Kandidiasis
From Wikipedia, the free encyclopedia
Kandidiasis merupakan jangkitan kulat yang disebabkan oleh sebarang jenis Candida (sejenis yis).[1] Kandidiasis yang menjangkiti bahagian mulut umum dipanggil seriawan. Antara gejalanya termasuk tompok-tompok putih pada lidah atau mana-mana bahagian mulut dan kerongkong.[2] Lain-lain gejala termasuk rasa kudis dan kesukaran menelan.[2] Apabila faraj pula yang terkena, ini dipanggil jangkitan yis.[1] Antara gejalanya termasuk rasa gatal, membahang, dan ada kalanya bahan kumuhan putih seakan-akan cottage cheese dari faraj.[3] Jarang sekali zakar dijangkiti, itupun menyebabkan rasa gatal.[2] Jarang-jarang sekali kandidiasis merebak ke seluruh tubuh dan menyebabkan demam dan gejala-gejala lain yang berkenaan dengan anggota badan yang terjejas.[4]
Candidiasis | |
---|---|
Pengelasan dan sumber luaran | |
ICD-10 | B37 |
ICD-9 | 112 |
P. Data Penyakit | 1929 |
MedlinePlus | 001511 |
eMedicine | med/264 emerg/76 ped/312 derm/67 |
MeSH | D002177 |
Penafian perubatan |
Lebih 20 jenis Candida boleh menyebabkan jangkitan, apalagi Candida albicans paling umum.[1] Jangkitan pada mulut paling umum pada bayi yang belum mencecah usia sebulan, orang tua, dan orang yang mempunyai sistem imun lemah. Keadaan-keadaan yang menyebabkan sistem imun lemah termasuklah HIV/AIDS, ubat-ubatan yang digunakan selepas pemindahan organ, diabetes, dan penggunaan kortikosteroid. Lain-lain risiko termasuk gigi palsu dan susulan terapi antibiotik.[5] Jangkitan pada faraj lebih kerap berlaku sewaktu kehamilan pada mereka yang lemah sistem imun dan yang lepas menggunakan antibiotik.[6] Risiko jangkitan berleluasa termasuk berada dalam ICU, susulan pembedahan, bayi kurang berat badan, dan lemah sistem imun.[7]
Langkah-langkah pencegahan untuk mulut termasuk penggunaan ubat cuci mulut dengan klorheksidina bagi mereka yang lemah fungsi imun serta membasuh mulut selepas memakan steroid.[8] Kurang bukti menyokong probiotik untuk mencegah atau merawat kandidiasis walaupun yang kerap mengalami jangkitan faraj.[9][10] Bagi jangkitan mulut, rawatan dengan klotrimazol topikal atau nistatin lazimnya berkesan. Jika tidak, gunakan pula flukonazol, itrakonazol atau amfoterisin B pada mulut atau secara intravena.[8] Sesetengah ubat-ubatan antikulat topikal boleh digunakan untuk jangkitan faraj termasuk klotrimazol.[11] Bagi yang penyakitnya merebak ke seluruh badan, digunakannya ekonokandin seperti kaspofungin atau mikafungin.[12] Secara alternatif, boleh digunakan juga amfoterisin B intravena untuk beberapa minggu.[12] Bagi sesetengah golongan yang amat berisiko tinggi, ubat-ubatan antikulat boleh dijadikan langkah pencegahan.[7][12]