From Wikipedia, the free encyclopedia
Abū Ĥāmid al-Ghazālī, (1058-1111) (Parsi: ابو حامد محمد ابن محمد الغزالی ) yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta disepakati oleh para ulama' sebagai al-mujaddid untuk kurunnya.
Rencana ini mengandungi senarai rujukan, bacaan berkaitan atau pautan luar, tetapi sumbernya masih tidak jelas kerana kekurangan petikan dalam baris. (November 2018) |
Abu Hamid al-Ghazali |
---|
Nama penuhnya Muĥammad ibn Muĥammad ibn Muĥammad ibn Aĥmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazālī aţ-Ţūsī. Nama panggilannya (kunyah) pula Abū Ĥāmid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Ĥujjatul-Islām, Sirāj al-Mujtahidīn dan Zain al-'Ābidīn.
Abu Hamid al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorasan.
Keluarga Abū Ĥāmid al-Ghazālī kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazālah ke kota Ţūs untuk dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati. Dia suka bergaul dengan al-'ulamā' dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama, serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar uraian-uraian daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga şāliĥ. Doanya itu telah diperkenankan Allah.
Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muĥammad. Pada hari tuanya, Muĥammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang şāliĥ, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan aş-şāliĥīn di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Ayah Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meninggal dunia ketika Abū Ĥāmid al-Ghazālī berumur lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Aĥmad, telah hidup di bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutaşawwif.
Si ayah ada mewasiatkan sedikit wang dengan sahabatnya itu bagi membiayai kehidupan kedua-dua orang anaknya itu. Mereka pun mula belajar membaca dan menulis daripada sahabat ayah mereka itu. Tetapi, setelah beberapa waktu berlalu, wang belanja itu telah habis.
Maka pada suatu hari, berkatalah si sahabat ayah mereka itu kepada mereka:
Madrasah yang dimaksudkan itu ialah sebuah institusi pelajaran yang diberikan nama al-Madrasah an-Niżāmiyyah. Ia telah diasaskan oleh Niżām al-Mulk, perdana menteri kepada as-Sulţān Alp Arslān (yang berketurunan Seljuq). Al-Madrasah an-Niżāmiyyah juga turut membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya.
Niżām al-Mulk adalah seorang lelaki yang gemar kepada ilmu pengetahuan dan gemar pula bergaul dengan para cerdik pandai. Dia juga telah mendirikan beberapa madrasah, yang secara umumnya, dipanggil al-Madrasah an-Niżāmiyyah, di beberapa tempat lain di dalam empayar Kerajaan Banī al-‘Abbās (ad-Daulah al-‘Abbāsiyyah) ketika itu, seperti di Baghdād, al-Başrah, Mosul (Mauşil), Isfahan, Nīsyābūr, Merv, Balkh dan Herat.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī mengenai sebab dia dan adiknya pergi menuntut ilmu:
Maka berangkatlah dua orang adik-beradik itu ke Ţūs.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu fiqh daripada seorang 'ālim yang bernama Al-Syeikh Aĥmad ibn Muĥammad ar-Rādhakānī. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Aĥmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf.
Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke Jurjān (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgān dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Ţūs) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama Al-Syeikh Abū Naşr Ismā‘īl ibn Mas‘adah al-Ismā‘īlī.
Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu. Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat menyayangi nota-notanya itu.
Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini."
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, "Apa ini?"
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya."
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, "Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!"
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis."
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!"
Ketika berada di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah sempat bernikah, dan sepanjang hidupnya, telah dikurniakan oleh Allah dengan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Tetapi malangnya, anak lelakinya yang bernama Ĥāmid itu, telah mati ketika masih kecil lagi.
Pada tahun 473 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr dan telah berguru dengan seorang syeikh yang sangat terkenal di waktu itu, bernama Al-Syeikh Điyā’uddīn Abū al-Ma‘ālī 'Abdul Mālik ibn ‘Abdullāh al-Juwainī. Guru ini juga dikenali umum dengan nama Imām al-Ĥaramain kerana dia pernah mengajar di Masjid al-Ĥarām di Makkah dan di Masjid an-Nabawī di al-Madīnah al-Munawwarah.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah seorang penuntut yang pintar dan disayangi pula oleh Imām al-Ĥaramain. Pernah gurunya ini memuji al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī dengan mengatakan bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Ini menandakan betapa dalam dan luasnya ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Malah telah dikatakan juga oleh beberapa orang pengkaji bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī memiliki darjah kecerdasan yang sangat tinggi, di paras genius.
Di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr, tanda-tanda ketajaman otak al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang luar biasa itu telah mula kelihatan. Di pusat pengajian tinggi ini, dia telah belajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu bahasa seperti ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu kalam dan ilmu perdebatan. Semua ilmu-ilmu ini telah dikuasainya dengan mudah. Dan di sini jugalah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mula menulis kitab-kitabnya yang banyak itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang ‘ālim yang gemar mempelajari bermacam-macam jenis ilmu. Ini telah diceritakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī sendiri di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu tasawuf daripada al-Syeikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī aţ-Ţūsī (dilahirkan pada tahun 409 Hijrah di Fārmadh, yang terletak di dalam daerah Ţūs), seorang 'ālim dan faqīh, yang lebih terkenal di hari tuanya sebagai seorang guru sufi. Di bawah bimbingan gurunya ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mengamalkan beberapa latihan rohani, tetapi dia tidak sempat mencapai tahap kesempurnaan, kerana gurunya ini telah meninggal dunia pada tahun 477 Hijrah.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga ada bertemu dan belajar dengan beberapa orang guru sufi lain, dan salah seorang daripada mereka ialah al-Syeikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī. Dan di tangan guru sufi inilah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menerima beberapa pembukaan rohani tambahan, yang tidak sempat diterimanya semasa dia berguru dengan al-Syeikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī.
Sebenarnya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu dahulu dengan al-Syeikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī sebelum bertemu dengan al-Syeikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, dan setelah al-Syeikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī meninggal dunia, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu semula dengan al-Syeikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī untuk menerima ajaran-ajaran tambahan di dalam ilmu tasawuf.
Seperti keadaan al-Syeikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, al-Syeikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī pernah berguru dengan al-Syeikh Abū al-Ĥasan al-Kharqānī dan selepas itu dengan al-Syeikh Abū al-Qāsim 'Abdullāh ibn 'Alī al-Jurjānī pula. al-Syeikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī telah meninggal dunia pada tahun 487 Hijrah.
Beberapa waktu setelah Imām al-Ĥaramain meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah dijemput ke sebuah tempat bernama al-Mu‘askar untuk bertemu dengan Niżām al-Mulk.
Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang 'ālim yang besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā' dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama dengan Universiti Islam pada hari ini).
Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan gelaran Syeikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar, yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang 'ālim yang sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula ilmunya.
Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah menyebabkannya jatuh sakit.
Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya, seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab duniawi.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:
Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta adiknya, yakni al-Syeikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.
Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut al-Syeikh Naşr al-Maqdisī.)
Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak sekali dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal hingga ke hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja.
Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis di dalam bahasa Arab, dan ada juga yang telah ditulis di dalam bahasa Parsi. Di antara kitab-kitab al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang lebih terkenal di negara Malaysia ialah:
No | Kitab | Terjemahan Bahasa Melayu | Catatan |
---|---|---|---|
1 | Ihya Ulumuddin | Ihya Ulumuddin (Penerbit Nasional, Penerbit Ilmi), Menghidupkan Ilmu Agama (IBDE) | Magnus Opus Imam Ghazali |
2 | Minhāj al-‘Ābidīn | Minhajul Abidin Wasiat Imam Ghazali (Victoria Agency) | |
3 | Bidayat al-Hidayah | Bidayat al-Hidayah (Pustaka Al Ehsan), Bidayat al-Hidayah, Permulaan Jalan Hidayah (Khazanah Banjaria), Bidayatul Hidayah ,Jalan Menuju Petunjuk (Telaga Biru) | |
4 | Al-Munqidh min al-Dalal | Penyelamat Daripada Kesesatan (IBDE) | |
5 | Nasihat Al Muluk | Nasihat Al Muluk (DBP), Nasihat Buat Pemerintah (Biblio Press) | Kitab Menasihati Pemerintah (Ketatanegaraan). Ditulis di dalam bahasa Parsi. |
6 | Al-Mustashfa fi 'Ilm al-Ushul | AL-Mustashfa Rujukan Ilmu Ushul Fikih (Pustaka Al-Kautsar, Indonesia) | Kitab Usul Fiqh |
7 | Mukasyafah Al-Qulub | Penenang Jiwa: Pengubatan & Rawatan (Penerbitan Seribu Dinar) | |
8 | Misykāh al-Anwār | Ceruk Nur, Misykah Anuar (Jaha Bersa) | |
9 | ar-Risālah al-Ladunniyyah | Ilmu Terus Daripada Allah, ar-Risālah al-Ladunniyyah (Jaha Bersa) | |
10 | Kīmiyā' as-Sa'ādah | Ramuan Kebahagiaan (IBDE) | |
11 | Mīzān al-'Amal | ||
12 | Al-Hikmah fi Makhluqat Allah | Rahsia Dan Hikmah Kejadian Alam Dan Penciptaan Manusia (Victoria Agency) | Ilmu (sains) kejadian dan kewujudan alam, hikmah mahkluk dan ciptaan Allah dan kesinambungan dengan akidah Islam. |
13 | Ayyuhal Walad | Ayyuhal Walad (Khazanah Banjariah), Duhai Anak (Biblio Press) | Nasihat kepada anak dan orang muda |
14 | Al-Arbain Fi Usul Ad-Din | Al-Arbain Fi Usul Ad-Din : 40 Prinsip Agama Penyucian Rohani Untuk Meraih Akhlak Terpuji (Al Hidayah) | 40 usul kepada asas agama, 10 asas akidah, 10 asas Ibadat, 10 asas sifat mazmumah (terkeji), 10 sfat asas mahmudah (terpuji) |
15 | Faysal al-Taqrifah baina al-Islam wa al-Zandaqah | Ciri Pemisah antara Islam dan Zindiq (IBDE), Islam, Kafir dan Ateis (Pustaka Al-Muqsith, Indonesia) | |
16 | Maqasid al Falasifa | Pengantar Falsafah: Memahami Gagasan Pokok Para Filsuf dari Aristoteles hingga Ibnu Sina (Turos, Indonesia) | Menguraikan wacana filsafat yang terangkum ke dalam tiga disiplin utama: logika, fisika, dan metafisika. |
17 | Tahafut al-Falasifa | ||
18 | Al-Durrah al-Fakhirah fi Kashf 'Ulum al-Akhirah | Mutiara Ilmu Akhirat, Al-Durrah al-Fakhirah fi Kashf 'Ulum al-Akhirah (Biblio Press) | |
19 | Al-Iqtisad fi'l-I'tiqad | Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad (IBDE) | |
20 | Al-Qistas al-Mustaqim fi Taqwim Ahl al-Ta'lim | Timbangan yang adil pada meluruskan (Nizamiyyah Publications & Distributors) |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.