From Wikipedia, the free encyclopedia
Monopoly adalah satu permainan papan yang paling laris jualannya di dunia. Dalam permainan ini, pemain berlumba untuk mengumpulkan kekayaan melalui satu perlaksanaan satu sistem ekonomi mainan yang melibatkan pembelian, penyewaan dan pertukaran hartanah dengan menggunakan duit mainan. Pemain mengambil giliran untuk membalingkan dadu dan bergerak di sekeliling papan permainan mengikut bilangan yang diperolehi dengan balingan dadu tadi.
Permainan ini dinamakan bersempena konsep monopoli dalam teori ekonomi, iaitu penguasaan pasaran oleh peniaga tunggal tanpa ada apa-apa persaingan.
Sejarah permainan Monopoly boleh dituruti seawal tahun 1900-an. Pada tahun 1904, seorang pencipta bernama Lizzie Magie mempatenkan satu permainan yang beliau harapkan dapat menerangkan sebahagian daripada idea ekonomi yang diutarakan oleh Henry George. Permainan beliau dikenali sebagai The Landlord's Game (Permainan Tuan Punya Tanah) yang dikeluarkan secara komersial beberapa tahun kemudian.
Lizzie Magie terus memperkembangkan permainannya dengan bantuan beberapa orang peminat. Pada tahun 1924, Lizzie Magie mempatenkan permainan yang diperbaiki. Permainan lain sepertinya menyusul. Pada awal tahun 1930-an, Parker Brothers menjual permainan Monopoly.
Menjelang tahun 1970-an, sejarah awal permainan Monopoly terhapus. Khabar angin popular menceritakan Monopoly dicipta oleh Charles Darrow menjadi cerita rakyat yang paling popular dan disertakan dengan keterangan permainan Monopoly. Sejarah ini juga diceritakan dalam buku The Monopoly Book: Strategy and Tactics of the World's Most Popular Game, oleh Maxine Brady yang dicetak dalam tahun 1974.
Sejarah permainan Monopoly sekali lagi menjadi tumpuan apabila Profesor Ralph Anspach membuat tuntutan daripada Parker Brothers dan syarikat induknya General Mills, mengenai hak tanda perniagaan permainan Monopoly. Tuntutan ini berlarutan hingga pertengahan tahun 1980-an dan status perundangan hak milik perniagaan permainan Monopoly tergantung tanpa rumusan. Kini hak milik tanda perniagaan Monopoly masih kekal bersama Parker Brothers. Hasbro, syarikat induk Parker Brothers hanya mengiktiraf Charles Darrow untuk kewujudan permainan Monopoly, tetapi tidak diberikan apa-apa ganjaran. Profesor Anspach menerbitkan buku mengenai penyelidikannya diberi tajuk The Billion Dollar Monopoly Swindle (Penipuan Monopoly Berbilion Dollar) di mana dia menghujahkan sejarah awal permainan Monopoly dan perkembangan permainan tersebut.
Papan klasik Monopoly mempunyai 40 petak dengan 28 petak hartanah, 3 petak dugaan, 3 petak community chest, satu petak 'Cukai', satu petak ‘Cukai Pendapatan’ satu petak “Jalan”, satu petak “Penjara” satu petak “Perkir Percuma” dan satu petak lagi “Pergi ke Penjara”. Hartanaha-hartanah dinamakan mengikut nama tempat-tempat tertentu di negara di mana permainan itu dikeluarkan.
Versi paling biasa dilihat di Malaysia adalah versi yang dikeluarkan oleh John Waddington Ltd. yang mengeksport permainan ini ke Malaya dan seterusnya sehinggalah selepas kewujudan Malaysia. Permainan Monopoly keluaran John Waddington Ltd. ini diedarkan ke banyak negara Komanwel kecuali di Kanada. Monopoly versi Malaysia dikeluarkan lewat tahun 1990-an dengan menggunakan nama-nama tempat di Kuala Lumpur. Ini dilihat sebagai menyahut saingan yang diberikan permainan Saidina yang dikeluarkan oleh Syarikat Permainan Malaysia Sdn. Bhd. yang menggunakan lokasi tempatan untuk hartanahnya.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.