From Wikipedia, the free encyclopedia
Memotong bermaksud tindakan pemandu melepasi kenderaan hadapan yang lebih perlahan serta melalui arah yang sama di sebatang jalan raya. Lorong yang digunakan untuk memotong sentiasa lebih jauh daripada bahu jalan — bermaksud, lorong kanan bagi negara yang mengamalkan pemanduan di sebelah kiri, dan lorong kiri bagi negara yang mengamalkan pemanduan di sebelah kanan.
Di Malaysia, Peraturan 12 Saat diamalkan sebagai cara memotong kenderaan hadapan yang betul. Melalui peraturan tersebut, pemandu mestilah mempunyai jarak memotong yang cukup dalam tempoh 12 saat (sekurang-kurangnya 100 meter). Jika keadaan belum mengizinkan untuk memotong kenderaan hadapan, Peraturan 2 Saat (Peraturan 4 Saat jika hari hujan) digunakan bagi mengekori kenderaan dengan meninggalkan jarak lebih kurang 2 saat, bertujuan untuk memberi ruang kepada kenderaan belakang yang tidak lepas untuk memotong kenderaan yang lebih hadapan. Jika tiada kenderaan dari arah bertentangan pada jarak lebih 100 m, pemandu mula menghidupkan lampu isyarat membelok ke kanan, beralih ke lorong kanan, memecut untuk melepasi kenderaan yang dipotongnya, menyalakan lampu isyarat membelok ke kiri, dan akhir sekali beralih semula ke lorong kiri. Kesemua tindakan tersebut mesti dilakukan dalam tempoh maksimum 12 saat. Kenderaan yang kurang berkuasa biasanya memerlukan jarak memotong yang lebih jauh serta masa memotong yang lebih lama; oleh itu, kenderaan tersebut tidak dibenarkan untuk memotong kecuali jika disediakan lorong memotong.
Bagi jalan raya tunggal dua lorong, lorong memotong adalah lorong yang digunakan oleh kenderaan dari arah bertentangan; oleh itu, memotong kenderaan hadapan hanya selamat jika tiada kenderaan dari arah bertentangan, pada bahagian lurusan yang panjang dengan jarak penglihatan yang cukup jauh. Pemandu tidak boleh memotong di selekoh, kawasan bukit, persimpangan jalan, jambatan serta terowong. Ada kalanya pemandu tidak dibenarkan memotong di kawasan lurusan seperti di kawasan bandar, kerana jumlah kenderaan yang banyak di kawasan tersebut menjadikannya tidak sesuai untuk memotong. Kawasan yang dibenarkan memotong ditandakan dengan mengecat garisan tengah jalan dengan garisan putus-putus, menakala kawasan yang tidak dibenarkan untuk memotong ditandakan dengan garisan tidak putus tunggal atau berkembar. Di jajaran jalan dengan garisan berkembar di mana salah satu daripada garisan tersebut adalah garisan putus-putus, hanya kenderaan di sebelah laluan dengan garisan putus sahaja dibenarkan memotong.
Bagi jalan raya kembar serta lebuh raya, mana-mana lorong boleh dijadikan lorong memotong, walaupun memotong di lorong perlahan adalah salah di sisi undang-undang jalan raya. Biasanya, garisan di antara lorong-lorong trafik adalah garisan putus-putus yang membolehkan kenderaan memotong sepanjang masa, tetapi ada kalanya garisan berkembar tidak putus ditandakan di kawasan terowong dan persimpangan jalan (di mana lorong membelok diasingkan daripada laluan utama) bagi melarang pemandu memotong atau menukar lorong di kawasan berkenaan.
Dalam perlumbaan bermotor, pemandu dibenarkan untuk memotong pada sepanjang masa pada mana-mana bahagian litar; satu-satunya keadaan yang melarang mereka memotong ialah semasa bendera kuning dikibarkan dan kereta keselamatan dilepaskan ke dalam litar. Pemandu biasanya akan menghalang pemandu daripada memotong di sebelah dalam, kerana memotong di sebelah luar adalah lebih berisiko dan selalunya kurang berjaya.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.