Jajahan Kuala Krai
From Wikipedia, the free encyclopedia
From Wikipedia, the free encyclopedia
Kuala Krai merupakan salah satu daripada 11 jajahan pentadbiran negeri Kelantan, Malaysia. Ibu daerahnya ialah bandar Kuala Krai. Kuala Krai merupakan jajahan kedua terbesar di Kelantan selepas Gua Musang dengan keluasan 2,329 kilometer persegi. Terdapat tiga daerah utama dalam jajahan dengan pecahan kepada 15 mukim.
Kuala Krai | |
---|---|
Jajahan Kuala Krai | |
Transkripsi lain | |
• Tulisan Jawi | كوالا كراي |
• Tulisan Cina | 瓜拉吉赖县 |
Lokasi Daerah Kuala Krai di Malaysia | |
Koordinat: 5°30′N 102°10′E | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Kelantan |
Pusat | P031 Kuala Krai |
Kerajaan kawasan tempatan | Majlis Daerah Kuala Krai (bahagian utara) Majlis Daerah Dabong (bahagian selatan) |
Pentadbiran | |
• Ketua Jajahan | Zulkifle Abdul Rahman[1] |
Keluasan | |
• Jumlah | 2,329 km2 (899 batu persegi) |
Penduduk (2020)[3] | |
• Jumlah | 105,007 |
• Kepadatan | 45/km2 (120/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+8 (MST) |
• Musim panas (DST) | UTC+8 (Tidak dinilai) |
Poskod | 18xxx |
Kod panggilan | +6-09-9 |
Plat pendaftaran kenderaan | D |
Laman sesawang | ptjkk mdkkrai mddabong |
Pada tahun 1909, pihak British telah menubuhkan jajahan Ulu Kelantan yang merangkumi Gua Musang, Kuala Krai dan daerah Kuala Balah di Jeli. Kuala Krai telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran jajahan Ulu Kelantan. Pada 1 September 1977, Kuala Krai diisytiharkan secara rasmi sebagai sebuah jajahan penuh.[4]
Jajahan Kuala Krai terletak di bahagian tengah negeri Kelantan dan berkeluasan lebih 2,329 kilometer persegi. Jajahan Kuala Krai bersempadan dengan Gua Musang di selatan, Jeli di barat, Tanah Merah di barat laut, negeri Terengganu di timur dan Machang di utara.
Bentuk muka bumi jajahan Kuala Krai ialah berbukit bukau di sebelah timur, barat dan selatan manakala pamah di sebelah utara. Ketinggian tanah tinggi daripada aras laut kebanyakannya antara 153 meter - 305 meter. Titik tertinggi jajahan ini menjangkau lebih 915 meter iaitu di sempadan Jajahan Jeli. Dua sungai utama di jajahan Kuala Krai iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir bertemu di Sungai Kelantan di bandar Kuala Krai.[4]
Jajahan Kuala Krai ditadbir dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Kuala Krai di kawasan utara (dahulu dikenali sebagai Majlis Daerah Kuala Krai Utara) dan Majlis Daerah Dabong di kawasan selatan (dahulu dikenali sebagai Majlis Daerah Kuala Krai Selatan). Jajahan Kuala Krai juga dibahagikan kepada tiga daerah, 15 mukim dan 216 kampung.
Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1991 | 90,830 | — |
2000 | 91,771 | +1.0% |
2010 | 104,234 | +13.6% |
2020 | 105,007 | +0.7% |
Sumber: [5] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di Jajahan Kuala Krai ialah seramai 105,007 orang dengan kepadatan penduduk 45 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Majoriti penduduk di jajahan Kuala Krai berbangsa Melayu, seramai 96,523 orang.[6][7]
Di jajahan Kuala Krai, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 95 peratus diikuti agama Buddha sebanyak tiga peratus. Penganut Hindu pula mencatatkan hampir satu peratus dari jumlah penduduk. Agama Kristian dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[7]
Kuala Krai berkembang pesat setelah dibuka lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang pada Ogos 1983 yang merupakan laluan jalan raya ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Terdapat stesen keretapi yang menghubungkan Tumpat ke Gua Musang.
Terdapat pelbagai kemudahan yang dibina di seluruh jajahan Kuala Krai. Terdapat sebanyak 54 buah sekolah di jajahan ini;[8]
Jenis sekolah | Bilangan |
---|---|
Sekolah Kebangsaan | 39 |
Sekolah Jenis Kebangsaan | 2 |
Sekolah Menengah Kebangsaan | 10 |
Sekolah Menengah Agama | 2 |
Kolej Vokasional | 1 |
Antara jaringan jalan raya utama di jajahan Kuala Krai ialah Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang yang siap dibina pada tahun 2007. Antara stesen kereta api utama yang menghubungkan jajahan Kuala Krai dengan jajahan lain ialah Stesen Kuala Krai dan Stesen Dabong.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.