From Wikipedia, the free encyclopedia
Last Post adalah satu lagu yang digubah untuk dimainkan dengan begol (bugle) dan digunakan oleh angkatan tentera untuk memperingati mereka yang terkorban dalam perang.
Begol digunakan kerana bunyinya yang nyaring membolehkan ia didengar dari jarak jauh dan digunakan sebagai alat komunikasi (sebelum kemunculan radio). Boleh dibahaskan bahawa lagu Last Post adalah lagu yang paling dikenali ramai. Lagu ini digunakan untuk mengakhiri aktiviti harian, dan juga untuk memperingati mereka yang terkorban dalam perang sama ada di majlis pengkebumian ataupun di majlis-majlis peringatan. Last post digunakan oleh Britain dan negara-negara Komanwel. Di Norway, upacara yang sama menggunakan "Bønn" (Doa) sementara di Amerika Syarikat, lagu yang digunakan adalah Taps.
Last Post pada asalnya adalah satu lagu panggilan begol yang digunakan di kem-kem Tentera British untuk mengisyaratkan akhirnya aktiviti harian di kem tersebut. Nama lagu itu berasal daripada amalan memeriksa kesemua pos kawalan (sentry post) di sekeliling kawasan kem tersebut dan membunyikan tiupan begol di setiap pos kawalan. Lagu Last Post dimainkan apabila pegawai selesai memeriksa pos kawalan terakhir, dan menandakan keadaan selamat dan aktiviti harian boleh ditamatkan pada hari itu dengan selamatnya.
Amalan ini boleh dikesan seawal kurun ke-17 dan dimulakan oleh askar-askar Tentera British yang ditempatkan di Negeri Belanda, di mana ia mengikuti satu tradisiBelanda dipanggil Taptoe. (Taptoe sendiri berasal daripada keperluan mengisyaratkan saat bila mana tong memeram bir perlu ditutup, bagi menandakan berakhirnya kerja pada hari itu).
Dalam kurun ke-19, Last post dibawa ke seluruh pelosok Empayar British oleh Tentera British di mana lagu ini digunakan semasa upacara pengkebumian askar yang mati dan dimainkan sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal kepada askar tersebut menandakan bahawa tugas askar itu sudah berakhir dan jasadnya boleh bersemadi dengan aman.
Unit-unit dalam Tentera Darat Malaysia masih mengamalkan mainan lagu Last Post pada malam hari. Rakaman lagu Last Post boleh diperolehi dari laman web Tentera Darat Malaysia Diarkibkan 2006-02-23 di Wayback Machine Last Post juga dimainkan di majlis awam memperingati korban perang, seperti pada Hari Peringatan di negara-negara Komanwel. Di Australia dan New Zealand, last Post dimainkan pada hari ANZAC. Kanada juga menggunakan Last Post sebagai lagu memperingati korban perang dan sebagi penutup aktiviti harian.
Sejak tahun 1928, lagu last Post dimainkan pada setiap hari oleh pemain begol daripada Persatuan Last Post tempatan di bandar Ieper (Ypres) di Belgium. Lagu itu dimainkan di satu pintu gerbang dikenali sebagai Menin Gate untuk memperingati ribuan askar yang mati di medan tempur (Ypres) semasa Perang Dunia Pertama. Amalan ini dilakukan setiap hari, kecuali untuk tempoh 4 tahun dari 20 Mei 1940 hingga 6 September 1944, bila mana Belgium ditakluki Tentera Jerman semasa Perang Dunia II. Dalam tempoh berkenaan, penghormatan mainan Last Post untuk korban perang medan Ypres dilakukan di Tanah Perkuburan Brookwood di England.
Pada petang hari pembebasan bandar Ypres oleh askar-akar Poland, tradisi memainkan lagu last Post dimulakan semula di Menin Gates, walaupun pertempuran sengit masih berlaku di sekitar bandar tersebut. Pemain begol Menin Gates, Ieper terdiri daripada anggota pasukan bomba sukarelawan yang bernaung di bawah Persatuan Last Post Diarkibkan 2007-04-03 di Wayback Machine. Setiap hari pada jam 8.00 malam, trafik akan diberhentikan di pintu gerbang Menin dan 6 orang pemain begol akan memainkan lagu Last Post.
Last Post digunakan oleh Tentera British di Amerika Utara semasa zaman penjajahan koloni, tetapi dalam tahun 1862, lagu last post digantikan dengan lagu Taps.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Last Post |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.