From Wikipedia, the free encyclopedia
Pendarrona, iridesens atau goniokromisme ialah fenomena permukaan tertentu yang kelihatan berubah warna secara beransur-ansur seiring dengan peralihan sudut pandangan atau sudut pencahayaan. Contoh pendarrona termasuk busa sabun, bulu, sayap kupu-kupu dan gewang siput laut, dan mineral seperti permata baiduri. Pendarrona adalah sejenis pewarnaan struktur yang disebabkan oleh interferens (gangguan) gelombang cahaya pada mikrostruktur atau saput nipis.
Perkataan iridesens (bahasa Inggeris: iridescence ) berasal daripada gabungan perkataan Yunani ἶρις îris (gen. ἴριδος íridos), bermaksud "pelangi" dan akhiran Latin -escent, yang bermaksud "cenderung ke arah".[1] Iris pula berasal daripada dewi Iris dalam mitos Yunani, yang merupakan personifikasi pelangi dan bertindak sebagai utusan para dewa. Goniokromisme (goniochronism ) berasal daripada perkataan Yunani gonia yang bermaksud "sudut", dan chroma yang bermaksud "warna".
Pendarrona merupakan fenomena optik permukaan di mana rona (hue) berubah mengikut sudut cerapan dan sudut pencahayaan.[2][3] Ia sering disebabkan oleh pelbagai pantulan daripada dua atau lebih permukaan lut cahaya di mana anjakan fasa gelombang dan interferens pantulan memodulasikan cahaya sampingan (dengan menguatkan atau melemahkan sesetengah frekuensi daripada yang lain).[2][4] Corak interferens ditentukan oleh ketebalan lapisan bahan. Pendarrona contohnya boleh disebabkan oleh "interferens saput nipis" yang boleh diibaratkan pelemahan jarak gelombang terpilih seperti yang diperlihatkan dengan interferometer Fabry–Pérot , dan terdapat dalam saput minyak pada air dan busa sabun. Pendarrona juga terdapat pada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan banyak lagi. Julat warna objek pendarrona semula jadi mungkin tidak terlalu lebar, contohnya yang beralih antara dua atau tiga warna apabila sudut pandangan berubah.[5][6]
Pendarrona juga boleh terhasil daripada belauan (difraksi). Ini terdapat pada benda-benda seperti CD, DVD, sesetengah jenis prisma, atau awan.[7] Dalam hal belauan, biasanya seluruh spektrum warna akan terperhati seiring dengan peralihan sudut pandangan. Dalam biologi, pendarrona jenis ini terhasil daripada pembentukan parutan belauan di permukaan, seperti barisan sel yang panjang pada otot berjalur , atau sisik perut yang terkhusus pada labah-labah merak Maratus robinsoni dan M. chrysomelas.[8] Sesetengah jenis kelopak bunga juga boleh menghasilkan parutan belauan, tetapi pendarronanya tidak kelihatan kepada manusia mahupun serangga yang menghinggapi bunga kerana isyarat belauan disembunyikan oleh pewarnaan yang berpunca dari pigmen tumbuhan.[9][10][11]
Dalam penggunaan biologi (dan biomimetik), warna-warna yang dihasilkan selain daripada pigmen atau pewarna dipanggil pewarnaan struktur. Mikrostruktur yang selalunya berbilang lapisan, digunakan untuk menghasilkan warna yang cerah tetapi kadangkala tiada pendarrona: perlunya susunan yang agak rumit untuk mengelak pemantulan warna-warna yang berbeza ke arah-arah yang berbeza. [12] Pewarnaan struktur telah difahami secara umum sejak buku Micrographia karya Robert Hooke pada tahun 1665, di mana beliau menyatakan dengan tepat bahawa pigmen bukan satu faktor memandangkan pendarrona pada bulu burung merak hilang apabila dicelup ke dalam air, tetapi muncul semula apabila dikembalikan ke udara. [13] [14] Kemudiannya didapati bahawa pendarrona pada burung merak adalah disebabkan oleh suatu kristal fotonik yang kompleks. [15]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.