Tulisan pepaku
From Wikipedia, the free encyclopedia
Tulisan pepaku, tulisan baji atau kuneiform merupakan antara sistem tulisan terawal yang diketahui dalam sejarah. Ia dikenali dengan aksara-aksara berupa baji yang ditulis dengan gedabung tumpul di atas batu bersurat daripada tanah liat. Istilah "kuneiform" bermaksud "bentuk baji" daripada bahasa Latin iaitu cuneus "baji" dan forma "bentuk", dan mungkin dilariskan dari cunéiforme dalam bahasa Perancis Lama.
Pepaku (Kuneiform) | |
---|---|
Fail:Prasasti tiga bahasa oleh Xerxes, Van, 1973.JPG | |
Jenis | Logograf dan kesukukataan
|
Bahasa | Akkadia, Ebla, Elam, Hatti, Het, Hurri, Luwi, Sumeria, Urartu, Parsi Lama |
Tempoh masa | c. abad ke-31 SM ke abad pertama M |
Aksara induk | (Prototulisan)
|
Aksara turunan | tiada; mempengaruhi bentuk Ugarit tampak mengilhami tulisan Parsi Lama |
Arah tulis | Kiri-ke-kanan |
ISO 15924 | Xsux, 020 |
Alias Unikod | Cuneiform |
Julat Unikod | U+12000 to U+123FF (Pepaku Sumer-Akkadia) U+12400 to U+1247F (Angka-angka) |
Rencana ini mengandungi Bantuan:Aksara khas. Tanpa pemberian sokongan yang sewajarnya, anda mungkin melihat tanda tanya, kotak, atau simbol lain. |
Tulisan pepaku mula-mula tercipta di Sumer pada akhir alaf keempat SM (iaitu zaman Uruk IV) sebagai suatu sistem piktograf. Pada alaf ketiga SM, aksara-aksara perlambangannya menjadi dipermudah dan lebih mujarad dengan berkurangannya bilangan aksara dari kira-kira 1,000 pada awal Zaman Gangsa ke sekitar 400 pada lewat Zaman Gangsa (pepaku Het). Tulisan pepaku terdiri daripada gabungan lambang-lambang logofonetik (perlambangan campur sebutan), huruf konsonan dan suku kata.[1]
Tulisan Sumer yang asal ini bukan hanya disesuaikan untuk penulisan bahasa-bahasa Akkadia, Ebla, Elam, Hatti, Het, Hurri, Luwi, dan Urartu, bahkan juga mengilhami abjad-abjad Ugarit dan Parsi Lama. Tulisan pepaku beransur-ansur digantikan oleh abjad Phoenicia sewaktu Empayar Neo-Assyria. Menjelang abad ke-2 M, tulisan pepaku sudah pupus, maka hilanglah segala pengetahuan tentang pembacaan dan penulisannya sehingga ia ditafsir pada abad ke-19.
Dianggarkan dari setengah juta[2] hingga dua juta keping batu bersurat pepaku telah ditemui pada zaman moden. Daripada itu, hanya kira-kira 30,000[3] ke 100,000 keping telah ditafsir atau diterbitkan. Muzium British menyimpan koleksi terbesar iaitu kira-kira 130,000 keping, diekori oleh Muzium Timur Dekat Berlin, Louvre di Paris, Muzium Arkeologi Istanbul, Muzium Kebangsaan Iraq, Koleksi Babylon Yale (kira-kira 40,000) dan Muzium Penn. Kebanyakannya telah "terbiar dalam koleksi-koleksi ini selama seabad tanpa diterjemah, dikaji atau diterbitkan,"[2] kerana di dunia ini hanya ada beberapa ratus orang pentafsir pepaku yang berkelayakan.[3]