Barli (Tulisan Jawi: بارلي) atau beras belanda[2][3] (Hordeum vulgare) merupakan suatu spesies tumbuhan tergolong dalam keluarga rumput Poaceae; biji-bijinya dimanfaatkan sebagai bijirin sumber makanan penting untuk manusia dan makanan ternakan.
Tumbuhan ini telah lama diusahakan sebagai suatu tanaman makanan sejak sekian lama dari 10,000 tahun dahulu di Hilal Subur sekitar benua Eurasia.[4][5] Kajian 2017 dilakukan Pertubuhan Makanan Sedunia mendapati tanaman barli sebagai tanaman keempat terbesar ditanam di dunia selepas jagung, beras dan gandum sebanyak lebih 149 juta tan metrik.[6]
Di Malaysia, bijirin yang dikenali umum sebagai "barli" sebenarnya merujuk kepada satu tanaman lain yang panggil "air mata Nabi Ayub" dalam bahasa Inggeris (Job's Tears, coix lacryma-jobi). Tumbuhan ini sebenarnya berlainan genus dengan barli asli, namun ia seringkali dijual di pasaran dengan nama "barli" atau "barli mutiara Cina".