From Wikipedia, the free encyclopedia
Pembunuhan Beramai-Ramai Qibya (ejaan alternatif : Kibya, Qibieh or Qibye) dilakukan oleh askar-askar Israel ke atas satu perkampungan Arab di tebing Barat dalam bulan Oktober tahun 1953.
Serangan ke atas Qibya dibuat berikutan dengan pertempuran sempadan yang meningkat banyak sejurus selepas perjanjian gencatan senjata tahun 1949. Negara Israel berdepan dengan masalah serangan bertubi-tubi oleh pejuang-pejuang Palestin yang menyusup masuk melepasi sempadan Israel. Dalam tahun 1951, 137 orang rakyat Israel terbunuh oleh pejuang Palestin yang menyusup masuk. Dalam tahun 1952, bilangan yang terkorban adalah 162 orang dan dalam tahun 1953, bilangan yang terbunuh adalah 160 orang.
Pada 12 Oktober 1953, seorang wanita Yahudi dan dua orang anaknya terbunuh dalam satu penyusupan oleh pejuang-pejuang Jordan di satu perkampungan bernama Yehud. Kepimpinan Israel mengambil keputusan untuk membuat serangan balas ke atas perkampungan Qibya di seberang sempadan Tebing Barat.
Menteri Pertahanan Pinhas Lavon, yang menyelaraskan operasi bagi pihak Perdana Menteri David Ben-Gurion memberikan arahan untuk melancarkan serangan. Kerajaan baru Israel di bawah Moshe Sharett yang sepatutnya mengambil alih tampuk kepemimpinan daripada David Ben-Gurion tidak diberikan maklum mengenai serangan ini.
Pada 13 Oktober 1953, dalam mesyuarat Suruhanjaya Bersama Gencatan Senjata (Mixed Armistice Commission), wakil Jordan mengutuk keras serangan ke atas perkampungan Yehud dan menjanjikan Israel kerjasama penuh untuk menjejak mereka yang bertanggungjawab melaksanakan serangan ke atas Yehud. Jordan meminta Israel bersabar dan tdiak melancarkan serangan balas. (The Iron Wall, Avi Shlaim, ms 90–93) Moshe Sharett kemudiannya berkata bahawa Glubb Pasha, pegawai pemerintah Legion Jordan meminta pasukan anjing pengesan baka Bloodhound untuk mengesan penyerang-penyerang yang terlibat. (Jerusalem Post, 31 Oktober 1965).
Serangan ke atas Qibya berlaku pada malam 14 Oktober 1953 dengan bedilan meriam bertubi-tubi ke atas perkampungan tersebut. Bedilan berterusan sehinggalah ketibaan askar-askar Israel di pinggir kawasan kampung. Askar-askar Israel meletakkan periuk api untuk menyekat kemaraan askar Jordan yang mungkin mara untuk mempertahankan Qibya. Apabila kampung tersebut telah dijamin keselamatannya, askar Israel meletakkan bahan letupan di setiap rumah yang ada dan meletupkan rumah-rumah selepas memberikan peluang kepada penduduk melarikan diri. Menjelang Subuh, askar-askar Israel berundur selepas mengisytiharkan operasi mereka berjaya.
Pasukan Pertahanan Israel mendakwa rancangan asal adalah untuk membuat serang hendap kepada pasukan Legion Arab di kawasan tersebut dengan menggunakan tindakan peletupan beberapa buah rumah Arab sebagai umpan. Arahan asal pemimpin tentera Israel agak terhad skop pelaksanaannya dan adalah untuk “.. melakukan serangan …. Dengan tujuan mendapatkan kawalan sementara kependudukan rumah-rumah Arab …. Memusnahkan rumah-rumah Arab … dan menyebabkan mudarat (harm) penghuninya…” Walau bagaimanapun, setelah menurun rantaian arahan tentera Israel, araghan tersebut bertukar menjadi “pembunuhan maksimum” [1].
Operasi di Qibya dilaksanakan oleh dua pasukan elit dalam tentera Israel, iaitu satu kompeni askar payung terjun dan satu unit khas dikenali dengan panggilan Unit 101. Unit 101 adalah satu unit yang ditubuhkan oleh Israel untuk membuat tindakan serangan balas ke atas pejuang-pejuang Arab. Unit 101 ditubuhkan dan diketuai oleh Ariel Sharon. Serangan ke atas perkampungan Qibya melibatkan kematian 60 orang Arab Palestin dan kemusnahan kebanyakan daripada rumah kediaman di perkampungan itu. Ketiak itu, Qibya berada di dalam wilayah yang berada di bawah kawalan Jordan. Ramai penduduk Qibya dipindahkan keluar sebelum itu daripada kawasan tersebut, tetapi ramai juga yang enggan berpindah dan menyembunyikan diri di dalam rumah mereka. Mereka terbunuh.
45 buah rumah penduduk kampung diletupkan, bersama-sama dengan masjid, sekolah dan empangan air. Lebih dari 60 orang terbunuh, dan 2,700 orang yang lain terpaksa berpindah kerana ketiadaan tepat tinggal kerana dimusnahkan askar Israel.
Serangan ini membawa kesan yang mendalam dan dikutuk keras oleh masyarakat antarabangsa dan juga oleh rakyat Israel sendiri. Majlis Keselamatan PBB mengutuk Israel dalam satu resolusi yang dibuat pada 24 November 1953. Banyak negara-negara Islam melihat serangan ke atas perkampungan Qibya sebagai satu tindakan keganasan.
Pada mulanya, rakyat Israel tidak mengetahui apa-apa mengenai serangan dan pembunuhan beramai-ramai di Qibya. Kerajaan Israel pada mulanya menafikan anggota tentera Israel terlibat. Hanya selepas ditunjukkan bukti dan keterangan saksi, barulah mereka mengakui bahawa askar Israel bertanggungjawab ke atas kematian penduduk Arab di Qibya. Pada 19 Oktober, 1953, David Ben-Gurion membuat dakwaan bahawa serangan tersebut sebenarnya dilakukan oleh orang-orang awam rakyat Israel.
“ …… tidak ada pihak yang lebih menyesali daripada kerajaan Israel mengenai serangan ini ... darah mereka yang tidak bersalah tertumpah … Kerajaan Israel menolak sekerasnya dakwaan bahawa serangan tersebut dilakukan oleh 600 orang askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) …. Kami telah menjalankan penyiasatan dan mendapati tanapa ada keraguan bahawa tiada unit tentera Israel yang tidak berada di markas mereka pada malam kejadian serangan ke atas Qibya. (Kenyataan Perdana Menteri Israel, David Ben-Gurion, ISA FM 2435/5)
Pada 18 Oktober 1953, Jabatan Negara Amerika mengeluarkan kenyataan mengutuk keras serangan ke atas Qibya, dan membuat tuntutan supaya mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang. Tetapi tuntutan ini tidak diendahkan oleh Israel. Amerika juga mengambil tindakan menggantungkan bantuan ekonomi kepada Israel, tetapi meneruskan bantuan sedikit masa kemudian selepas keadaan reda.
Selepas serangan ke atas Qibya, kepimpinan Israel mengelakkan pendudukan awam dijadikan sasaran pasukan tentera Israel. Kebolehan Unit 101 bertindak secara bebas ditarik balik, tetapi Unit 101 terus terlibat dalam serangan balas ke atas sasaran-sasaran musuh di dalam wilayah Arab sebagai sebuah unit di bawah naungan 202 Briged Askar Payung Terjun.
Ariel Sharon menulis di dalam buku autobiografinya walaupun dia menyesali kematian orang-orang awam Arab Palestin, serangan tersebut perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) boleh dan berkemampuan untuk mencarikan dan mensasarkan dengan tepat sasaran yang berada jauh di dalam wilayah musuh. Selepas serangan ke atas Qibya, Pasukan Liga Arab ditempatkan di sempadan berhampiran Qibya untuk mengelakkan penyusupan dan serangan selanjutnya oleh Pasukan Pertahanan Israel. Buat seketika, jumlah penyusupan dan serangan oleh pejuang Palestin berkurangan.
Ariel Sharon menulis di dalam diarinya bahawa dia menerima arahan untuk menyebabkan kerosakan teruk kepada penduduk Qibya. Katanya, “ … arahan itu jelas : Qibya mesti dijadikan teladan kepada yang lain”. Areil Sharon mendakwa beliau dan askar-askarnya memikirkan rumah-rumah yang diletupkan sudah dikosongkan apabila penduduk Arab diberikan perintah keluar oleh askar-askarnya. Dia tidak tahu masih ada orang Arab yang berselindung di dalam rumah-rumah yang diletupkan.
Ariel Sharon menulis lagi, “ Saya tidak percaya apa yang saya dengar … saya menyingkap kembali setiap pergerakan askar saya semasa operasi untuk memahami apa yang berlaku... sebelum ini, serangan balas tentera Israel hanya melibatkan kemusnahan beberapa buah rumah dan tidak lebih dari itu… menyangkakan keadaan yang sama, sebilangan keluarga Arab mungkin mengambil keputusan untuk berselindung di dalam rumah mereka … mendiamkan diri apabila diberikan amaran oleh askar-askar Israel … kesudahannya tragedi ini berlaku”.
Sejarawan Israel Benny Morris menyangkal dakwaan Ariel Sharon, memandangkan arahan yang diberikan kepada Unit 101 apda malam kejadian. Benny Morris menuding jari kepada hakikat bahawa laporan Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Legion Arab dengan jelas menyatakan bahawa penduduk Arab dibunuh sebelum peletupan kediaman mereka. Mejar Jeneral Vagn Bennike, Ketua Turus Badan Penyelia Gencatan Senjata yang membuat siasatan pada keesokan hari kejadian melaporkan “kejadian yang berlaku berulang kali … pintu rumah yang berserpihan peluru .. mayat yang berada di ambang pintu … membuktikan penduduk yang terpaksa berselindung di dalam rumah mereka disebabkan tembakan hebat sehingga rumah mereka diletupkan semasa mereka berada di dalam..)
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.