universiti di Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Jawi: اونيۏرسيتي إسلام انتارابڠسا مليسيا; bahasa Inggeris: International Islamic University Malaysia ; Arab: الجامعة الإسلامية العالمية بماليزيا ), juga dikenali sebagai UIAM, ialah sebuah universiti awam di Malaysia. Beribu pejabat di Gombak, Selangor, UIAM mempunyai empat kampus lain di seluruh Malaysia: kampus perubatan di Bandar Indera Mahkota, Pahang, kampus Pusat Asasi di Gambang, Pahang, kampus ISTAC di Kuala Lumpur, dan kampus pelancongan mampan dan bahasa kontemporari di Pagoh, Johor.
Moto | Taman Ilmu dan Budi The Garden of Knowledge and Virtue (Inggeris) |
---|---|
Jenis | Universiti awam |
Ditubuhkan pada | 20 Mei 1983[1] |
Penggabungan | ASAIHL,[2] ACU,[3] AUAP,[4] FUIW[5] |
Pembiayaan | RM400 juta (2018) |
Canselor | Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah |
Presiden | Samsudin Osman |
Rektor | Dzulkifli Abdul Razak |
Staf akademik | 1,904 (2019) |
Pelajar | 26,266 (2019) |
Lokasi | , , |
Kampus |
|
Warna | Firus dan Emas |
Nama samaran | Mustangs |
Laman sesawang | www |
Universiti ini ditaja oleh lapan negara dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Ia berbeza daripada Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pakistan dan Universiti Islam Antarabangsa Chittagong, Bangladesh.
Universiti ini ditubuhkan pada 20 Mei 1983 berdasarkan prinsip agama Islam.[1] Nilai-nilai Islam diterapkan dalam semua disiplin ilmu. UIAM menawarkan kursus ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran di 14 kuliah (fakulti).
Sejak 1987, UIAM telah melahirkan lebih 70,000 graduan dan prasiswazah dari lebih 100 negara di seluruh dunia. Kebanyakan daripada mereka berasal dari Malaysia. [6]
Perdana menteri Mahathir Mohamad [7][8] menggagas idea untuk sebuah institusi pendidikan Islam antarabangsa pada tahun 1982 semasa pertemuan antara pemimpin OIC mengenai peng-Islaman ilmu. Idea itu dikongsi bersama menteri pendidikan ketika itu, Sulaiman Daud; ketua pengarah pendidikan ketika itu, Murad Mohamed Nor; dan dua lagi. Mohamed Kamal Hassan, ketika itu dari Universiti Kebangsaan Malaysia, bersama pegawai kanan akademik yang menghadiri mesyuarat itu, menghasilkan kertas kerja pertama mengenai konsep universiti tersebut.
Ismail al-Faruqi, seorang cendekiawan terkemuka, memainkan peranan penting dalam gerakan ini. Beliau menasihati pemimpin politik di dunia Muslim, termasuk Muhammad Zia-ul-Haq di Pakistan dan Mahathir Mohamad. Semasa pentadbiran Zia-ul-Haq, al-Faruqi menyumbang kepada penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad pada tahun 1980, yang bertujuan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dengan disiplin akademik kontemporari. Di Malaysia, peranan penasihat al-Faruqi sangat penting dalam penubuhan universiti pada tahun 1983. Institusi-institusi ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk membangunkan sistem pendidikan yang menggabungkan pengetahuan agama dan sekular, memupuk perkembangan intelektual dan budaya di dunia Muslim.[9]
UIAM pernah menjadi universiti swasta. Memandangkan bahasa pengantar universiti bukan bahasa Melayu tetapi sebaliknya bahasa Inggeris dan bahasa Arab (sesuatu yang pada mulanya dilarang oleh undang-undang Malaysia), UIAM diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965. Walau bagaimanapun, UIAM secara rasminya telah dijadikan universiti awam pada 20 Mei 1983, oleh Seksyen 5A (2) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, apabila universiti itu menerima perintah penubuhannya daripada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, selepas pertukaran nota diplomatik penajaan bersama antara kerajaan Malaysia, tujuh kerajaan lain serta OIC. [10]
Sekumpulan 153 pelajar dari Malaysia dan luar negara telah mendaftar untuk sesi akademik pertama, yang bermula pada 8 Julai 1983. Kursus telah dijalankan di bawah Fakulti Ekonomi, Fakulti Undang-undang, Pusat Pengetahuan Asas, dan Pusat Bahasa. Ahli kumpulan pertama ini menerima ijazah dan diploma semasa konvokesyen pertama yang diadakan pada 10 Oktober 1987. 68 graduan telah dianugerahkan ijazah Sarjana Muda Ekonomi, 56 graduan lain menerima ijazah Sarjana Muda Undang-undang, dan 29 kadi dianugerahkan Diploma dalam Undang-undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam.
Sebagai sebuah universiti awam, UIAM mempunyai ketua perlembagaan yang mempengerusikan konvokesyen dan menjadi tempat rujukan untuk semua isu perlembagaan. Setaraf dengan canselor di universiti awam lain, mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor kerajaan persekutuan untuk tempoh tujuh tahun.
Sultan Ahmad Shah ialah ketua perlembagaan pengasas sejak 1 Julai 1983. Sebelum kemangkatan Baginda, Baginda digantikan oleh menantunya yang juga merupakan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda dilantik sebagai ketua perlembagaan pada 12 April 2019 untuk tempoh lima tahun, menamatkan jawatan canselori bapa mertuanya di UIAM selama 36 tahun, namun surat cara pelantikan hanya diserahkan kepadanya oleh kerajaan persekutuan pada 17 Jun 2019.[11]
Sebagai badan berkanun persekutuan, UIAM beroperasi di bawah pengawasan lembaga pengelola, sebuah badan yang mengarah dan menyelia semua hal ehwal universiti. Lembaga itu dipengerusikan oleh seorang presiden yang dilantik oleh ketua perlembagaan atas nasihat kerajaan persekutuan untuk tempoh lima tahun. Mengikut tradisi, ketua setiausaha Kementerian Pendidikan ialah timbalan pengerusi lembaga. Selain presiden dan timbalan pengerusi, lembaga itu terdiri daripada 15 ahli, termasuk setiausaha agung OIC dan ketua diplomatik negara anggota, iaitu Bangladesh, Mesir, Libya, Maldives, Pakistan, Arab Saudi dan Turki. Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia, menduduki jawatan presiden kesembilan sejak 1 Julai 2022. [12]
Lembaga pengelola dibantu oleh senat, badan yang menyediakan hal ehwal akademik dan pelajar universiti, dan jawatankuasa pengurusan yang menyelia operasi harian universiti. Kedua-dua Senat dan jawatankuasa pengurusan dipengerusikan oleh seorang rektor yang dilantik oleh ketua perlembagaan atas nasihat kerajaan persekutuan untuk tempoh tiga tahun.
# | Nama | Penggal bermula | Akhir penggal |
---|---|---|---|
Ketua Perlembagaan | |||
1 | Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah | 1 Julai 1983 | 11 April 2019 |
2 | Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah | 12 April 2019 [11] | Kini |
Presiden | |||
1 | Hussein Onn | 1983 | 1987 |
2 | Dato' Seri Anwar Ibrahim | 1988 | 1998 |
3 | Dato' Sri Najib Razak | 1998 | 1999 |
4 | Tan Sri Sanusi Junid | Februari 2000 | 1 Jun 2008 |
5 | Tan Sri Mohd Sidek Hassan | 2 Jun 2008 | 1 Jun 2013 |
6 | Tan Sri Rais Yatim | 2 Jun 2013 | 1 Jun 2018 |
7 | Prof. Dr. Maszlee Malik | 5 September 2018 | 9 November 2018 [13] |
8 | Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar | 1 Julai 2019 | 30 Jun 2022 |
9 | Tan Sri Samsudin Osman | 1 Julai 2022 | Kini |
Rektor | |||
1 | Prof. Tan Sri Dr. Muhammad M. Abdul Rauf | 1984 | 1989 |
2 | Prof. Emeritus Dato' Indera Dr. Abdul Hamid AbuSulayman | 1989 | 1998 |
3 | Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan | 5 April 1998 | 31 Mei 2006 |
4 | Prof. Dato' Wira Dr. Syed Arabi Idid | 1 Jun 2006 | 1 Jun 2011 |
5 | Prof. Dato' Sri Dr. Zaleha Kamarudin | 2 Ogos 2011 | 31 Julai 2018 |
6 | Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak | 1 Ogos 2018 | Kini |
Setakat Ogos 2022[kemas kini], lembaga pengelola UIAM terdiri daripada:
Setakat Ogos 2022[kemas kini], jawatankuasa pengurusan UIAM terdiri daripada:
UIAM beribu pejabat di kawasan kampus seluas 700 ekar (2.8 km²) di Gombak, Selangor dan mempunyai empat kampus lain. Dua kampus terletak di Kuantan, Pahang—Pusat Asasi di Gambang, dan kampus perubatan di Bandar Indera Mahkota. Dua lagi kampus terletak di Bandar Universiti Pagoh, Johor bagi Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, dan Kuala Lumpur bagi Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa.
UIAM mempunyai 14 kuliah berikut:
Terdapat juga pusat akademik lain yang tidak setara dengan tahap kuliah namun menawarkan kursus pra-universiti, prasiswazah dan pascasiswazah:
UIAM mempunyai perkhidmatan dalam talian, seperti i-Ma'luum, di mana pelajar UIAM boleh menyemak dan menyusun jadual dan maklumat peribadi mereka dalam pangkalan data dalam talian berpusat. UIAM mempunyai portal e-pembelajaran dan komuniti dalam talian (dipanggil i-Ta'leem), di mana pelajar boleh mengatur dan menyelaraskan jadual, pengumuman dan aktiviti mereka.
UIAM mempunyai enam perpustakaan. Perpustakaan utama, Perpustakaan Dar al-Hikmah, terletak di Kampus Gombak bersama dengan Perpustakaan Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM, dan perpustakaan satelit terletak di Kampus Kuantan, Pusat Asasi di Gambang, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan di Pagoh, dan Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Kuala Lumpur.
Pusat Kebudayaan UIAM (ICC, dahulunya Pusat Kegiatan Kebudayaan) ialah pusat terbesar universiti, digunakan sebagai tempat untuk upacara konvokesyen tahunan. ICC juga boleh ditukar kepada tempat peperiksaan. Persembahan kebudayaan, ceramah dan seminar telah diadakan di pusat itu.
Kompleks Azman Hashim ialah dewan serbaguna dan pusat komersial bernilai RM7 juta yang memenuhi keperluan pelajar UIAM. Ia juga merupakan sumber pendapatan untuk Dana Wakaf UIAM.
UIAM mempunyai empat kompleks sukan. Dua kompleks sukan dibina secara berasingan untuk pelajar lelaki dan perempuan di Kampus Gombak. Dua lagi kompleks sukan terletak di Kampus Kuantan dan Pusat Asasi di Gambang.
Kolej kediaman pelajar di UIAM dikenali sebagai "Mahallah" yang dipetik daripada bahasa Arab. Kolej kediaman UIAM serba lengkap bukan sahaja dengan perkhidmatan tetapi juga aktiviti, dan dinamakan sempena nama para sahabat Nabi, mujahidah dan syuhada wanita. Sejak awal penubuhannya, UIAM telah mengamalkan penginapan penuh untuk pelajar sarjana sepenuh masanya. Bagi pelajar pascasiswazah, penginapan disediakan berdasarkan ketersediaan bilik. Keutamaan diberikan kepada pelajar bukan warganegara Malaysia terutamanya pelajar dari pengambilan terbaru.
Sejak 2016, UIAM mempunyai hospital pengajar yang dinamakan "Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @ UIAM" (SASMEC@IIUM) di Kuantan. Selain hospital pengajar, UIAM mempunyai beberapa klinik dan pusat perubatan pakar yang juga terletak di Kuantan, serta Klinik Sejahtera UIAM di kampus Gombak dan Gambang, selain Poliklinik Sejahtera di Pagoh.
UIAM dilengkapi kemudahan tempat beribadat Islam seperti masjid dan musala (surau) di serata kampus-kampusnya. Hampir setiap bangunan dilengkapi musala, dan
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS Mosque) terletak di tengah-tengah Kampus Gombak. Ruang solat utama masjid ini mempunyai kapasiti maksimum 9000 orang, dengan ruang solat wanita di tingkat kedua dan ketiga. Masjid ini menganjurkan kuliah, seminar dan kelas konsep seperti pengurusan perkahwinan dan jenazah, tilawah dan tahfiz Al-Qur'an, serta aktiviti seperti qiamullail dan tarbiah serta latihan kepada pelajar.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah turut dibina di kampus Kuantan di hadapan kampus berhampiran SASMEC@IIUM.
Masjid Pusat Asasi UIAM dibuka pada Jun 2019.[14] Walaupun lebih kecil berbanding masjid-masjid di kampus UIAM yang lain, ia turut berfungsi sebagai masjid utama untuk penduduk di sekitar kawasan tersebut, umumnya bagi kolej-kolej berhampiran bagi ibadah utama seperti solat fardu Jumaat dan sebagainya.
Kampus Kuala Lumpur juga dilengkapi sebuah masjid yang dinamakan sempena ibu kepada Tan Sri Azman Hashim. Masjid Zabedah merupakan masjid terkecil di antara keempat-empat masjid di kampus-kampus UIAM, dengan kapasiti 250 jemaah sahaja.[15]
Kampus Pagoh UIAM merupakan satu-satunya kampus yang tidak mempunyai masjidnya tersendiri, dan sebaliknya sebuah musala (surau.)
Alumni termasuk:
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.