Bahasa Amori
Bahasa Semitik kuno pupus / From Wikipedia, the free encyclopedia
Bahasa Amori merupakan satu bahasa Semitik lama yang telah pupus, yang dahulu ditutur oleh suku Amori di Timur Dekat purba. Ia diketahui menerusi bahasa Ugaritik,[1][2] dialeknya yang paling barat,[3] dan daripada nama-nama khas bukan Akkadia yang direkodkan oleh jurutulis-jurutulis Akkadia pada zaman pemerintahan orang Amori di Babylonia (akhir alaf ke-3 dan awal alaf ke-2 SM), sebilangan banyaknya di Mari dan sedikit di Alalakh, Tell Harmal dan Khafajah. Kadangkala, nama-nama tersebut juga terdapat dalam teks-teks lama Mesir; dan satu nama tempat, "Sənīr" (שְׂנִיר) untuk Gunung Hermon, datang daripada Alkitab (Ulangan 3:9).[4]
Bahasa Amori adalah bahasa Semitik Barat Laut yang arkaik, tetapi ada juga sesetengah bukti yang ia tergolong dalam perkumpulan lain.
Ciri-ciri bahasa ini antaranya:
- Ia membezakan antara aspek tidak sempurna/sempurna dalam semua bahasa Semitik Barat Laut: Yantin-Dagan, 'Dagon memberikan' (ntn); Raṣa-Dagan, 'Dagon telah puas' (rṣy). Ia mempunyai imbuhan akhiran orang ketiga -a (tidak seperti bahasa Akkadia atau Ibrani) dan vokal yang tidak sempurna, a-, seperti dalam bahasa Arab dan tidak seperti -i- bahasa Ibrani dan Aramia.
- Terdapat satu bentuk kata kerja dengan geminasi konsonan kedua iaitu — Yabanni-Il, 'Tuhan menciptakan' (akar bny).
- Dalam beberapa kes Akkadia menggunakan š, Amori seperti Ibrani dan Arab mempunyai h, seperti hu 'dia (lelaki)', - haa 'dia (perempuan)', h- atau ʼ- kausatif (I. Gelb 1958).
- Kata ganti nama diri pertama sempurna ialah -ti (tunggal), -nu (jamak), seperti dalam bahasa-bahasa Kanaan.
Pada tahun 2022, dua batu bersurat besar yang berusia 3800 tahun dan mempunyai tulisan dalam kedua-dua bahasa Amori dan bahasa Akkadia telah diterbitkan. Batu bersurat ini mengandungi banyak tulisan dalam bahasa Semitik Barat Laut.[5] Teksnya sangat menyerupai bahasa Ibrani Klasik, menunjukkan bahawa seawal alaf kedua SM, orang ramai bercakap dalam bahasa yang hampir sama dengan Ibrani. Ini penting kerana bahasa Ibrani sebelum ini disangka hanya wujud sejak abad ke-10 SM.