From Wikipedia, the free encyclopedia
Leftenan Jeneral Sir Lewis Macclesfield Heath, KBE, CB, CIE, DSO, MC (1885 - 1954) adalah seorang pegawai Tentera British yang berkhidmat di Semenanjung Tanah Melayu semasa Pertempuran Malaya dalam Perang Dunia II.
Jeneral Heath sebelum itu menempah nama sebagai Panglima Divisyen Ke-5 India yang telah berkhidmat cemerlang semasa Kempen Afrika Timur di Sudan. Pada 19 Januari 1941, Divisyen Ke-5 India yang dipimpin Heath telah mara masuk ke Eritrea menuju bandar Agordat. Divisyen Ke-5 India mara lebih 160 kilometer dan menembusi barisan pertahanan askar Itali dan menawan Agordat. Kejayaan Heath semasa kempen ini menonjolkan Heath di mata Pemerintah Tertinggi Tentera British khususnya Claude Auchinleck. Heath dipilih untuk mengetuai III Kor Tentera British India yang ditugaskan dengan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.
III Kor Tentera British India berada di bawah bidang kuasa Markas Gerakan Tanah Melayu yang dipimpin oleh Jeneral A. E. Percival. Tetapi Heath sering berlaga angin dan berselisih pendapat dengan A. E. Percival terutama sekali mengenai strategi perlaksanaan perang dan juga persiapan untuk menghadapi perang.
Heath tidak dapat menyekat kemaraan Tentera Jepun di Semenanjung Tanah Melayu. Barisan pertahanan Heath kucar kacir. Selepas kekalahan semasa Pertempuran Slim River Jeneral Wavell terus kehilangan keyakinan atas kebolehan Heath. Wavell membuat keputusan untuk meletakkan Jeneral Gordon Bennett bertanggungjawab mengatur pengunduran tentera British ke Singapura.
Jeneral Heath menjadi tawanan perang dan bersama-sama pegawai tinggi yang lain dihantar ke Formosa dan kemudiannya ke Manchuria. Beliau dibebaskan selepas tamat perang dan bersara dari perkhidmatan tentera dalam tahun 1946.
Selepas perang, Lewis Heath tidak henti-henti mencemuh Jeneral Percival dan menyalahkan Percival atas kekalahan British di Tanah Melayu dan Singapura. Heath tidak berpuas hati dengan Percival khususnya mengenai pelancaran Operasi Matador (Percival menunggu keputusan oleh Robert Brooke-Popham yang tidak boleh membuat keputusan kerana takutkan insiden diplomatik dengan Thailand sekiranya melancarkan Operasi Matador).
Percival beranggapan bahawa kepincangan Heath sebagai panglima adalah beliau mengalami “the Indian Army complex” (IWM, Percival Papers, P.22, F.42) dan pada masa lain Percival menyatakan Heath mengalami kompleks berundur (“withdrawal complex”). Kinvig dalam karangannya "General Percival and the Fall of Singapore," menggambarkan perlantikan Percival dan Heath sebagai antara perlantikan “tidak secocok yang paling besar”. Jeneral Gordon Bennett juga bencikan Heath dan berpendapat bahawa Percival “terlebih kagum” dengan Heath. (PRO, CAB106/151, Kirby interviews with Australian officers, Bennett interview, 30 January 1953)
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.