Falsafah (Jawi: فلسفه) ialah satu disiplin ilmiah mengusahakan kebenaran umum dan asas melalui pengamatan dan penyelesaian masalah yang mendasar dan umum tentang persoalan seperti keberadaan, pengetahuan, nilai, akal, fikiran dan bahasa.[1] Para pengamal bidang ini disebut sebagai ahli falsafah, ahli fikir atau filsuf.[2] Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas
- Tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran
Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah1. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:
- Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah2. Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.
Perkataan "falsafah" meminjam daripada Arab: فلسفة, rumi: falsafat , ia sendirinya menyerap perkataan Yunani: Φιλοσοφία, rumi: philosophia yang bermaksud "cinta kepada hikmah" (love of wisdom).[3][4] Kamus moden awal bahasa Melayu seperti Kitab Vortaro memberi takrifan bidang ini sebagai "penjelidikan pada segala apa jang menosia bisa dapet mengarti".[5]
Pengetahuan
Secara tradisionalnya, istilah "falsafah" mengacu pada badan (atau ibu) dari segala pengetahuan.[6][7] Dalam pengertian ini, falsafah sangat erat kaitannya dengan agama, matematika, ilmu alam, pendidikan, dan politik. Sebagai contoh: "Prinsip Matematika Falsafah Alam" karya Isaac Newton pada zamannya tahun 1687 dikelaskan menggunakan istilah "falsafah alam" kerana istilah itu digunakan untuk mencakup disiplin ilmu yang kemudian dikaitkan dengan ilmu pengetahuan seperti astronomi, kedoktoran, dan fizik; namun pada tahun 2000-an ia dikelaskan khusus sebagai buku fizik.[8]
Pada zaman klasik, Falsafah secara tradisional dibahagi menjadi tiga cabang utama:
- Falsafah alam ("fisika") adalah kajian tentang dunia yang ketara atau "fizikal" (physis, makna harfiah: alam);
- Falsafah moral ("etika") adalah kajian tentang kebaikan, benar dan salah, keindahan, keadilan dan kebajikan (etos, makna harfiah: kebiasaan);
- Falsafah metafizika ("logika") adalah kajian tentang eksistensi, sebab-akibat, Tuhan, logika, bentuk dan objek abstrak lainnya ("meta-physika" makna harfiah: "apa yang terjadi setelah fizik").[9]
Pembagian ini tidaklah usang tetapi telah berubah. Falsafah alam telah terbagi menjadi berbagai ilmu alam, terutama astronomi, fizik, kimia, biologi, dan kosmologi. Falsafah moral telah melahirkan ilmu-ilmu sosial, namun tetap mencakup teori nilai (termasuk estetika, etika, falsafah politik dan sebagainya). Falsafah metafizik telah melahirkan ilmu formal seperti logika, matematika dan falsafah sains, namun tetap mencakup epistemologi, kosmologi dan yang lainnya.
Berfalsafah
Berfalsafah secara mudah dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Tetapi, berfalsafah di sini bermaksud berfikir secara falsafah. Berfalsafah merupakan satu tanda yang penting bagi bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai inti dalam falsafah. Berfikir secara falsafah ini harus mengandungi tiga ciri, iaitu:
- Radikal
Ini bermaksud bahawa berfalsafah merupakan corak pemikiran yang ketuntasan, dengan ini dapat berfikir dengan sedalam-dalamnya sehingga kepada akar bagi sesuatu masalah. - Sistematik
Berfikir sistematik ialah berfikir logik, yang bergerak selangkah demi selangkah dengan penuh kesedaran dengan turutan yang tersusun. - Sejagat
Sejagat bermaksud umum. Dalam corak pemikiran ini, pemikiran tidak terbatas pada bahagian-bahagian tertentu, tetapi jawapan keseluruhan bagi sesuatu persoalan.
Ketika berfalsafah, seseorang itu tidak digalakkan untuk merujuk kepada sumber kewibawaan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan. Sebaliknya, ia digalakkan untuk menjawabnya dengan hanya menggunakan akal sendiri. Contohnya, dalam menjawab soalan "Apakah YYY?", seseorang itu tidak harus menjawab "YYY itu ZZZ kerana profesor T pernah mengatakannya", tetapi sebaliknya beliau harus menjawab soalan ini dengan jiwanya yang bebas secara "berfalsafah".
Persoalan falsafah
Persoalan falsafah ataupun masalah falsafah ialah topik yang dibincangkan dalam bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai isi dalam falsafah. Persoalan falsafah sentiasanya disifatkan sebagai soalan yang sangat rumit, dan ia sangat memerlukan dan menuntut daya pemikiran yang bersungguh-sungguh.
Sesuatu soalan itu akan menjadi persoalan falsafah apabila soalan itu tidak dapat diselasaikan melalui kaedah pengamatan ataupun kaedah sains. Biasanya, persoalan falsafah akan melibatkan persoalan tentang konsep, idealogi, dan juga perkara-perkara lain yang abstrak. Contoh persoalan falsafah adalah seperti di bawah:
- "Apakah itu kebenaran?"
- "Apakah itu pemikiran?"
- "Apakah itu ilmu pengetahuan?"
- "Apakah itu cantik?"
- "Apakah itu kehidupan?"
Bidang falsafah berupaya memberikan suatu nilai yang sangat tinggi di dalam kehidupan seharian seseorang namun berbalik kepada soalan yang baik, ataupun soalan yang mempunyai nilai daya tuntas kefalsafahannya. Ini adalah kerana soalan yang baik menjanjikan jawapan yang baik. Contohnya, soalan epistemologi yang ditanyakan pada zaman dulu-dulu seperti "apakah kebenaran?, apakah ilmu pengetahuan?" sebenarnya telah memajukan sains dan teknologi manusia.
Kategori falsafah
Falsafah dapat dikategorikan 5 bidang berdasarkan persoalannya, iaitu:
- Metafizik
Bidang falsafah ini memikirkan tentang kewujudan.Contoh soalannya: Jenis benda yang wujud? Apakah sifat "semulajadi - nature" benda tersebut? Adakah sesuatu wujud tanpa pergantungan kepada deria manusia? Apakah sifat ruang dan masa? Apakah sifat akal dan berfikir? Apakah yang dikatakan manusia? Apakah yang dikatakan sedar? Adakah Tuhan wujud? - Epistemologi
Bidang falsafah ini memikirkan tentang ilmu pengetahuan. Contoh soalannya adalah seperti: Apa itu pengetahuan? Adakah ada pengetahuan? Bagaimana kita tahu apa yang kita tahu? Bagaimana kita tahu terdapat minda yang lain? - Etika
Bidang falsafah ini memikirkan tentang kemoralan manusia. Contoh soalannya:Adakah terdapat perbezaan antara tindakan bermoral dan tindakan yang salah ? Jika ada, apakah perbezaannya? Tindakan yang mana betul dan tindakan yang mana salah? Adakah nilai mutlak, atau perbandingan?Bagaimana seseorang itu harus hidup? - Logik
Logik adalah satu bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia. - Estetika
Bidang falsafah memikirkan tentang keindahan. Contoh soalannya: Apakah itu indah? Sebagai contoh, penulisan Kata-kata mutiara - Afronisme
Tradisi falsafah
Falsafah merupakan sesuatu yang diusahakan oleh setiap bangsa. Ini adalah kerana manusia secara semula jadinya mempunyai fitrah ingin tahu dan cenderung kepada kebenaran. Daripada itu tradisi falsafah terbina oleh kelompok manusia yang mengadakan pendekatan yang berbeza terhadap falsafah. Dalam sesuatu tradisi falsafah, anggotanya akan mempunyai minat yang sama dalam sesuatu persoalan falsafah dan juga mempunyai pengaruh yang sama daripada seseorang tokoh falsafah.
Perkataan "falsafah" dalam konteks akademik Amerika Inggeris mungkin adalah sesuatu yang mengelirukan. Ia biasanya merujuk kepada tradisi falsafah daripada tamadun barat dengan mengetepikan tradisi falsafah daripada tempat lain. Masalah ini menjadi lebih rumit lagi apabila didapati tiada perkataan "falsafah" yang wujud dalam tamadun China, Korea, dan Jepun sehingga abad ke-19. Daripada itu, pernah juga sarjana Barat menyangka bahawa falsafah itu tidak pernah wujud dalam tamadun ini.
Secara kasarnya, falsafah boleh dibahagikan kepada dua tradisi,antara falsafah Barat dan juga falsafah Timur. Bagi tradisi falsafah di Afrika, ia masih dianggap terlalu kabur dan asing bagi kebanyakan orang.
Falsafah Barat merupakan satu tradisi falsafah yang laku untuk kawasan Eropah, benua-benua Amerika Utara dan Selatan, dan juga di Timur Tengah. Falsafah Islam biasanya termasuk juga ke dalam tradisi ini. Falsafah Timur pula merujuk kepada tradisi falsafah daripada Benua India dan juga daripada timur jauh seperti China, Korea, dan Jepun.
Tradisi falsafah Timur
- Rencana utama: Falsafah Timur
- Falsafah Budhisme
- Falsafah Hindu
- Falsafah India
- Falsafah Vedanta
- Falsafah Indonesia
- Falsafah Jepun
- Falsafah Konfusisme
- Falsafah Taoisme
Tradisi falsafah Barat
- Rencana Utama:Falsafah Barat
- Falsafah Yunani Kuno
- Falsafah Kontinental
- Falsafah Anglo-Amerika
- Falsafah Zaman Penengahan
- Falsafah Marxisme
- Falsafah Pascamoden
Sejarah
Sebagai suatu disiplin, sejarah falsafah bertujuan untuk memberikan penerangan terperinci yang sistematik dan kronologi bagi konsep dan doktrin falsafah.[10] Beberapa ahli teori melihatnya sebagai sebahagian daripada sejarah intelek, namun ia juga menyiasat soalan yang tidak dirangkumi oleh sejarah intelek seperti sama ada teori ahli falsafah lepas adalah benar dan kekal relavan mengikut falsafah.[11] Sejarah falsafah terutamanya melibatkan teori yang berdasarkan pertanyaan rasional dan hujahan; beberapa sejarawan memahaminya dalam makna yang lebih longgar termasuk mitos, ajaran agama, dan peribudaya terkenal.[12]
Aforisme falsafah
Sepucuk surat yang tidak diketahui oleh banyak orang mungkin boleh membantu menyelesaikan, atau dalam erti kata lain, sekurang-kurangnya mungkin berupaya untuk mengurangkan kontroversi tentang pandangan tentang fonetik bahasa di dalam falsafah.
Berikut petikan aforisme yang terkandung di dalam surat itu, dan telah ditulis kepada tokoh akedemik dan juga untuk ahli falsafah Bahasa Melayu Malaysia, bertarikh 7 Ogos 2021, Raja Muda telah menulis;
"Ilmu tanpa falsafah adalah pincang, falsafah tanpa ilmu adalah tempang"
"Sains tanpa falsafah adalah pincang, falsafah tanpa sains adalah tempang"
"Falsafah tanpa ilmu bahasa adalah pincang, ilmu bahasa tanpa falsafah adalah tempang."
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.