From Wikipedia, the free encyclopedia
Bersirih atau menginang adalah pemakanan sirih bersama bahan sampingan lain seperti pinang, gambir, tembakau, kapur dan cengkih setepak sebagai tujuan riadah dalam kalangan tidak sahaja masyarakat Nusantara (termasuk Melayu,[1][2] Aceh,[1] India dan sebagainya) Asia Tenggara tetapi juga meluas di Asia Selatan serata Bangladesh, Myanmar dan Thailand.[3][4] Barangan ini disediakan dalam kelengkapan tepak untuk tujuan ini. Adat ini memainkan peranan penting dalam pelbagai jenis tujuan adat istiadat Melayu terutamanya dalam perkahwinan dari saat merisik sehingga bersanding.[2]
Amalan ini diketahui dapat ditelusuri seawal lebih 3,000 bahkan juga 4000 tahun lampau berdasarkan kajian dilakukan terhadap barang peninggalan di Thailand, Indonesia dan Filipina.[5] Marco Polo dipercayai menyaksikan amalan pengunyahan daun ini oleh masyarakat setempat dalam catatan penjelajahannya; begitu juga dengan penulisan Tome Pires semasa berlabuh di Melaka antara 1512 dan 1515 dalam Suma Oriental.[3][4]
Kerana asal-usul tradisi ini dengan persemahan nenek moyang, pengunyahan sirih sering disertakan pantang larang yang dipercayai mengelakkan lemahnya semangat menjejaskan keperibadian diri menjadi tidak tentu fikirannya.[4]
Kajian dilakukan Agensi Penyelidikan Barah Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa amalan bersirih secara berterusan mampu mendatangkan bahaya barah mulut[6][7][8] yang berlanjutan dari fibrosis submukus oral terutamanya dari pengunyahan buah pinang;[9] risiko barah mulut diperhatikan dalam orang diselidik bertambah 8.4 kali tanpa tembakau, risiko barah bertambah 9.9 kali dengan tambahan tembakau.[10]