sejenis senjata api kaum etnik Jawa yang berasal daripada Jawa From Wikipedia, the free encyclopedia
Rentaka [rĕn.ta.ka][1] atau lantaka ialah sejenis meriam pusing gangsa mudah alih yang dipasang pada kapal dagang dan kapal perang di Asia Tenggara maritim. Ia biasanya dipasang pada kapal pelayar tempatan dari Filipina, Indonesia dan Malaysia. Senjata ini biasanya digunakan untuk mempertahan diri daripada lanun yang sering menuntut ufti dan pengiktirafan kepada kepala daerah atau kerajaan.
Rentaka dan lela dikenal rangkum oleh orang Melayu sebagai meriam kecil,[2][3] namun rentaka lebih pendek dan lebih kecil kalibernya daripada lela.[4]:122–123
Nama ini mungkin berasal daripada perkataan bahasa Melayu lantak, yang bermaksud "memalu" atau "menabrak" (hammering down, ramming down),[5] "memukul kuat-kuat"[6][7] supaya "keras atau pepejal"[7] merujuk kepada proses pemuatan peluru (muzzle loading, isian depan) menggunakan batang khas untuk mengisi peluru dari muncung—batang besi ini dipanggil pelantak.[5] Nama ini juga ada kaitan dengan perkataan "rentak" bermaksud "hentaman" atau hentakan kaki[8][9]:I "kerana marah"[8] atau secara "bersama-sama".[7]
Rentaka ialah senjata "adik" dari lela dengan badan lebih kecil serta panjang diukur kurang dari 100 sentimeter.[4]:122–123 Lazimnya diameter lubang meriam dibuat dalam julat antara 10–50 mm.[10] Banyak daripada meriam ini dipasang pada sambungan khusus bernama "cagak"[11] yang boleh dipusingkan—lalu ia turut dikenali sebagai "meriam pusing".
Rentaka yang kecil boleh dipasang di mana-mana termasuk pada tiang layar. Meriam yang lebih sederhana besar biasanya digunakan pada susuran tepi kapal yang diperkukuh (sebagai "meriam susuran"). Meriam tenggekan yang terberat dipasang pada pedati meriam bagi menjadikan ia lebih mudah alih.
Asal-usul senjata berasaskan ubat bedil di nusantara dapat dikesan dari akhir abad ke-13. Serangan Mongol ke Jawa (1293) membawa teknologi ubat bedil ke Jawa dalam bentuk meriam (Bahasa Cina: 炮—"Pào").[12]:1–2[13][14] Ini menghasilkan cetbang gaya Timur yang serupa dengan meriam China. Meriam berpusing bagaimanapun, hanya berkembang di Nusantara kerana hubungan maritim kepulauan Nusantara yang erat dengan wilayah India Barat setelah 1460 Masihi, yang membawa senjata jenis mesiu baru ke Nusantara, mungkin melalui perantara Arab. Senjata ini sepertinya meriam dan bedil tradisi Uthmaniyyah, misalnya prangi, yang merupakan meriam pusing. Jenis cetbang baru, yang disebut cetbang gaya Barat, berasal dari prangi Turki. Sama seperti prangi, cetbang ini adalah meriam pusing pemuatan belakang yang diperbuat daripada gangsa atau besi, menembak peluru tunggal atau tembakan berselerak (sebilangan besar peluru kecil).[15]:94-95
Ketika portugis pertama kali datang ke Melaka mereka melihat koloni besar pedagang Jawa di bawah ketua sendiri; orang Jawa telah memproduksi meriam mereka sendiri, yang kemudian, dan untuk waktu yang lama setelah itu, sama pentingnya untuk kapal dagang seperti layar.[16]
Kebanyakan lantaka diperbuat daripada gangsa dan yang terawal diisi dari belakang (breech-loaded). Michael Charney (2004) menunjukkan bahawa meriam putar Melayu awal diisi dari bahagian belakang.[17]:50 Terdapat kecenderungan peralihan meriam ke jenis pengisian di depan dalam masa penjajahan.[18] Walau bagaimanapun, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 M, baik meriam pusing yang diisi dari belakang mahupun depan ditemukan dan dirampas oleh Portugis.[17]:50
De Barros berkata selepas kejatuhan Melaka, Afonso de Albuquerque menangkap 3,000 daripada 8,000 kepingan artileri. Antaranya, 2,000 diperbuat daripada loyang dan selebihnya diperbuat daripada besi, dalam gaya meriam Berço (meriam pusing pengisian belakang) Portugis. Semua artileri memiliki pelengkap pedati yang tidak dapat ditandingi bahkan oleh Portugal.[19][20]:22, 247[21]:62-64 Afonso de Albuquerque membandingkan pengasas senjata api dan meriam Melaka sebagai berada pada tahap yang sama dengan Jerman. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah etnik pengasas senjata api di Melaka itu.[21]:128[22]:221[23]:4 Duarte Barbosa menyatakan bahawa pembuat arquebus Melaka adalah orang Jawa.[24]:69 Orang Jawa juga membuat meriam mereka sendiri di Melaka.[16] Anthony Reid berhujah bahawa orang Jawa mengendalikan banyak kerja produktif di Melaka sebelum 1511 dan pada abad ke-17 di Pattani.[24]:69
Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah menjelaskan beberapa fakta tentang keadaan senjata serbuk mesiu di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain sebelum kedatangan Portugis:[25]:97-98
Meriam yang ditemui di Melaka berasal dari berbagai jenis: esmeril (meriam pusing 1/4 sampai 1/2 paun,[26] mungkin merujuk pada cetbang atau lantaka), falconet (meriam pusing cor gangsa lebih besar dari esmeril, 1 sampai 2 paun,[26] mungkin merujuk pada lela), saker bersaiz menengah (meriam panjang atau culverin antara 6–10 paun),[27] dan bombard (meriam yang pendek, gemuk, dan berat).[17]:46 Orang Melayu juga memiliki 1 buah meriam besar yang cantik, dikirim oleh raja Calicut.[17]:47[20]:22
Perlu diperhatikan bahawa, walaupun memiliki banyak artileri dan senjata api, senjata kesultanan Melaka kebanyakannya dan terutamanya dibeli dari orang Jawa dan Gujarat, di mana orang Jawa dan Gujarat adalah juru senjata tersebut. Pada awal abad ke-16, sebelum kedatangan Portugis, orang Melayu merupakan bangsa yang kekurangan bedil. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa pada tahun 1509 mereka tidak memahami "mengapa peluru membunuh", yang menunjukkan mereka tidak biasa menggunakan senjata api dalam pertempuran, jika tidak dalam upacara.[23]:3 Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu:
Setelah datang ke Melaka, maka bertemu, ditembaknya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun hairan, terkejut mendengar bunyi meriam itu. Katanya, "Bunyi apa ini, seperti guruh ini?". Maka meriam itu pun datanglah mengenai orang Melaka, ada yang putus lehernya, ada yang putus tangannya, ada yang panggal pahanya. Maka bertambahlah hairannya orang Melaka melihat fi'il bedil itu. Katanya: "Apa namanya senjata yang bulat itu maka dengan tajamnya maka ia membunuh?" [28]:254-255
Buku Lendas da India oleh Gaspar Correia dan Asia Portuguesa oleh Manuel de Faria y Sousa mengesahkan cerita Sejarah Melayu. Kedua-duanya mencatat kisah serupa, walaupun tidak sehebat yang digambarkan dalam Sejarah Melayu.[29]:120–121[30]:43 Hikayat Hang Tuah mengisahkan ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Empayar Uthmaniyyah) untuk membeli bedil dan meriam-meriam besar selepas pertemuan pertama mereka dengan Portugis pada tahun 1509 Masihi, menunjukkan kekurangan senjata api dan senjata serbuk mesiu.[31]:205–248[catatan 1] Ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Turki Uthmaniyah) untuk membeli meriam jelas tidak pernah terjadi, kerana ia hanya disebutkan dalam kesusasteraan fiksyen Hikayat Hang Tuah, yang pada kenyataannya berdasarkan pengiriman rangkaian kedutaan Aceh ke Empayar Uthmaniyah pada abad ke-16.[32]
Pada 1840-an, Kerajaan England mula menghentikan kegiatan pemburuan kepala dan pelanunan di jajahan-jajahannya. James Brooke, Raja Putih Sarawak mengedarkan beberapa meriam tangan buatan Brunei kepada ketua-ketua tempatan bagi memastikan kerjasama dan kesetiaan kepadanya.
Rentaka juga digunakan oleh tentera Moro dalam Pemberontakan Moro menentang tentera U.S. di Filipina.[33] Suatu model seumpama ia turut digunakan semasa Revolusi Filipina oleh pihak pemberontak disalin daripada model Eropah dan dituang dari loceng gereja. Salah seorang pembuatnya ialah seorang Cina Filipina yang bernama Jose Ignacio Pawa, yang juga merupakan seorang pandai besi.
Kini, rentaka boleh didapati dikebanyakan kepulauan di Pinggir Pasifik, tetapi ia biasanya didapati di kawasan Muslim di Indonesia dan Malaysia. Koleksi terbesar terdapat di Brunei di mana ia kini diharamkan eksport. Malah di negara lain, permit eksport muzium biasanya diperlukan.
Meriam ini amat digemari dan dicari oleh pengumpul, dengan sesetengahnya mencecah USD 50,000 bagi sepucuk meriam. Meriam biasa boleh dibeli di bawah USD1,000. Rentaka tiruan dan replika juga diketahui wujud.[34]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.