ciptaan M. Nasir telah melonjakkan nama Spring, di samping lagu-lagu balada lain seperti Sinar Abadi, Kemarau Kasih, Setitis Hujan Dalam Lautan dan Rapuh. Komposer-komposer terkenal seperti Awang BPR dan Saari Amri turut menyumbangkan lagu, begitu juga dengan Umarul dan Mohalim. Zaha turut mencipta dan menulis lirik lagu heavy metal bertajuk Harimau Malaya yang sangat mantap dan menampilkan solo gitar berharmoni antara beliau dan Iskandar ala Iron Maiden, Judas Priest dan Helloween. Lirik lagu ini berkisar tentang perjuangan menentang musuh. Menurut Zaha, liriknya menceritakan protes terhadap Jeneral Yamashita semasa Perang Dunia Kedua. Selain itu, seperti Kawah Berapi dari album pertama, album tersebut juga masih menampilkan sebuah lagu speed metal bertajuk Haluan (ciptaan Allahyarham Samad Lefthanded).
Di sebalik ujian yang melanda mereka, single dari album tersebut iaitu Sampai Hati telah mengubah nasib Spring apabila lagu tersebut menjadi siulan ramai seterusnya mencatatkan jualan yang membanggakan. Selain itu, lagu tersebut juga layak ke pertandingan akhir Pujaan 10 Nescafe dan Anugerah Juara Lagu ke-8 dalam kategori Balada. Ini sekaligus meniupkan semangat anggota Spring dalam menghasilkan karya-karya terbaik buat peminat-peminat mereka yang kemudiannya membawa kepada penghasilan album ketiga Spring, Bourgenvilla pada tahun 1994 yang meletup dengan lagu Bourgenvilla, Butakah Cinta dan Sepi Tanpa Cinta. Bermula dengan album ketiga tersebut juga, Spring mula mengubah haluan kepada kumpulan pop rock, seiring dengan populariti irama rock yang semakin menurun dan 'lembut' pada era pertengahan 1990an. Lagu-lagu balada lebih banyak ditonjolkan untuk disesuaikan dengan vokal Ameng yang mendayu-dayu, manakala lagu-lagu yang berentak heavy masih ada, namun tidak seberat seperti mana dalam album-album sebelumnya. Ianya lebih ke arah rock & roll yang ringan dan disesuaikan mengikut citarasa moden.
Bermula dengan album kompilasi pertama Spring iaitu Pujaan Gemilang yang dikeluarkan pada tahun 1995, mereka telah menerima anggota baharu iaitu Mohamad Riza bin Mahamad Amran atau Empy dari kumpulan Teja sebagai pemain bass tetap Spring. Sejak itu deretan hits seperti Cempaka Di Rembulan, Romantis, Persada Cintaku, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih kerap diputarkan di stesen-stesen radio tempatan. Kumpulan ini juga turut mempopularkan rakaman menerusi lagu lagu yang bercorak akustik seperti Butakah Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata dan Persada Cintaku hingga memberi pengaruh kepada banyak kumpulan pop rock yang seangkatan dengan mereka seperti Exists, Slam, U.K's dan Umbrella. Fenomena itu telah mendorong Spring untuk merakamkan kembali lagu yang memperkenalkan nama mereka iaitu Sejiwa di dalam versi akustik dalam album kompilasi Balada Gemilang. Walaupun pada pertengahan dan penghujung tahun 1990-an banyak kumpulan-kumpulan muzik baru yang muncul di industri muzik Malaysia dengan genre muzik serupa, namun Spring tetap utuh sebagai salah sebuah kumpulan muzik yang popular di Malaysia. Buktinya, Spring kembali mendaki puncak populariti pada penghujung 1990-an menerusi lagu popular mereka iaitu Kita Di Takdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih sedangkan beberapa kumpulan seangkatan tidak lagi mampu meraih jualan memberangsangkan. Pada tahun 1997-1998, Acong (Drummer) telah meninggalkan Spring untuk sementara waktu, dan dia digantikan dengan pemain dram dari Kumpulan Panji iaitu Wan Roszi (Rozzi Panji).
Isu narkotik, perpecahan dan pertemuan semula
Kumpulan Spring terutama vokalisnya, Ameng tidak surut dari dikaitkan dengan kontroversi berkaitan penyalahgunaan dadah. Kumpulan ini mengambil keputusan untuk berpecah pada tahun 2004 biarpun jualan album terakhir mereka Hati Mahu Baik disifatkan memberangsangkan. Sejak itu, Ameng meneruskan karier sebagai penyanyi solo.
Selepas 15 tahun mereka tidak beraksi sebagai sebuah kumpulan, akhirnya mereka telah mengadakan mini showcase di mana mereka telah bergabung semula walaupun kekurangan 2 ahli iaitu Iskandar dan Acong kerana tuntutan masa dan kesihatan. Namun begitu, Acong turut hadir memberikan sokongan kepada anggota Spring yang menjayakan persembahan iaitu Ameng, Zaha dan juga Empy. Mini showcase tersebut telah berlangsung pada 9 Mac 2018 di Restoran D'Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Selepas perpecahan Spring, hanya Zaha dan Ameng yang masih aktif dalam bermuzik. Zaha telah menubuhkan kumpulan projek seperti Spring Slavemasters dan terbaru, AQSA. Beliau juga aktif mengadakan persembahan secara busking dan di tempat-tempat tertentu. Manakala Ameng meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan bergerak solo. Empy pernah menyertai reunion dengan kumpulan lamanya Teja dan pernah juga mengiringi Ustaz Azhar Idrus selaku pemain gitar dalam siri-siri ceramah beliau. Acong menceburi bidang perniagaan, dan Iskandar pula telah bersara dari industri muzik kerana masalah kesihatan.
Kesalahfahaman mengenai kumpulan Spring
Terdapat beberapa kekeliruan yang muncul di sepanjang hayat kumpulan Spring.
Spring dan Spring's
Kumpulan ini sering dikelirukan dengan kumpulan Spring's yang terlibat dalam album kompilasi War Rock III (1989) keluaran Mutiara Records. Spring's merupakan kumpulan yang berbeza dan mereka berasal dari Segamat, Johor. Hal ini kerana pada waktu itu, Spring masih lagi menggunakan nama Anthem dan dijenamakan semula kepada Spring pada 1990 sewaktu hendak merakam album pertama. Anthem pada awalnya ingin menyertai album kompilasi tersebut namun akhirnya ditawarkan menghasilkan album penuh.
Tempat mula ditubuhkan
Spring juga disalah anggap sebagai sebuah kumpulan yang berasal dari Terengganu. Pada hakikatnya, Spring @ Anthem telah diasaskan di Seremban, Negeri Sembilan oleh Zaha, Iskandar dan Amat. Menurut Zaha dalam satu temubual di Youtube, hal ini mungkin berlaku disebabkan segelintir wartawan hiburan pada masa itu yang tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu dan menulis Spring sebagai kumpulan dari Terengganu hanya kerana disebabkan vokalis/orang hadapan, Ameng yang berasal dari sana. Selain daripada Ameng, Iskandar juga senegeri dengannya tetapi telah pun berhijrah ke Seremban sewaktu Anthem ditubuhkan. Dengan itu juga menjadikan Spring salah satu daripada wakil artis rock dari negeri beradat tersebut selain kumpulan-kumpulan Medicine, Loch, Bozz, D.I.A., Kejora, Olan, Pratayuda, Laksamana dan Stings, dan artis-artis solo seperti Allahyarham Achik Spin, Hattan, Tomok dan Zaiton Sameon.
Keahlian
Spring 1987-1989:
- Amat - vokal
- Iskandar - gitar
- Zahar - gitar
- Ajis - bes (kemudian digantikan dengan Ayim)
- Fauzi - dram (kemudian digantikan dengan Acong)
Spring 1990:
Spring 1990-1991:
- Ameng - vokal
- Iskandar - gitar
- Zahar - gitar
- Yunus - bes
- Acong - dram
Spring 1992-1994:
- Ameng - vokal
- Iskandar - gitar
- Zahar - gitar
- Acong - dram
- Lan - bes*
*Kerap bertukar ganti sebelum kemasukan Empy pada tahun 1995.
Spring 1995-2003:
- Ameng - vokal
- Iskandar - gitar utama
- Zahar - gitar kedua
- Empy - bes
- Acong - dram
Spring (2019-kini):
- Ameng - vokal
- Zahar - gitar utama
- Empy - bes
- Acong - dram
Diskografi
Album studio
Tahun | Tajuk | Jualan |
---|---|---|
1991 | Spring
|
|
1992 | Sampai Hati
|
|
1994 | Bourgenvilla
|
|
1995 | Jujur
|
|
1996 | Spring 5
|
|
1997 | Luahan
|
|
1998 | Kerana Budi
|
|
2001 | Hati Mahu Baik
|
|
Album Himpunan
- The Best of Spring (1999)
- Galeri (1999)
- Gemilang (2000)
Album Kompilasi
- Pujaan Gemilang (1995)
- Balada Gemilang (Rakaman Akustik) (1996)
- Galeri Gemilang (1999)
- Terus Gemilang (1999)
- Kegemilangan Spring (2003)
- Spring Dua Dekad (2007)
- Terunggul (2008)
- Memori Hit Spring (2009)
Single
Tahun | Judul Lagu | Kedudukan Tertinggi Carta | Album | |||
---|---|---|---|---|---|---|
Era | Muzik.fm | Baik Banget | Muzik-muzik | |||
1991 | "Sejiwa" | — | — | — | — | Spring |
"Coretan Terbiar" | — | — | — | — | ||
1992 | "Sampai Hati" | — | — | — | — | Sampai Hati |
1993 | "Kemarau Kasih" | — | — | — | — | |
"Sinar Abadi" | — | — | — | — | ||
1994 | "Bourgenvilla" | — | — | — | — | Bourgenvilla |
"Butakah Cinta" | — | — | — | — | ||
"Wakaf" | — | — | — | — | ||
"Sepi Tanpa Cinta" | — | — | — | — | ||
"Tamu Beradu" | — | — | — | — | Pasti Hitz | |
1995 | "Cempaka Di Rembulan" | — | — | — | — | Pujaan Gemilang |
"Kasih Yang Tak Pasti" menampilkan Opie |
— | — | — | — | ||
"Sejujur Mana Kata-kata" | — | — | — | — | Jujur | |
"Jinak Merpati" | — | — | — | — | ||
"Keadaan Memaksa" | — | — | — | — | ||
1996 | "Jurang Kasih" | — | — | — | — | |
"Hampa" | — | — | — | — | ||
"Romantis" | — | — | — | — | 5 | |
"Persada Cintaku" | — | — | — | — | ||
"Sesekali Terlupa" | — | — | — | — | ||
"Nirwana" | — | — | — | — | ||
"Sejiwa" (Akustik) | — | — | — | — | Balada Gemilang | |
1997 | "Asmara Palsu" | — | — | — | — | |
"Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta" | — | — | — | — | ||
"Dulu dan Sekarang" | — | — | — | — | ||
"Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta" | — | — | — | — | Luahan | |
"Luahan" | — | — | — | — | ||
1998 | "Ku Lepaskan Kau Pergi" | — | — | — | — | |
"Kerana Budi Ku Jatuh Hati " | — | — | — | — | Kerana Budi | |
"Utusan Lama" | — | — | — | — | ||
"Semoga Cinta Kita Bahagia" | — | — | — | — | ||
1999 | "Diam Merindu" | — | — | — | — | |
"Pesanan Buat Kekasih" | — | — | — | — | Galeri Gemilang | |
"Inginku Takluki Hatimu" | — | — | — | — | ||
"Terangi Kembali" | — | — | — | — | Terus Gemilang | |
2000 | "Menggapai Sinarmu" | — | — | — | — | |
2001 | "Sambutlah Cintaku" | — | — | — | — | Hati Mahu Baik |
"Hati Mahu Baik" | — | — | — | — | ||
2003 | "Teringat Kembali" | — | — | — | — | Kegemilangan Spring |
Anugerah dan pencapaian
Carta pujaan 10 Radio 1 Malaysia (kini Radio Klasik) | ||
---|---|---|
Tahun | Tajuk | Kedudukan |
(1Mac - 28Mac) 1993 | Sampai Hati | 1 |
Juara Carta Muzik FM | ||
---|---|---|
Tahun | Tajuk | Kedudukan |
(7,14, 21, 28 Sep) 1997
(5,12,19,26 Okt) 1997 (2,9,16 Nov) 1997 11 Minggu |
Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta | 1 |
ANUGERAH JUARA LAGU
- 1993 - FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU KE 8 / SAMPAI HATI
- 1996 - FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU KE 11 / ROMANTIS
SEMI FINAL MUZIK-MUZIK
- 1994 - BOURGENVILLA
- 1998 - KITA DITAKDIRKAN JATUH CINTA
- 1999 - PESANAN BUAT KEKASIH
ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM)
- 1993
- MENANG - VIDEO MUZIK TERBAIK (SAMPAI HATI)
- TOP 5 (VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK album SAMPAI HATI)
- TOP 5 (KULIT ALBUM TERBAIK album SAMPAI HATI)
- MENANG - VIDEO MUZIK TERBAIK (SAMPAI HATI)
- 1995 - TOP 5 (VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK album BOURGENVILLA)
- 1996 - TOP 5 (ALBUM ROCK TERBAIK / JUJUR - SPRING)
ANUGERAH BINTANG POPULAR
- 1993 - TOP 5 (PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR)
- 1994 - MENANG - PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR
- 1995 - TOP 5 (PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR)
ANUGERAH PLATINUM
- ALBUM :
- BOURGENVILLA (1994)
- LUAHAN (1997)
- GALERI SPRING (1999)
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.