Masnah (Arab: مَثْنَاة, rumi: mathnāh[1][2]) atau Misynah (Ibrani: מִשְׁנָה, rumi: mišnah, lit. 'pengulangan'[3]) ialah himpunan tafsiran dan ulasan lisan rabai Yahudi terhadap isi kandungan Kitab Taurat pegangan mereka; ia karya besar pertama seumpamanya.[4] Kerja-kerja penghimpunan dan penyuntingan mula-mula dilakukan Yehuda ha-Nasi mungkin di Beit Syearim (tidak jauh dari Haifa) atau Safuriyah di Jalil dalam rantau Palestin[5] sekitar akhir abad ke-2 dan awal abad ke-3 TM[6][7] didorong keadaan gawat masyarakat Yahudi semasa yang ditindas ketika itu serta kekhuatiran mungkin terjejasnya penerusan kefahaman lisan kaum Farisi dari zaman Bait Kedua (516 SM – 70 TM).
Sebahagian besar Misynah ditulis dalam suatu laras khusus bahasa Ibrani tetapi beberapa bahagian dalam bahasa Aram Barat Palestin.
Etimologi
Kedua-dua kata mathnāh dalam bahasa Arab dan mišnah dalam bahasa Ibrani yang serumpun Samiah diturunkan dari kata Semitik Purba *šanat-, kata ini dibentuk dari akar th-n-y masing-masing menerbitkan kata kerja dasar ثَنَى thanā "melipat [ganda]; mengulang"[1] dan שָׁנָה šānāh "mengulang";[8] istilah mathnāh pernah digunakan umat Yahudi penutur bahasa Arab di rantau Hijaz pada zaman Nabi Muhammad.[2]
Enam susunan
Himpunan ini asalnya dimaksudkan kepada kaedah pengajaran yang menyusun topik-topik secara sistematik, berbeza dengan Midrasy , yang mengikut susunan Alkitab. Misynah, sebagai kompilasi bertulis, menyusun kandungannya mengikut subjek dan mengulas lebih banyak topik keagamaan daripada Midrasy, serta membincangkan setiap topik dengan lebih teliti.
Misynah terdiri daripada enam bahagian atau susunan (sedarim , mufrad seder סדר ), setiap satu mengandungi 7–12 risalah (masekhtot , mufrad masekhet מסכת ), 63 kesemuanya. Setiap masekhet terbahagi kepada bab (peraqim , mufrad pereq ) kemudian perenggan (misynayot , mufrad misynah ). Misynah dalam konteks ini bermaksud satu perenggan, iaitu unit terkecil Misynah, manakala Misynayot digunakan untuk keseluruhan himpunan ini.
Misynah kadangkala dipanggil Syas kerana ia terbahagi kepada enam susunan. Syas ialah singkatan untuk Syisya Sedarim – "enam susunan"), tetapi ini biasanya digunakan untuk merujuk pada seluruh Talmud.
Enam susunannya ialah:
- Zeraim ("Benih"), membincangkan sembahyang dan ucap berkat, pembahagian sepersepuluh dan hukum-hakam pertanian (11 risalah)
- Moed ("Perayaan"), berkaitan dengan hukum-hakam Sabat dan Perayaan (12 risalah)
- Nasyim ("Wanita"), mengenai perkahwinan dan perceraian, beberapa bentuk sumpah dan hukum-hakam orang yang bernazar (7 risalah)
- Nezikin ("Kerosakan"), berurusan dengan undang-undang sivil dan jenayah, fungsi mahkamah dan sumpah (10 risalah)
- Kodasyim ("Perkara-perkara kudus"), mengenai upacara korban, Kuil Suci, dan hukum-hakam pemakanan (11 risalah) dan
- Tohorot ("Kesucian/kemurnian"), berkaitan dengan hukum kesucian dan kenajisan, seperti kenajisan si mati, kesucian makanan, dan kesucian jasmani (12 risalah).
Talmud Babylon (Hagiga 14a) menyatakan bahawa terdapat 600 atau 700 susunan Misynah. Misynah dibahagikan kepada enam bahagian mengikut tema oleh pengarangnya, Yudah ha-Nasi.[9][10] Terdapat juga riwayat bahawa Jurutulis Uzair mengitlakkan bukan sahaja 24 kitab Tanakh daripada hafalan beliau tetapi juga 60 buku esoterik. Tidak diketahui jika ini merujuk kepada Misynah tetapi munasabah juga untuk mengatakan bahawa Misynah memang terdiri daripada 60 risalah. (Jumlahnya sekarang ialah 63 tetapi risalah Makkot asalnya adalah sebahagian daripada Sanhedrin, dan Bava Kamma (harfiah: "Gerbang Pertama"), Bava Metzia ("Gerbang Tengah") dan Bava Batra ("Gerbang Akhir") sering dianggap sebagai subbahagian satu risalah besar, berjudul Nezikin.)
Hukum-hakam yang tidak diulaskan
Pelbagai hukum penting tidak dijelaskan dalam Misynah. Ini termasuk hukum-hakam tzitzit, tefillin (filakteri), mezuzot, perayaan Hanukkah, dan hukum-hakam memeluk agama Yahudi. Ini kemudiannya dibincangkan dalam risalah-risalah kecil.
Nissim ben Yakob, seorang rabai dan pentafsir Talmud, berhujah dalam karya beliau bertajuk Hakdamah Le'mafteach Hatalmud bahawa Yehuda ha-Nasi tidak mengulaskannya kerana banyak hukum-hakam ini pengetahuan umum. Reuvain Margolies, sarjana Talmud, berpendapat disebabkan Misynah telah ditapis selepas pemberontakan Bar Kokhba, Yehuda tidak dapat memasukkan perbincangan tentang Hanukkah, yang memperingati pemberontakan Yahudi terhadap Empayar Seleukia (dan orang Rom akan menindas semangat nasionalisme begini). Pada masa itu juga terdapat beberapa perintah yang menyekat orang daripada memakai tanda identiti bangsa, seperti pengharaman pemakaian tefillin dan tzitzit; kerana memeluk agama Yahudi bertentangan dengan undang-undang Rom, Yehuda pasti tidak akan membincangkan hal ini.[11]
Sarjana Taurat dan rabai David Zvi Hoffmann menyatakan dahulu ada teks-teks purba yang digunakan sebagai kompilasi syariat Yahudi yang membincangkan hukum-hakam kehidupan seharian. Oleh itu, hukum-hakam ini tidak perlu difokuskan dalam Misynah.
Misynah, Gemara dan Talmud
Ulasan, perbahasan dan analisis rabai-rabai tentang Misynah sepanjang empat abad berikutnya, yang dibuat di bumi Israel dan di Babylonia, akhirnya disunting dan disusun menjadi kitab Gemara. Misynah dan Gemara bersama-sama membentuk Talmud. Terdapat dua Talmud utama: Talmud Babylonia (perkataan "Talmud" biasanya merujuk yang ini) dan Talmud Baitulmuqaddis. Misynah ditulis dalam bahasa Ibrani manakala Gemara kebanyakannya ditulis dalam bahasa Aram.
Kandungan dan tujuan
Misynah menunjukkan bagaimana tradisi lisan digunakan dengan mengemukakan kes-kes sebenar yang dibawa untuk diberikan hukum. Ia biasanya mengandungi (i) perbahasan mengenai perkara itu, dan (ii) keputusan yang diberikan oleh seorang rabai yang berwibawa berdasarkan halakha (syariat), mitzvot (rukun-rukun), dan ajaran Taurat yang memandu keputusan mereka.
Dengan cara ini, Misynah menjadi garis panduan yang menjelaskan cara mengikut 613 Perintah daripada Taurat dalam hidup seharian. Ia merangkumi semua aspek kehidupan manusia, menjadi contoh untuk hukum-hakam masa depan, dan, yang paling penting, menunjukkan bagaimana hendak menerapkan hukum-hakam Alkitab. Garis panduan ini amat penting selepas pemusnahan Bait Suci Kedua pada tahun 70 TM. Oleh itu, Misynah ialah himpunan adat agama yang sedia ada, bukannya hukum-hakam baru.[12]
Istilah "Misynah" berkaitan dengan kata kerja "mengajar, mengulang", dan kata sifat yang bermaksud "kedua". Ia dinamakan begitu kerana ia sumber hukum-hakam agama yang kedua selepas Tanakh, digunakan untuk membuat keputusan, fatwa Yahudi, dan melengkapkan Tanakh dalam aspek-aspek tertentu.
Pengaitan dengan agama samawi lain
Ada sesetengah sejarawan yang memberi pendapat membandingkan peranan sampingan Masnah menyampingi kitab utama sepertimana hadis dalam kalangan umat Islam.[13]
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.