Evolusi serigala
From Wikipedia, the free encyclopedia
Evolusi serigala berlaku sepanjang skala masa geologi sekurang-kurangnya 300 ribu tahun. Serigala kelabu Canis lupus ialah spesies yang sangat mudah menyesuaikan diri dan dapat hadir dalam pelbagai persekitaran serta tersebar secara meluas merentasi Holartik. Kajian-kajian bagi serigala kelabu moden telah mengenal pasti sebilangan subpopulasi berbeza yang tinggal dekat dengan satu sama lain.[2][3] Ubahan pada sebilangan subpopulasi ini berkait rapat dengan perbezaan pada habitat – kerpasan, suhu, tumbuh-tumbuhan, dan pengkhususan mangsa – yang mempengaruhi keplastikan tengkorak-gigi.[4][5][6][7]
Catatan-catatan arkeologi dan paleologi menunjukkan kehadiran bersinambung bagi serigala kelabu sekurang-kurangnya sepanjang 300,000 tahun.[8] Kehadiran bersinambung ini berlawanan dengan analisis-analisis genom, yang mencadangkan bahawa semua serigala moden dan anjing turun daripada populasi serigala leluhur bersama[9][10][11] yang wujud selewat 20,000 tahun lalu.[9] Analisis-analisis ini menandakan kejejalan populasi, yang diikuti oleh persebaran cepat daripada populasi leluhur pada suatu masa semasa Maksimum Glasier Terakhir, atau hanya sejurus selepasnya. Ini menandakan bahawa populasi-populasi serigala asli kalah dalam persaingan dengan jenis baharu serigala yang menggantikan populasi-populasi berkenaan. Walau bagaimanapun, asal usul geografi bagi persebaran ini tidak diketahui.