Injap atas
From Wikipedia, the free encyclopedia
Enjin injap atas (OHV), juga dipanggil enjin rod penolak, merupakan sejenis enjin omboh yang menempatkan aci sesondol di dalam bongkah enjin (biasanya di tepi atau di atas aci engkol), serta menggunakan rod penolak bagi menggerakkan lengan jumpelang di atas kepala silinder yang seterusnya menggerakkan injap. Tapet ditempatkan di dalam bongkah enjin antara aci sesondol dengan rod penolak.[1] Rekaan aci sesondol atas (OHC) (juga merupakan sejenis enjin injap atas) mengelakkan penggunaan rod penolak dengan menempatkan aci sesondol di dalam kepala silinder.
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/b/bc/Pushrod_engine.jpg/320px-Pushrod_engine.jpg)
Pada tahun 1949, Oldsmobile memperkenalkan enjin Rocket V8. Ia merupakan enjin injap atas bernisbah mampatan tinggi pertama, serta menjadi perintis kepada rekaan enjin rod penolak moden. General Motors merupakan pengeluar enjin rod penolak terbesar di dunia[perlu rujukan], dengan mengeluarkan kedua-dua enjin rod penolak V6 dan V8.
Hanya sedikit sahaja enjin rod penolak dikeluarkan di luar pasaran Amerika Syarikat, malah Ford yang berpangkalan di Amerika Syarikat sendiri sudah tidak lagi mengeluarkan enjin rod penolak bagi model kenderaan terbarunya. Ia sebahagian daripada kesan penggubalan sistem percukaian kenderaan berasaskan sesaran enjin di beberapa negara, kerana sesaran enjin amat berkaitan dengan pelepasan asap serta kecekapan bahan api kenderaan. Ia telah memberikan enjin OHC kelebihan dari segi perundangan di negara-negara tersebut, menyebabkan hanya sedikit sahaja pengeluar kenderaan yang mahu mengeluarkan kedua-dua enjin OHV dan OHC.