Jeneral Angkatan Darat atau Jeneral Besar (General of the Army singkatan GA) ialah jeneral lima bintang dan merupakan pangkat kedua paling tinggi dalam Tentera Darat Amerika Syarikat. Pangkat Jeneral Angkatan Darat berada diatas Jeneral dan setaraf dengan Laksamana Armada dan Jeneral Angkatan Udara.[1] Tidak terdapat pangkat setaraf lima bintang dalam perkhidmatan beruniform persekutuan yang lain (Kor Marin, Pengawal Pantai, Kor Bertauliah Perkhidmatan Kesihatan Awam Amerika Syarikat, Kor Bertauliah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan). Sering dipanggil "jeneral lima bintang", pangkat Jeneral Angkatan Darat telah dikhaskan untuk kegunaan masa perang dan kini tidak aktif dalam tentera AS. Insignia Jeneral Angkatan Darat mengandungi lima bintang berukuran 3/8 inci dalam susunan segilima , dengan setiap bucu bersentuhan. Insignia ini dipasangkan dengan Lambang Jata emas berenamel Amerika Syarikat pada papan bahu kot khidmat. Lencana logam lima bintang berwarna perak akan dipakai pada kolar dan pada topi garison (jenis lipat). Epaulet lembut bahu dengan lima bintang berukuran 7/16 inci dalam benang perak dan Lambang Jata Amerika Syarikat berbenang emas pada kain hijau dipakai dengan baju kemeja dan baju sejuk.
Jeneral Angkatan Darat General of the Army | ||
| ||
Negara | Amerika Syarikat | |
Cabang perkhidmatan | Tentera Darat A.S. | |
Singkatan | GA | |
Kumpulan pangkat | Pegawai jeneral | |
Pangkat | Lima bintang | |
Diperkenalkan | 25 Julai 1866 | |
Kod NATO | OF-10 | |
Pangkat tinggi seterusnya | General of the Armies | |
Pangkat rendah seterusnya | Jeneral | |
Persamaan pangkat tentera laut | Laksamana Armada (US Navy) | |
Persamaan pangkat tentera udara | Jeneral Angkatan Udara (US Air Force) | |
Pangkat "Jeneral Angkatan Darat" mempunyai dua penjelmaan. Pangkat ini telah diperkenalkan pada tahun 1866, setahun selepas Perang Saudara Amerika. Ia telah dikhaskan untuk pegawai kanan tunggal Tentera Darat A.S., yang merupakan pangkat empat bintang, dan telah disandang oleh tiga orang yang berlainan dari tahun 1866 hingga 1888. Pangkat ini dihidupkan kembali sebagai pangkat moden lima bintang semasa Perang Dunia II, dan boleh dianugerahkan pada lebih orang pegawai bertugas dalam satu-satu masa. Ia disandang oleh lima orang yang berlainan dari tahun 1944 hingga 1981. Satu pangkat khas dikenali General of the Armies, iaitu pangkat yang lebih atas dari General of the Army, wujud tetapi hanya dikurniakan sebanyak dua kali sahaja dalam sejarah Amerika Syarikat, pangkat empat bintang dengan bintang emas unik (bukan perak) kepada John J. Pershing, dan secara anumerta kepada George Washington, oleh pengisytiharan 177 tahun selepas kematiannya, dengan tanpa lencana bintang khas yang ditetapkan.[2][3]
Era pasca–Perang Saudara Amerika
Pada 25 Julai 1866, Kongres AS menzahirkan pangkat "General of the Army of the United States" untuk Jeneral Ulysses S. Grant. Gajinya adalah "400 dolar sebulan, serta elaun minyak dan tempat tinggal", kecuali "apabila markasnya di Washington, harus pada kadar 300 dolar sebulan."[4] (Gaji bulanannya disatukan dan elaun 700 dolar pada 1866 ialah menyamai $12,000 pada 2018). Apabila dilantik General of the Army, Grant memakai lencana pangkat empat bintang dan butang kot disusun dalam tiga kumpulan empat butang.
Tidak seperti pangkat Perang Dunia II dengan gelaran yang serupa, pangkat General of the Army tahun 1866 adalah empat bintang. Pangkat ini memegang hak dan kuasa mengikut cadangan 1799 bagi pangkat "General of the Armies", walaupun Grant tidak pernah dipanggil dengan gelaran itu.
Berbeza dengan pangkat moden Jeneral empat bintang, hanya seorang pegawai pada satu-satu masa boleh memegang pangkat General of the Army pada tahun 1866–1888. Selama beberapa bulan pada tahun 1885, semasa beliau sedang uzur, Grant telah mendapat penghargaan khas dan pangkatnya telah dikembalikan oleh undang-undang Kongres.
Selepas Grant menjadi presiden A.S., beliau telah digantikan sebagai General of the Army oleh William T. Sherman, berkuatkuasa 4 Mac 1869. Pada tahun 1872, Sherman mengarahkan insignia tersebut ditukar ke dua bintang, dengan lambang jata Amerika Syarikat di tengah-tengah.[2]
Dengan satu Akta Kongres pada 1 Jun 1888, gred ini telah dikurniakan pada Philip Sheridan, yang ketika itu sedang tenat. Pangkat General of the Army tidak lagi wujud dengan kematian Sheridan pada 5 Ogos 1888.[2]
Era Perang Dunia II dan Perang Korea
Apabila keperluan logistik dan kepimpinan tentera dalam Perang Dunia II meningkat selepas pendaratan Normandy pada Jun 1944, pihak kerajaan Amerika mencipta satu versi baru General of the Army. Pangkat lima bintang dan kuasa General of the Army yang setaraf Fleet Admiral tentera laut telah dizahirkan oleh satu Akta Kongres buat kadar sementara apabila Undang-Undang Awam 78-482 diluluskan pada 14 Disember 1944,[5] yang hanya menyediakan 75% gaji dan elaun untuk gred mereka yang telah bersara.[6] Pangkat ini adalah sementara, tertakluk pada pengembalian pangkat kekal enam bulan selepas berakhirnya perang. Pangkat sementara itu kemudiannya diisytiharkan tetap pada 23 Mac 1946 oleh Undang-Undang Awam 79-333, yang juga memberi gaji dan elaun penuh untuk gred mereka yang telah bersara.[7][8] Ia dicipta untuk memberikan panglima paling kanan Amerika persamaan pangkat dengan rakan British mereka yang memegang pangkat Fil Marsyal dan Laksamana Armada. Pangkat General of the Army yang kedua ini tidak sama dengan era versi pasca-Perang Saudara kerana peranannya dan berbintang lima.
Insignia bagi pangkat General of the Army 1944 mengandungi lima bintang dalam susunan segilima, dengan setiap bucu bersentuhan. Lima pegawai yang pernah memegang pangkat versi General of the Army 1944 dan tarikh setiap pelantikan adalah seperti berikut:
• | George Marshall | 16 Disember 1944 |
• | Douglas MacArthur | 18 Disember 1944 |
• | Dwight D. Eisenhower | 20 Disember 1944 |
• | Henry H. Arnold | 21 Disember 1944 |
• | Omar Bradley | 22 September 1950 |
Tempoh pertama empat pelantikan ini disejajarkan dengan lantikan pertama tiga Laksamana Armada lima bintang adalah seperti berikut:
• | William D. Leahy | 15 Disember 1944 |
• | Ernest King | 17 Disember 1944 |
• | Chester Nimitz | 19 Disember 1944 |
Ini adalah untuk mewujudkan turutan senioriti dikalangan jeneral dan kesetaraan antara perkhidmatan. Lantikan terakhir pangkat lima bintang tentera laut ialah William Halsey pada 11 Disember 1945.
Walaupun secara singkat dipertimbangkan,[9] pihak Tentera Darat A.S. tidak memperkenalkan pangkat Field Marshal. Di Amerika Syarikat, istilah "Marshal" secara tradisinya digunakan untuk pegawai penguatkuasa undang-undang awam, khususnya Marshal AS, serta bekas ketua polis negeri dan tempatan. Di samping itu, pemberian pangkat nama "marshal" akan menyebabkan George Marshall ditakrifkan sebagai "Field Marshal Marshall", yang dianggap kurang elok.[9][10][11][12]
Eisenhower melepaskan tauliah tenteranya pada 31 Mei 1952 untuk bertanding jawatan presiden AS. Selepas Eisenhower terpilih dan berkhidmat selama dua penggal, Presiden John F. Kennedy menandatangani Undang-Undang Awam 87-3 pada 22 Mac 1961,[13] yang meluluskan pelantikan semula Eisenhower "ke tugas aktif Tentera Darat Tetap mengikut gred lamanya, iaitu General of the Army dengan tarikh pangkat lama mengikut gred tersebut".[14][15] Pangkat itu pada hari ini diperingati pada papan tanda yang tertera Sistem Lebuhraya Antara Negeri sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Antara Negeri Eisenhower, yang memaparkan lima bintang perak dengan latar belakang warna biru muda.[16][17]
Arnold, seorang jeneral dalam Tentera Darat, adalah Panglima Angkatan Udara Tentera Darat (USAAF) semasa beliau dinaikkan pangkat General of the Army. Selepas Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) menjadi perkhidmatan yang berasingan pada 18 September 1947, pangkat Arnold turut dibawa ke Tentera Udara, sama seperti semua anggota USAAF, peralatan, dan lain-lain juga dibawa. Arnold merupakan yang pertama dan, setakat ini, satu-satunya Jeneral Angkatan Udara. Beliau juga merupakan satu-satunya orang yang pernah memegang pangkat lima bintang dalam dua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera AS.[18]
Pegawai-pegawai yang memegang pangkat General of the Army ini kekal menjadi pegawai Tentera Darat Amerika Syarikat seumur hidup, dengan gaji tahunan $20,000 dan elaun, bersamaan dengan $285,000 pada 2018. Mereka berhak mendapat sebuah pejabat yang diselenggara oleh pihak Tentera Darat berserta dengan seorang juruiring (berpangkat Kolonel), seorang setiausaha, dan seorang pembantu peribadi.[19]
Penggunaan moden
Tiada pegawai yang pernah dilantik ke pangkat Jeneral Angkatan Darat sejak Omar Bradley.[20] Pangkat Jeneral Angkatan Darat masih dipelihara sebagai pangkat tentera A.S., dan sekali lagi boleh dikurniakan, terutamanya semasa perang besar, bergantung pada kelulusan Senat Amerika Syarikat. Dasar ketenteraan Amerika Syarikat sejak penciptaan bintang kelima dalam Perang Dunia II boleh dikurniakan hanya apabila panglima tentera A.S. mesti setaraf atau berpangkat lebih tinggi daripada panglima tentera negara lain yang berada dibawah kawalannya.[21] Namun, Presiden, dengan kelulusan dari Senat, boleh mengurniakan bintang kelima pada bila-bila masa yang dianggap wajar.[22][23]
Walaupun Pengerusi Ketua-Ketua Turus Bersama (CJCS) yang pertama, Omar Bradley, akhirnya dikurniakan bintang kelima, kenaikkan pangkat tersebut tidak datang dengan jawatan itu; kenaikkan Bradley adalah langkah politik supaya beliau tidak direndahkan oleh orang bawahannya, Douglas MacArthur.[24][25]
Pada hujung tahun 1990an, terdapat cadangan dalam kalangan ahli akademik Jabatan Pertahanan untuk memberikan pangkat lima bintang pada jawatan Pengerusi Ketua-Ketua Turus Bersama.[26][27][28]
Selepas berakhirnya Perang Teluk, tetapi sebelum tempoh memegang jawatan sebagai Setiausaha Negara, terdapat cakap-cakap untuk memberi bintang kelima kepada Jeneral Colin Powell, yang telah berkhidmat sebagai CJCS semasa konflik itu. Walaupun menghadapi tekanan awam dan Kongres untuk berbuat demikian,[22][29] kakitangan pasukan peralihan presiden Clinton menentangnya atas alasan politik, takut kerana pengaruh bintang kelima akan membantu Powell jika beliau mahu bertanding jawatan presiden.[23][30][31] Satu usaha juga dibuat untuk menaikkan pangkat Jeneral Norman Schwarzkopf Jr. ke Jeneral Tentera Darat, namun ia tidak dilaksanakan.[32]
Seawal tahun 2000an, beberapa pengulas mencadangkan pemimpin tentera dalam Perang Global terhadap Pengganas dinaikkan ke pangkat lima bintang.[33] Pada Januari 2011, para pengasas kelompok sokongan politik Vets for Freedom menerbitkan satu siaran editor dalam Wall Street Journal menyeru Jeneral David Petraeus agar dikurniakan bintang kelima sebagai mengiktiraf kerja dan kepentingan misinya.[34] Sebelum itu, pada Julai 2010, D.B. Grady menulis satu artikel dalam The Atlantic menyokong kenaikkan pangkat yang sama.[35]
General of the Armies
Pangkat General of the Armies adalah senior kepada General of the Army, dan pangkat ini telah diberikan kepada dua orang pegawai sahaja dalam sejarah A.S. Pada tahun 1919, John J. Pershing telah dinaikkan pangkat ke General of the Armies kerana khidmat baktinya dalam Perang Dunia I. Pada tahun 1976, George Washington secara anumerta dinaikkan ke pangkat ini kerana khidmat baktinya sebagai Panglima Tentera Darat Amerika Syarikat yang pertama.[2][3] Pada tahun 1903, tarikh diundurkan ke 1899, George Dewey telah dinaikkan pangkat ke Admiral of the Navy, iaitu pangkat yang setaraf dengan General of the Armies.
Apabila pangkat lima bintang General of the Army diperkenalkan, diputuskan bahawa Jeneral Pershing, yang masih lagi hidup, akan menjadi pangkat tertinggi dari semua General of the Army yang baru dilantik. Setiausaha Perang Henry L. Stimson telah ditanya samada Pershing merupakan jeneral lima bintang (pada masa itu pangkat tertinggi adalah jeneral empat bintang). Stimson menyatakan:
Terdapat niat Tentera Darat untuk menjadikan gred General of the Armies senior kepada General of the Army. Saya telah menasihati Kongres bahawa Jabatan Perang telah menyetujui tindakan yang dicadangkan itu.
Seksyen 7 Undang-Undang Awam 78-482 berbunyi: "Nothing in this Act shall affect the provisions of the Act of September 3, 1919 (41 Stat. 283: 10 U.S.C. 671a), or any other law relating to the office of General of the Armies of the United States."[6]
George Washington telah dinaikkan pangkat ke General of the Armies selepas kematian pada 15 Mac 1978 oleh Setiausaha Tentera Darat Clifford Alexander. Berhubung dengan sambutan perayaan ulang tahun ke-200 Amerika, Kongres meluluskan undang-undang pada 19 Januari 1976 menggesa kenaikkan pangkat Washington dan Presiden Gerald Ford mengesahkannya pada Oktober 1976, tetapi para sejarawan mendapati bahawa tindakan Kongres dan Presiden tidak mencukupi, meminta pihak Tentera Darat harus mengeluarkan arahan untuk merasmikan kenaikkan ini. Mengikut Undang-Undang Awam 94-479, General of the Armies of the United States di zahirkan sebagai "pangkat dan keutamaan atas semua gred lain Tentera, dahulu atau sekarang", dengan jelas menjadikannya gred tertinggi dari General of the Army.[3] Oleh itu, Washington akan terus menjadi jeneral Amerika Syarikat yang paling kanan. Semasa hayatnya, Washington telah dilantik sebagai jeneral dalam Tentera Darat Kontinental sewaktu Perang Revolusi, dan sebagai leftenan jeneral tiga bintang dalam Tentera Darat Tetap semasa Perang Quasi dengan Perancis.
Pangkat setaraf
Pangkat Jeneral Angkatan Darat bersamaan dengan pangkat Jeneral Angkatan Udara USAF dan pangkat Laksamana Armada USN.[1]Perkhidmatan beruniform Amerika Syarikat yang lain seperti Kor Marin AS, Pengawal Pantai AS, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dan Kor Perkhidmatan Kesihatan Awam (PHSCC) tidak mempunyai pangkat yang setara.
Dalam angkatan tentera asing, pangkat setaraf biasanya adalah Marsyal atau Fil Marsyal. Dalam Tentera Darat British, Fil Marsyal adalah pangkat pegawai jeneral yang paling tinggi, tetapi ia kini hanyalah pangkat istiadat. Rusia pula menggunakan pangkat Marsyal Persekutuan Rusia.
Lihat juga
- Senioriti ketenteraan Amerika Syarikat
- Pegawai jeneral di Amerika Syarikat
- Lencana pangkat pegawai Tentera Darat Amerika Syarikat
- Senarai perbandingan pangkat tentera
- Senarai Fil Marsyal
- Pangkat enam bintang
- Pemerintah Bersekutu Tertinggi
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.