From Wikipedia, the free encyclopedia
Bahtera atau tongkang matahari ialah sebuah kapal yang digunakan oleh dewa matahari Ra dalam mitologi Mesir purba. Pada siang hari, Ra dipercayai menggunakan kapal yang dipanggil Mandjet (Bahasa Mesir: mꜥnḏt ) atau Kapal Berjuta-juta Tahun (Bahasa Mesir: wjꜣ-n-ḥḥw ), dan kapal yang digunakannya pada waktu malam dikenali sebagai Mesektet (Bahasa Mesir: msktt ).
Menurut mitos Mesir, apabila Ra menjadi terlalu tua dan letih untuk memerintah bumi, dia melepaskan takhta dan naik ke langit.[1] Ra dikatakan mengembara melalui langit di atas bahteranya, membawa cahaya kepada dunia.[2] Setiap 1/12 perjalanannya dikira sebagai 1/12 jam Mesir dalam sehari, setiap satu dikawal oleh seorang dewa pelindung. Apabila matahari terbenam dan senja tiba, dia dan bahteranya melalui akhet, ufuk, di barat dan pergi ke alam ghaib.[3]
Ada kalanya ufuk digambarkan sebagai gerbang atau pintu ke Duat. Di sana, dia perlu berlayar di Sungai Nil alam ghaib dan lepasi dua belas pintu dan daerah,[3] dengan setiap jam pada malam itu dianggap sebagai satu pintu gerbang yang diawasi oleh dua belas dewa pelindung lagi. Setiap malam ular besar Apep, dewa keadaan huru-hara (isfet), cuba menyerang Ra dan menghentikan perjalanan bahtera mataharinya. Selepas mengalahkan Apep, Ra akan meninggalkan alam ghaib, muncul pada waktu subuh dan menerangi hari semula.
Dia dipercayai merentasi langit dalam bentuk berkepala falkon di atas Tongkang Mandjet pada waktu siang, kemudian beralih ke Tongkang Mesektet dalam bentuk berkepala bebiri untuk turun ke alam ghaib selama beberapa jam pada waktu malam.[4] Pergerakan Ra di atas Mandjet kadangkala dibayangkan sebagai penuaan, kesusutan, kematian dan kebangkitan hariannya dan ia muncul dalam simbolologi teks-teks pengebumian Mesir.
Dalam cerita rakyat, kapal jenis ini digunakan oleh dewa matahari. Kerana firaun ialah wakil dewa matahari di bumi, raja akan menggunakan kapal yang serupa apabila mangkat untuk memasuki alam ghaib untuk ke akhirat.[4]
Salah satu contoh yang paling terkenal ialah kapal Khufu, yang dibina dan kemudian dikebumikan di Giza bersama-sama dengan Khufu dan barang-barang lain yang akan dibawanya ke akhirat.[5] Kapal itu pada asalnya dipamerkan di muzium Tongkang Matahari Giza yang dibina khas tetapi kemudiannya dipindahkan ke Muzium Besar Mesir.[6][7]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.