From Wikipedia, the free encyclopedia
Demam Zika, juga dikenali sebagai penyakit virus Zika, merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus Zika.[1] Simptomnya serupa dengan demam denggi.[1] Kebanyakan daripada kes demam ini (60–80%) tidak menunjukkan simptom.[2] Apabila ada simptom, ia biasanya termasuk demam, mata merah, sakit sendi, sakit kepala, dan ruam makulopapular.[1][3] Secara amnya, simptom adalah tidak teruk dan berlanjutan selama kurang daripada tujuh hari.[4] Setakat tahun 2015, kematian tidak berlaku semasa jangkitan awal.[2] Jangkitan sudah dikaitkan dengan sindrom Guillain-Barré.[2]
Demam Zika umumnya merebak melalui gigitan nyamuk jenis Aedes.[4] Ia juga mungkin boleh merebak melalui hubungan seks dan pemindahan darah.[4] Penyakit ini boleh tersebar melalui ibu-ke-anak di dalam rahim dan menyebabkan mikrosefali.[1][2] Diagnosis dilakukan dengan menguji darah, air kencing, atau air liur untuk RNA virus apabila seseorang itu sakit.[1][4]
Pencegahan penyakit ini melibatkan pengurangan gigitan nyamuk di kawasan yang penyakit ini tercetus.[4] Usaha pencegahan termasuk penggunaan penghalau serangga, menutup sebahagian besar badan dengan pakaian, kelambu, dan memastikan tiada air bertakung kerana ia menjadi tempat pembiakan nyamuk.[1] Tiada vaksin yang berkesan.[4] Pegawai kesihatan Brazil mengesyorkan pada tahun 2015 supaya ibu bapa menangguhkan kehamilan disebabkan wabak ini dan adalah disarankan kepada wanita yang hamil tidak berkunjung ke kawasan tempat wabak ini sedang menular.[4][5] Walaupun tiada rawatan yang khusus, paracetamol (acetaminophen) dapat membantu melegakan simptom.[4] Kemasukan ke hospital sangat jarang diperlukan.[2]
Virus yang menyebabkan penyakit ini mula-mula diasingkan pada tahun 1947.[6] Wabak pertama yang didokumenkan dalam kalangan manusia berlaku pada tahun 2007 di Persekutuan Negeri-negeri Micronesia.[4] Setakat bulan Januari 2016, penyakit ini menular di dua puluh kawasan benua Amerika.[4] Ia juga dilaporkan menular di Afrika, Asia, dan kawasan Pasifik.[1] Disebabkan oleh tercetusnya penyakit ini di Brazil pada tahun 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkannya sebagai Darurat Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa pada Februari 2016.[7]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.