![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/58/WoolpitSign.jpg/640px-WoolpitSign.jpg&w=640&q=50)
Kanak-kanak hijau Woolpit
From Wikipedia, the free encyclopedia
Kanak-kanak hijau Woolpit (Tulisan Jawi: كانق-كانق هيجاو وواولڤيت; bahasa Inggeris: Green children of Woolpitcode: en is deprecated ) merupakan kisah legenda mengenai kanak-kanak misteri yang dilaporkan muncul di sebuah kampung bernama Woolpit yang terletak di Suffolk, England sekitar abad ke-12 iaitu berkemungkinan ketika zaman pemerintahan Raja Stephen. Kanak-kanak yang terdiri daripada adik lelaki dan kakak itu mempunyai penampilan biasa seperti kanak-kanak lain kecuali warna kulit mereka yang berwarna hijau. Mereka bertutur dalam bahasa yang tidak diketahui dan hanya memakan kacang hijau sahaja. Pada akhirnya, kanak-kanak itu belajar untuk makan makanan yang lain dan warna hijau pada kulit mereka memudar. Walau bagaimanapun, si lelaki telah sakit dan meninggal dunia selepas mereka dibaptiskan. Manakala, si perempuan telah memulakan kehidupan baharu tetapi dia dianggap bersikap "bebas dan kurang sopan"[2] Setelah mempelajari bahasa Inggeris, si kanak-kanak perempuan itu menjelaskan bahawa dia dan saudaranya itu berasal dari negeri St Martin, sebuah kawasan di bawah tanah di mana penghuninya berkulit hijau.
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/58/WoolpitSign.jpg/320px-WoolpitSign.jpg)
Catatan kontemporari mengenai kisah legenda ini hanya terkandung dalam Chronicum Anglicanum karya Ralph dari Coggeshall dan Historia rerum Anglicarum karya William dari Newburgh yang mana kedua-dua karya tersebut masing-masing ditulis pada tahun 1189 dan 1220. Antara masa itu dan penemuan kembali kisah itu pada pertengahan abad ke-19, kanak-kanak hijau kelihatannya hanya muncul dalam karya The Man in the Moone yang ditulis oleh biskop Francis Godwin yang menceritakan catatan William dari Newburgh.[3]
Dua pendekatan telah digunakan bagi memberikan penjelasan tentang kisah kanak-kanak hijau tersebut iaitu kisah tersebut hanyalah cerita rakyat tentang pertemuan khayalan dengan penghuni dunia lain yang mungkin datang dari bawah tanah atau angkasa lepas atau kisah sejarah yang diputarbelitkan. Kisah tersebut telah diakui sebagai kisah fantasi unggul oleh seorang pengkritik dan penyajak anarki, Herbert Read dalam karyanya English Prose Style yang diterbitkan pada tahun 1931. Kisah itu juga telah menjadi inspirasi kepada beliau dalam penulisan satu-satunya novel yang dihasilkannya iaitu The Green Child pada tahun 1934.