From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada 16 Disember 2012, seorang pelajar wanita jurusan fisioterapi[2] dibelasah dan dirogol bergilir-gilir di Munirka, Delhi. Mangsa, dan teman lelakinya menaiki bas dalam perjalanan pulang selepas menonton sebuah filem di selatan Delhi. Di dalam bas tersebut, dipercayai bas persendirian, kedua-duanya dipukul oleh lima orang penumpang dan juga pemandu, yang kemudian merogol mangsa. Mangsa kemudiannya dicampak keluar. Mangsa yang cedera parah, menjalani pembedahan di Delhi sebelum dipindahkan ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura. Mangsa kemudiannya meninggal dunia pada 29 Disember.[3]
Tarikh | 16 Disember 2012 |
---|---|
Masa | 9:54 pm IST (UTC+5:30) |
Lokasi | Delhi, India |
Pendapatan | Ram Singh meninggal dalam tahanan; defendan dewasa lain dihukum gantung sampai mati; defendan juvenil dihukum tiga tahun di sarana pemulihan akhlak |
Kematian | 1 (mangsa wanita) pada 29 Disember 2012 |
Kecederaan | 1 (mangsa lelaki) |
Hukuman | Rogol, bunuh, culik, rompak, serang[1] |
Keputusan | Bersalah |
Insiden ini mencetuskan kemarahan orang awam serta tunjuk perasaan diadakan bagi membantah kejadian rogol dan pencabulan di India, dan juga menuntut hukuman mati terhadap penjenayah terlibat. Tunjuk perasaan ini kemudiannya menjadi ganas dengan seorang anggota polis terkorban, serta memaksa pihak berkuasa menutup jalan-jalan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Keenam-enam orang yang disyaki telah ditangkap dan didakwa dengan serangan seksual dan pembunuhan. Salah seorang tertuduh, Ram Singh, mati dalam tahanan polis pada 11 Mac 2013.[4] Laporan polis menyatakan dia membunuh diri, namun peguam dan keluarganya mengesyaki dia dibunuh.[5] Tertuduh lain dibicarakan di mahkamah dengan segera; pihak pendakwa menyiapkan kesnya pada 8 Julai.[6] Pada 31 Ogos 2013, pesalah juvenil disabitkan merogol dan membunuh dan dijatuhkan hukuman maksimum penjara tiga tahun di sebuah sarana pemulihan akhlak.[7] Manakala pada 10 September, empat defendan dewasa yang tinggal juga disabitkan bersalah merogol dan membunuh dan tiga hari kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.[8][9][10]
Pada pukul 9:30 malam, mangsa, seorang pelajar jurusan fisioterapi, 23 tahun, serta teman lelakinya, seorang jurutera perisian, 28 tahun, menaiki sebuah bas persendirian yang mempunyai enam orang penumpang selepas menonton wayang. Ketika dalam perjalanan, temannya mula curiga apabila bas tersebut melencong daripada laluan yang sepatutnya. Pada mulanya, geng tersebut cuba mencabul gadis itu, tetapi teman lelakinya bertindak mempertahankan mangsa. Geng tersebut kemudiannya memukul teman lelakinya dengan batang besi di kepala membuatkannya tidak sedar diri. Mangsa kemudiannya diheret ke belakang bas sebelum dirogol bergilir-gilir.[11][12]
Mangsa, yang juga pengsan selepas dirogol, barsama teman lelakinya dicampak keluar kira-kira sejam selepas itu. Dilaporkan, mangsa mengalami kecederaan teruk pada abdomen akibat dipukul, serta kemaluannya akibat dimasukkan objek tumpul dipercayai batang besi tersebut.[13] Kecederaan dalaman teruk yang dialami mangsa dikatakan berpunca oleh tindakan perogol tersebut menggunakan sebatang besi berkarat yang berbentuk L.[14] Perogol tersebut bertindak merompak mangsa sebelum dicampak keluar dalam keadaan separuh bogel.[15]
Mangsa lelaki memberi keterangan di mahkamah pada 19 Disember 2012.[16] Mangsa wanita pula merekodkan kenyataannya kepada seorang majistret sub-bahagian di Hospital Safdarjung pada 21 Disember, dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya Polis.[17]
Pada 28 Januari, tertuduh termuda diisytiharkan sebagai juvenil oleh Juvenile Justice Board (JJB).[18] Dia dibicarakan berasingan di mahkamah juvenil. Pada 31 Ogos 2013, pesalah remaja ini disabitkan merogol dan membunuh dan dijatuhkan hukuman maksimum penjara tiga tahun di sebuah sarana pemulihan akhlak, termasuk tempoh lapan bulan tahanan reman semasa perbicaraan.[19]
Para tertuduh dewasa mengaku tidak bersalah.[20] Pada 11 Mac, pemandu bas Ram Singh ditemui tergantung dari sebuah lubang udara di selnya di Penjara Tihar sekitar 5:45 pagi.[21] Laporan polis menyatakan dia membunuh diri, namun peguam dan keluarganya mengesyaki dia dibunuh.[5] Tertuduh lain dibicarakan di mahkamah dengan segera; pihak pendakwa menyiapkan fasa pembuktian pada 8 Julai.[6] Pada 10 September, empat defendan dewasa yang tinggal juga disabitkan bersalah merogol dan membunuh dan pada 13 September dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.[8][9][10] Selepas keputusan diberikan, orang yang menunggu di luar bilik pembicaraan bertepuk tangan.[22]
Tindakan kejam oleh penjenayah serta kes rogol di India terutama di delhi yang teruk mendorong orang awam untuk menuntut keadilan daripada pihak kerajaan dengan mengadakan tunjuk perasaan. Tunjuk perasaan ini bermula pada 21 Disember 2012 di Delhi.[23]. Tunjuk perasaan ini yang aman pada mulanya bertukar menjadi ganas apabila ia disertai oleh orang-orang luar yang membuat kecoh[24] dengan polis menyembur air kepada penunjuk perasaan dan penunjuk perasaan merosakkan harta benda awam.[25] Akibat ini, ramai yang tercedera dan juga dilaporkan terdapat kematian.[26][27]
Berikutan tunjuk perasaan ini, bandar Delhi menjadi lumpuh apabila jalan-jalan terpaksa ditutup bagi mengawal keadaan.[28] Perkhidmatan kereta api bawah tanah juga terpaksa dihadkan dengan beberapa stesen terpaksa ditutup.[24]
Kejadian ini yang dianggap kejam, mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa.
Perhimpunan secara aman di Kedutaan dan Konsulat India di luar negara, dibuat oleh kaum wanita dan komuniti India yang bersimpati dengan mangsa, menuntut agar keadilan dapat diberikan serta undang-undang digubal bagi membolehkan kes-kes seperti ini tidak berlaku lagi.[29][30]
Pada 29 Disember 2012, Kedutaan Amerika Syarikat di India mengeluarkan kenyataan akhbar. Dalam kenyataan akhbar tersebut diselitkan ucapan takziah dan menyatakan usaha untuk melupuskan segala keganasan berdasarkan jantina.[31]
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon mengeluarkan kenyataan bahawa keganasan terhadap wanita adalh sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan. Setiap wanita perlulah dihormati dan dilindungi. Beliau juga menggesa Kerajaan India supaya bertindak menyelesaikan kes dengan seadilnya.[32]
Di Singapura, di mana mangsa menghebuskan nafas terakhir, Menteri Luar merangkap Menteri Undang-undang Singapura, K Shanmugam menulis di laman Facebooknya bahawa hukuman mati harus dikekalkan untuk jenayah seperti ini.[33] Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura, Halimah Yacob pula menulis di laman Facebooknya bahawa wanita masih dianggap bertaraf rendah di kebanyakan negara.[34]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.