Madhvācārya (1238-1317 Masihi) juga dikenali sebagai Pūrṇaprajña dan Ānandatīrtha. Sumber biografinya yang sah ialah Madhvavijaya dalam Sanskrit oleh Nārāyaṇa Paṇḍita (1287-1350 Masihi). Beliau merupakan anak Trivikrama Paṇḍita, seorang pengikut Advaita yang kemudiannya memeluk fahaman Dvaita disebabkan pengaruh Madhvācārya. Menurut tradisi Dvaita, Madhvācārya ialah penjelmaan Mukhyaprāṇa (sama dengan Hiranyagarbha, dan juga dikenali sebagai Dewa Vāyu dan Sūtrātman, satu aspek Maha Viṣṇu). Dalam zaman Treta, Vāyu telah lahir sebagai Hanumān dan dalam zaman Dwapara sebagai Bhīma, iaitu salah seorang Pānḍava.
Kelahiran Madhvā dalam zaman Kali adalah untuk membawa keseimbangan antara hati dan akal. Pada zaman itu, wujud dua fahaman yang ekstrem. Pengikut Jnana (falsafah Advaita) menekankan intelektual yang hambar. Golongan Bhakta (falsafah Visishtadvaita) yang beremosi pula mudah menjadi fanatik. Oleh itu, untuk membawa keseimbangan antara dua falsafah ini, Madhvā memperkenalkan satu sistem yang menekankan kedua-dua hati dan akal.
Kelahiran
Madhvācārya lahir pada hari Vijaya Daśami pada tahun 1238 Masihi sebagai anak Madhyageha Bhaṭṭā dan Vedavati di kampung Pājaka Kṣetra, lebih kurang lapan batu dari pekan Uḍupi, di negeri Karnataka, India. Semasa upacara nāmakaraṇa (upacara menamakan bayi), beliau diberikan nama 'Vāsudeva'. Seperti Hanumān dan Bhīma, Vāsudeva juga menunjukkan kekuatan fizikal dan keberanian yang luarbiasa. Ketika berumur satu tahun, beliau berpaut pada ekor lembu yang berlari merentasi padang dan rimbun. Sekali, beliau menghilangkan diri dari rumahnya dan berjalan menerusi hutan Kaḍuvūr yang tebal ke kuil Ananteśvara.
Selepas upacara upanayana, beliau dihantar ke sekolah. Namun, Vāsudeva lebih suka untuk bermain dan bersukan daripada menghadiri kelas. Apabila gurunya memarahinya, beliau membuktikan kepada gurunya bahawa beliau sudah pun menguasai pelajarannya. Tambahan lagi, beliau juga membetulkan kesilapan gurunya!
Kehidupan Rahib
Ketika berumur enam belas tahun, Vāsudeva memeluk kehidupan rahib dengan mengambil ikrar rahib daripada Acyuta Prajna, seorang ketua biara di Kāre berdekatan pekan baru Uḍupi. Selepas mengambil ikrar rahib, beliau dinamakan sebagai 'Pūrṇaprajña'. Beliau mula mempelajari falsafah Advaita menurut satu karya popular bernama Iṣṭasiddhi oleh Vimuktātman (kurun ke-10 Masihi). Namun, percanggahan pendapat yang serius timbul antara guru dan pelajar. Melihat kebijaksanaan dan memorinya yang tajam, Acyuta Prajna menamakannya sebagai 'Ānandatīrtha' dan menjadikannya ketua biaranya. 'Madhva atau Madhavācārya' nampaknya satu sinonim nama sebenarnya. Namun, nama ini yang menjadi popular.
Selama beberapa tahun berikutnya, Madhavācārya menewaskan ramai pendeta dan cendikiawan yang kebanyakannya bongkah kerana pendidikan mereka. Kebanyakan mereka mereka mungkin beragama Buddha, Jain atau daripada mazhab Advaita. Dua lawan pertamanya ialah Buddhisāgara dan Vādasimha, yang selepas dikalahkan oleh Madhva, melarikan diri pada waktu malam. Dengan menewaskan pendeta-pendeta ajaran lain dalam perdebatan, Madhavācārya menarik mereka untuk memeluk ajarannya. Akhirnya, Acyuta Prajna, guru Madhavācārya sendiri menjadi pengikutnya.
Madhva mengkritik dan menewaskan interpretasi popular Sankaracharya terhadap Vedanta Sutra Badarayana. Oleh itu, ramai orang termasuk Acyuta Prajna, memintanya untuk menulis sebuah ulasan Vedanta Sutra yang dapat menandingi atau mengatasi ulasan Sankaracharya. Madhavācārya berjanji untuk melakukannya.
Lawatan Ibadah
Apabila namanya tersebar di sekitar Udupi, Madhavācārya melakukan lawatan ibadah ke India Selatan. Mula-mula beliau melawat sehingga ke Kanyakumari bersama-sama Acyuta Prajna. Di perhentian pertamanya, di Vishnumangala, beliau dicabar oleh golongan Brahmin daripada mazhab lain. Mereka memberinya longgokan buah pisang sebagai Biksha. Dengan mudah, beliau memakan sebuah buah pisang itu Semua orang terpegun dengan kejadian ganjil itu.
Seterusnya, di Anantapuram, beliau dicabar oleh sekumpulan pendeta falsafah Advaita. Ketika itu, Vidya Tirtha, Acharya Srngeri Math ketika itu, sedang menghabiskan musim cuti Caturmasya. Beberapa perdebatan hebat berlaku di antara mereka.
Selain melawat tempat-tempat suci, Madhavācārya juga mengambil peluang itu untuk menyebarkan ajaran Vedanta. Dalam salah satu pertemuan pendeta, beliau dicabar untuk menerangkan maksud ayat-ayat suci Veda. Madhavācārya menunjukkan bahawa setiap ayat suci Veda mempunyai tiga maksud, Mahabharata mempunyai sepuluh maksud, setiap nama dalam Viṣṇusahasranāma (Seribu nama Viṣṇu) mempunyai seratus maksud!
Lawatan Ibadah ke Badari
Konfrontasi dengan pendeta-pendeta daripada mazhab Sankaracharya dan Ramanujacharya meyakinkan Madhavācārya bahawa beliau perlu memulakan sebuah mazhab baru Vedānta. Dalam perjalanannya ke India Utara, beliau dikatakan telah melawat tempat suci yang popular, Badarī. Di sana, sebagai persembahan kepada Dewa Nārāyaṇa, beliau memberikan satu huraian Bhagavadgita kepada pengikut-pengikutnya, Beliau melakukan disiplin rohani, bermandi dalam air sejuk, berpuasa dan bermeditasi. Beliau menerima suruhan Tuhan untuk bertolak ke kawasan tinggi Badari. Madhavācārya menerokai kawasan terpencil itu seorang diri.
Di Badari, beliau bertemu dengan Vedavyāsa yang tinggal bersama-sama pengikutnya, terselindung daripada pandangan manusia biasa. Vedavyāsa, penulis asal Brahmasūtra, Mahabharata dan Pāñcarātra Āgama, mengajar maksud sebenar karya-karyanya kepada Madhavācārya.
Di Badari juga, Madhavācārya melihat Dewa Nārāyaṇa dan mendengar wahyu-Nya bahawa hanya beliau seorang yang dapat menyempurnakan tugas yang telah dimulakan oleh Vedavyasa. Pemikir-pemikir lain telah memberikan maksud-maksud Vedanta Sutra, Upanishad, dan sebagainya yang bertentangan dengan niat Vedavyāsa.
Maka, Madhavācārya menulis ulasan Brahmasūtra dan menyebarkannya dalam kalangan orang-orang yang layak.
Dalam perjalanan baliknya ke India Selatan, Madhavācārya berjaya menewaskan dua pendeta hebat - Śobhana Bhaṭṭa dari kawasan Godāvarī dan Swami Śastri dari Kalinga. Mereka menjadi pengikut Madhavācārya dan memeluk kehidupan rahib dengan nama baru sebagai Padmanābha Tīrtha dan Narahari Tīrtha. Mereka telah menulis ulasan ke atas karya-karya Madhavācārya.
Di Uḍupi
Semasa berada di Uḍupi, Madhavācārya menemui arca Śri Kṛṣṇa yang terbenam dalam ketulan besar tanah (bernama gopīcandana). Selepas mencucinya di sebuah kolam, Madhavācārya sendiri menabalkan arca itu di biaranya. Ketika membawa arca itu, Madhavācārya menggubah sebuah puisi suci, yang kini dikenali sebagai Dvādaśa Stotra (dua belas ayat suci mengenai Śri Kṛṣṇa). Menurut puisi suci ini, arca Śri Kṛṣṇa itu telah dibentuk oleh Viśvakarma, Dewa pengukir dan Ia telah dipuja oleh para gopī di Vrindavan dan oleh maharani Rukmiṇī, salah seorang permaisuri Śri Kṛṣṇa. Kemudian, beliau mendirikan sebuah kuil dan menabalkan acra itu di sana.
Semasa berada di Uḍupi juga, Madhavācārya memperbaharui upacara korban dan memperkenalkan penggunaan bentuk-bentuk haiwan daripada serbuk kacang hitam dan minyak sapi menggantikan haiwan hidup semasa korban. Beliau juga mengalahkan hujahan Jaraghaṭita, seorang yang mengamalkan ilmu hitam dan upacara korban yang keji.
Lawatan Kedua ke Badarī
Dalam lawatan keduanya ke Badarī, Madhavācārya melakukan banyak keajaiban seperti memukau seorang pemerintah Turki, menewaskan kumpulan perompak dan pencuri, berjalan di atas sungai Ganges, dan menentang seekor harimau yang menyerang kumpulannya. Beliau juga menunjukkan sebuah cokmar (gadā) yang beliau telah gunakan dalam kelahiran lamanya sebagai Bhīma (salas seorang Pandava). Peristiwa-peristiwa keajaiban yang dicatatkan dalam Madhvavijaya menunjukkan bahawa beliau seorang yang mempunyai kekuatan fizikal dan intelek yang luar biasa, di samping kesaktian yoga.
Pada masa ini juga, Madhavācārya menewaskan seorang pendeta hebat bernama Trivikrama Paṇḍita. Selepas mengakui kekalahannya, Trivikrama menjadi pengikutnya dan menulis ulasan terperinci ke atas Brahmasūtra Bhāsya gurunya.
Menubuhkan Aṣṭamaṭha
Bagi memastikan penyembahan Śri Kṛṣṇa di kuil Uḍupi, berjalan dengan lancar dan tanpa gangguan, Madhavācārya menyerahkan tugasnya kepada lapan orang pengikut rahibnya. Mereka menubuhkan biara masing-masing di sekeliling kuil Uḍupi dan mengambil alih tugas secara giliran setiap dua tahun. Lapan biara-biara ini dikenali sebagai Aṣṭamaṭha iaitu Adamāru Maṭha, Kāṇiyūru Maṭha, Kṛṣṇāpura Maṭha, Palimāru Maṭha, Pejāvara Maṭha, Puttige Maṭha, Śīrūru Maṭha, dan Sode Maṭha. Ketua pertama biara-biara ini ialah, masing-masing, Narasimhatīrtha, Vāmanatīrtha, Janārdanatīrtha, Hṛṣīkeśatīrtha, Akṣobhyatīrtha, Upendratīrtha, Rāmatīrtha, dan Vīṣṇutīrtha.
Pemergian Madhavācārya
Dengan cara yang penuh mengagumkan, pada suatu hari, ketika mengajar Aitareya Upaniṣad kepada pengikut-pengikutnya, Madhavācārya ghaib dari tempat duduknya. Tempat di mana beliau sedang duduk, dipenuhi dengan himpunan bunga. Demikian, selepas melaksanakan tugasnya, Madhavācārya hilang dari pandangan manusia biasa.
Personaliti Madhavācārya
Madhavācārya merupakan seorang yang kuat dan tampan. Beliau mempunyai memori yang tajam, kepintaran yang luar biasa dan seorang pendebat yang hebat. Suaranya yang lantang amat sesuai untuk membacakan ayat-ayat suci Veda dan mantera lain.
Madhavācārya dikatakan telah menghasilkan 37 karya. Antara karya terpentingnya ialah:
Ulasan atau Bhāṣya untuk sepuluh Upaniṣad yang utama
Bhagavadgītā bhāṣya
Bhagavadgītā tātparyanirṇaya
Brahmasūtra Bhāṣya
Aṇubhāṣya untuk Brahmasūtra
Anuvyākhyāna
Māyāvādakhaṇdana
Mahābhārata tātparyanirṇaya
Viṣṇū tattvavinirṇaya
Sadācārasmṛti
Ṛgveda bhāṣya
Madhavācārya mengutarakan dualisme and realisme. Falsafahnya menerima pañcabheda atau lima jenis perbezaan yang benar dan tetap, iaitu:
Tuhan atau Īśvara adalah berbeza daripada Jiwa
Tuhan juga berbeza daripada benda-benda tidak bergerak atau Jaḍa.
Setiap Jiwa berbeza antara satu sama lain
Jiwa berbeza daripada Jaḍa
Setiap Jaḍa berbeza antara satu sama lain.
Menurut Madhvā, Nārāyaṇa
ialah Tuhan Yang Maha Berkuasa. Semua dewa-dewi lain bukan Tuhan tetapi jiwa
yang sempurna. Manusia boleh membebaskan dirinya daripada kitaran samśara dengan memupuk iman dan mendapatkan rahmat Tuhan. Ini dipanggil sebagai Mukti.
Falsafah Madhvā telah berkembang di Orissa
dan Bengal Timur, India di kalangan pengikut Gauḍiya
Vaiṣṇava.
Satu cabang Gauḍiya Vaiṣṇava kini dikenali sebagai pertubuhan ISKCON.
Bhakti
Sri Madhva menerima Bhagavata Purana sebagai sumber utama ajarannya. Menurut Bhagavata Purana, Bhakti mempunyai sembilan aspek atau langkah iaitu: Sravanam, Kirtanam Visnor Smaranam Pada-Sevanam / Arcanam Vandanam Dasyam, Sakhyam Atma-Nivedanam //
Mendengar tentang keagungan Tuhan, nyanyian bersama kemuiiaan-Nya, memikirkan-Nya dengan mengulangi nama-Nya, memuja-Nya dengan berkhidmat kepada masyarakat, menyembah berhala-Nya, menyembah kewujudan-Nya dalam semua hidupan, menjadi hamba-Nya, menjalin keintiman dengan-Nya, berserah pada-Nya,
Menurut Sri Madhva, Bhakti bermaksud:
Mahatmya jnana purvas tu suaranah sarvato'dhikah /
snehah bhaktir iti proktah taya muktir na ca'nyatha //
Bhakti ialah aliran cinta yang tidak terputus kepada-Nya. Aliran ini bermula dengan pemahaman mendalam tentang keagungan-Nya, kekuasaan Entiti yang Bebas yang menjadi tunjang alam semesta. Cinta menjadi akar umbinya dan Tuhan menjadi perkara yang tidak ternilai.
Madhavācārya digantikan oleh beberapa orang pengikutnya yang hebat. Mereka memperkembangkan falsafah Dvaita Vedānta dan meneruskan tradisinya. Antara pengikut-pengikut ini ialah: Jayatīrtha (circa 1250 Masihi), Vyāsarāya (1478-1539 Masihi), dan Rāghavendratīrtha (1595-1671 Masihi).
Orang-orang alim Dāsakūṭa telah memperkayakan tradisi Bhakti untuk Tuhan sebagai Śri Kṛṣṇa (Nārāyaṇa atau Viṣṇu).
Satu aliran Gaudiya Vaishnava dari Orissa dan Bengal Barat mengikuti ajaran Madhavācārya. Salah seorang alim dari Bengal, Sri Krishna Chaitanya, yang dianggap sebagai jelmaan gabungan Sri Krishna dan Srimati Radha juga berasal daripada tradisi ini.
Gerakan ISKCON, sebuah cawangan Gaudiya Vaishnavisme, menganggap Madhavācārya sebagai seorang tokoh penting Brahma-Madhva-Gaudiya Sampradaya diasaskan oleh Sri Krishna. Falsafah dan sistem pemujaan yang diamalkan oleh Gerakan ISKCON ialah hampir sama dengan tradisi Madhavācārya.Kedua-duanya memuja Sri Krishna sebagai seorang Budak di Vrindavan.
Flood, Gavin (2003), The Blackwell Companion to Hinduism, Oxford: Blackwell Publishing, p. 251, ISBN 0-631-21535-2
Gonsalves, Sunil, Yakshagana, OurKarnataka.com, retrieved 14 December 2012
Goswami, S.D. (1976), Readings in Vedic Literature: The Tradition Speaks for Itself, S.l.: Assoc Publishing Group, pp. 240 pages, ISBN 0-912776-88-9
GuruRaghavendra.org, Shri Guru Raghavendra Brindavan Locator, GuruRaghavendra.org, retrieved 14 December 2012
New Zealand Hare Krishna Spiritual Resource Network, Padmanabha Tirtha, New Zealand Hare Krishna Spiritual Resource Network, retrieved 14 December 2012
Padmanabhachar, C.M., The Life and Teachings of Sri Madhvacharya, retrieved 28 July 2011
Sharma, Chandradhar (1994), A Critical Survey of Indian Philosophy, Delhi: Motilal Banarsidass, pp. 372–5, ISBN 81-208-0365-5
Tapasyananda (1991), Bhakti Schools of Vedanta, Madras (Chennai): Sri Ramakrishna Math, ISBN 81-7120-226-8
"Madhva" article in the Internet Encyclopedia of Philosophy
The Life And Teachings of Sri Madhvacharyar by C.M. Padmanabha Char - at archive.org
Philosophy of Sri Madhvacharya by Dr. B.N.K. Sharma - at archive.org
S. Srikanta Sastri - "Logical system of Madvacharya", published in Poona Oriental Series - No. 75, "A Volume of Studies in Indology", presented to Prof P. V. Kane on his 60th birthday.
Brahmasutra Bhasya of Sri Madhvacharya with Glosses in Sanskrit - at archive.org
Tattva-Sankhyan of Madhvacharya with the Tika of Jayatirtha (Sanskrit-English) - at archive.org