senjata kaum etnik Jawa From Wikipedia, the free encyclopedia
Lela[1]:II atau lila adalah jenis meriam Melayu yang digunakan secara meluas di rantau Nusantara. Ia mirip lantaka namun dibezakan melalui bentuk yang lebih panjang dan lubang peluru yang lebih besar.[2]:122 Lela boleh dikonfigurasi sebagai meriam pusing, meriam tetap, atau dipasang di pedati meriam (gun carriage). Meriam ini dilihat setara dengan rupa senjata falcon dan falconet yang didapati di Eropah.[3]:50
Nama meriam ini datang dari nama "Laila" (ليلى), tokoh perempuan utama kisah roman klasik Melayu berjudul Laila Majnun;[4]:93 nampaknya penerapan kata itu berasal dari nama yang diberikan kepada meriam tertentu, malah kebiasaan menamakan meriam khas tidaklah begitu asing di Eropah pada awal masa pembangunan meriam dan juga di Nusantara hingga sekarang.[5] Nama ini biasanya digabungkan dengan kata "rentaka" pada sastera Melayu, menjadi "lela rentaka".[2]:156, 177, 210-212
Ia juga dipanggil sebagai lilla oleh orang Belanda dan lelo di beberapa bahagian Nusantara.[6]
Biasanya lela adalah sekitar 100–180 cm panjang dan diperbuat daripada loyang atau gangsa.[2]:122[3] Mereka menembak peluru meriam bundar berbobot 1.13–1.36 kg dengan jarak melebihi 360 m.[3]:50–51 Selain itu mereka juga boleh dimuatkan dengan peluru sebar (grapeshot atau case shot).[7]:162 Meriam Melayu biasanya melancarkan bola batu yang terbuat dari batu-batuan di tepi sungai,[8]:31 dan lebih jarang lagi melemparkan bola logam dari besi atau loyang.[4]:97 Mereka menggunakan serpihan plumbum dan timah (disebut "dadu-dadu")[9]:209 dalam jarak dekat, dan untuk case shot, diperbuat daripada batu di dalam keranjang rotan.[4]:97 Lela memiliki kaliber lubang diantara 19 hingga 76.2 mm.[4]:95[9]:209 Sesetengah lela besar memiliki dua laras dan kadang kala satu atau lebih meriam kecil miniatur dicor di atas laras mereka untuk digunakan apabila musuh menyerang sebelum meriam bisa diisi semula. Lela rambang atau jala rambang adalah jenis lela, terbuat dari loyang, dengan moncong pemuras (melebar) yang menembakkan serpihan atau batu. Mereka juga dipanggil lela mulut katak.[4]:95[9]
Lela selalu memiliki tiub yang dicor di belakang, di mana pegangan kayu atau pengarah akan dipasang. Pengarah ini digunakan untuk membidik.[4]:93 Lela memiliki tenggekan pusing (disebut cagak, cangkak lela, atau rangking) dengan pasak di bawahnya supaya ia boleh dipasang di pinggir kapal atau tepi kubu.[10][4]:95 Untuk penggunaan darat mereka biasanya ditempatkan di sudut benteng atau perkubuan, sehingga mereka bisa melindungi secara bergantian dua dinding yang berbeza.[4]:95 Selalunya, mereka memiliki lumba-lumba (bahagian pemegang logam di atas untuk mengangkat meriam) tetapi mereka mungkin semata-mata hiasan, kerana mereka boleh diambil tanpa mengangkatnya dengan tali.[4]:93 Berbanding dengan falconet Eropah dengan sejarahnya sejak tahun 1500-an, lela lebih pendek dalam jarak dan lebih ringan dalam berat tetapi unggul dalam hiasan dan reka bentuk.[8]:11
Lela juga merujuk pada meriam Melayu bersaiz menengah hingga besar. Menurut Isabella L. Bird, lelah adalah meriam panjang dan berat yang diperbuat daripada loyang, digunakan untuk pertahanan benteng-benteng di mana dibelakangnya orang Melayu bertempur (apilan dan kota mara, atau pertahanan Melayu yang disebut kubu).[11]:32 Mereka bisa menembak sejauh 1000 yard (914 m), dan menembakan peluru 4 paun (1.8 kg).[9]:209[12]
Asal-usul senjata berasaskan ubat bedil di Nusantara dapat dikesan dari serangan Mongol ke Jawa pada tahun 1293. Askar Mongol-Cina membawa teknologi ubat bedil ke Jawa dalam bentuk meriam (Bahasa Cina: 炮—"Pào").[13]:1–2[14][15] Ini menghasilkan cetbang gaya Timur yang serupa dengan meriam China. Meriam berpusing bagaimanapun, hanya berkembang di Kepulauan Melayu kerana hubungan maritim Kepulauan Melayu yang erat dengan wilayah India Barat setelah 1460 Masihi, yang membawa senjata jenis mesiu baru ke Kepulauan Melayu, mungkin melalui perantara Arab.[16][17] Senjata ini sepertinya meriam dan bedil tradisi Uthmaniyyah, misalnya prangi, yang merupakan meriam pusing. Jenis cetbang baru, yang disebut cetbang gaya Barat, berasal dari prangi Turki. Sama seperti prangi, cetbang ini adalah meriam pusing pemuatan belakang yang diperbuat daripada gangsa atau besi, menembak peluru tunggal atau tembakan berselerak (sebilangan besar peluru kecil).[18]:94-95
Lela paling awal, seperti lantaka, adalah senjata yang diisi dari belakang.[19] Ini menunjukkan bahawa cetbang adalah pendahulu langsung lantaka. Michael Charney (2004) menunjukkan bahawa meriam pusing Melayu awal diisi dari bahagian belakang.[3]:50 Terdapat kecenderungan peralihan meriam ke jenis pengisian di depan dalam masa penjajahan.[20] Walau bagaimanapun, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 M, baik meriam pusing yang diisi dari belakang mahupun depan ditemukan dan dirampas oleh Portugis.[3]:50
De Barros berkata selepas kejatuhan Melaka, Albuquerque menangkap 3,000 daripada 8,000 kepingan artileri. Antaranya, 2,000 diperbuat daripada loyang dan selebihnya diperbuat daripada besi, dalam gaya meriam Berço (meriam pusing pengisian belakang) Portugis. Semua artileri memiliki pelengkap pedati yang tidak dapat ditandingi bahkan oleh Portugal.[21][22]:22, 247[23]:127-128 Afonso de Albuquerque membandingkan pengasas senjata api dan meriam Melaka sebagai berada pada tahap yang sama dengan Jerman. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah etnik pengasas senjata api di Melaka itu.[23]:128[24]:221[25]:4 Duarte Barbosa menyatakan bahawa pembuat arquebus Melaka adalah orang Jawa.[26]:69 Orang Jawa juga membuat meriam mereka sendiri di Melaka.[27] Anthony Reid berhujah bahawa orang Jawa mengendalikan banyak kerja produktif di Melaka sebelum 1511 dan pada abad ke-17 di Pattani.[26]:69
Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah menjelaskan beberapa fakta tentang keadaan senjata serbuk mesiu di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain sebelum kedatangan Portugis:[28]:97-98
Meriam yang ditemui di Melaka berasal dari berbagai jenis: esmeril (meriam pusing 1/4 sampai 1/2 paun,[29] mungkin merujuk pada cetbang atau lantaka), falconet (meriam pusing cor gangsa lebih besar dari esmeril, 1 sampai 2 paun[29]), saker bersaiz menengah (meriam panjang atau culverin diantara 6–10 paun),[30] dan bombard (meriam yang pendek, gemuk, dan berat).[3]:46 Orang Melayu juga memiliki 1 buah meriam besar yang cantik, dikirim oleh raja Calicut.[3]:47[22]:22
Perlu diperhatikan bahawa, walaupun memiliki banyak artileri dan senjata api, senjata kesultanan Melaka kebanyakannya dan terutamanya dibeli dari orang Jawa dan Gujarat, di mana orang Jawa dan Gujarat adalah juru senjata tersebut. Pada awal abad ke-16, sebelum kedatangan Portugis, orang Melayu merupakan bangsa yang kekurangan bedil. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa pada tahun 1509 mereka tidak memahami "mengapa peluru membunuh", yang menunjukkan mereka tidak biasa menggunakan senjata api dalam pertempuran, jika tidak dalam upacara.[25]:3 Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu:
Setelah datang ke Melaka, maka bertemu, ditembaknya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun hairan, terkejut mendengar bunyi meriam itu. Katanya, "Bunyi apa ini, seperti guruh ini?". Maka meriam itu pun datanglah mengenai orang Melaka, ada yang putus lehernya, ada yang putus tangannya, ada yang panggal pahanya. Maka bertambahlah hairannya orang Melaka melihat fi'il bedil itu. Katanya: "Apa namanya senjata yang bulat itu maka dengan tajamnya maka ia membunuh?" [31]:254-255
Buku Lendas da India oleh Gaspar Correia dan Asia Portuguesa oleh Manuel de Faria y Sousa mengesahkan cerita Sejarah Melayu. Kedua-duanya mencatat kisah serupa, walaupun tidak sehebat yang digambarkan dalam Sejarah Melayu.[32]:120–121[33]:43 Hikayat Hang Tuah mengisahkan ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Empayar Uthmaniyyah) untuk membeli bedil dan meriam-meriam besar selepas pertemuan pertama mereka dengan Portugis pada tahun 1509 Masihi, menunjukkan kekurangan senjata api dan senjata serbuk mesiu.[34]:205–248[catatan 1] Ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Turki Uthmaniyah) untuk membeli meriam jelas tidak pernah terjadi, kerana ia hanya disebutkan dalam kesusasteraan fiksyen Hikayat Hang Tuah, yang pada kenyataannya berdasarkan pengiriman rangkaian kedutaan Aceh ke Empayar Uthmaniyah pada abad ke-16.[35]
Pada 1600 M., meriam lela menjadi tidak asing lagi di Kepulauan Melayu. Beberapa pengecoran terkenal di wilayah tersebut adalah Terengganu di semenanjung Melayu, Gresik di Jawa, dan tanah Minangkabau di pedalaman Sumatra,[36] di Brunei dan Banjarmasin di Borneo, Sulu di Filipina Selatan, Makassar di Sulawesi, dan Aceh.[5]
Lela juga digunakan dalam rakit berbenteng suku Banjar yang disebut kotta mara. Kotta mara boleh digunakan sebagai baterai terapung atau sebagai kastil air. Kotta mara yang berbentuk persegi panjang boleh dilengkapi dengan 12 lela,[37]:45 manakala kotta mara dengan selekoh pojok boleh dilengkapi 16 lela.[38]:61
Lela dipasang pada apilan (perisai senjata) dari perahu perang dan perahu perompak Melayu. Sunting apilan adalah nama yang diberikan kepada dua lela atau meriam ringan yang berdiri di atas perisai senjata dari sebuah meriam berat.[39]
Leftenan T.J. Newbold mencatat tentang perahu perompak melayu:[40]
Perahu-perahu yang digunakan oleh perompak Melayu adalah seberat lapan hingga sepuluh ton, diawaki dengan baik dan sangat cepat, terutama dengan dayung pendek yang biasa digunakan. Mereka umumnya bersenjata dengan meriam pusing pada hadapan, tengah, dan buritan, berkaliber kecil, tetapi mempunyai jarak jangkau yang jauh. Apabila bersiap untuk menyerang, benteng kuat dari kayu yang disebut 'Apilan' didirikan, di belakangnya para kru berlindung, bertempur dengan meriam-meriam panjang mereka sampai mangsa mereka lumpuh; atau sampai gong membunyikan isyarat agar melakukan boarding (taktik merampas kapal musuh dengan naik ke atasnya).
— Journal of the Asiatic Society of Bengal, Volume 5
Brunei dikenali kerana pandai besinya di abad ke-19. Loyang (aloi tembaga dan zink), senantiasa menjadi logam pilihan kerana ia lebih murah dan lebih mudah dikerjakan, berbanding dengan besi atau aloi keras lain, iaitu gangsa. Walau bagaimanapun, gangsa (aloi tembaga dan timah) jauh lebih kuat dan kerananya lebih popular untuk digunakan dalam pembuatan senjata.[8]:17 Proses pembinaan yang digunakan adalah cire perdue menggunakan cetakan terakota dan lilin.[41]:237[8]:17
Orang-orang Bangsamoro kepulauan Filipina masih menggunakan rentaka dan lela hasil pengaruh teknologi Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo ke Filipina Selatan[19] sehinggakan ada bersenjatakan demikian semasa Perang Filipina-Amerika pada 1899–1902.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.