Asidosis
From Wikipedia, the free encyclopedia
Asidosis ialah proses yang menyebabkan peningkatan keasidan dalam darah serta lain-lain tisu badan (yakni peningkatan kepekatan ion hidrogen).
Istilah asidemia menerangkan keadaan pH darah yang rendah, manakala asidosis diguna untuk menerangkan proses-proses yang membawa kepada keadaan ini. Namun begitu, dua istilah tersebut kadangkala boleh bersilih ganti penggunaannya. Perbezaan ini mungkin relevan apabila pesakit mempunyai faktor-faktor yang menyebabkan kedua-dua penyakit asidosis dan alkalosis, yakni apabila keterukan relatif kedua-dua penyakit ini seterusnya menentukan sama ada akhirnya menyebabkan pH darah menjadi tinggi, rendah atau normal.
Asidemia dikatakan berlaku apabila pH arteri jatuh di bawah 7.35 (kecuali pada janin - lihat di bawah), manakala penyakit padanannya (alkalemia) pula berlaku apabila pH tersebut melebihi 7.45. Analisis gas darah arteri dan ujian-ujian lain diperlukan untuk memisahkan punca-punca utama berlakunya penyakit ini.
Kadar aktiviti metabolisme selular mempengaruhi, dan pada masa yang sama, dipengaruhi oleh pH cecair-cecair badan. Pada haiwan mamalia, pH normal darah arteri mempunyai julat antara 7.35 sehingga 7.50 bergantung kepada spesies (contohnya, pH darah arteri manusia yang sihat adalah di antara 7.35 dan 7.45). Nilai pH darah yang serasi dengan keberlangsungan nyawa di kalangan haiwan mamalia dihadkan kepada julat pH antara 6.8 sehingga 7.8. Perubahan dalam pH darah arteri (dan oleh itu cecair ekstraselular) di luar julat ini mengakibatkan kerosakan sel yang tidak dapat dibaikpulih. [1]