Ijma' atau Ijmak ( إجماع ) dari segi makna bahasa adalah azam atau tekad.

Manakala dari segi istilah syara’ pula, Ijmak adalah kesepakatan yakni kesepakatan para ulama dalam menetapkan suatu hukum dalam agama Islam berasaskan Al-Quran dan Hadis tentang suatu perkara yang terjadi pada suatu masa setelah zaman Rasulullah S.A.W.

Kesepakatan Para Ulama

Ijmak tidak akan berlaku melainkan setelah adanya kesepakatan ulama yang berijtihad (mujtahidin) pada sesuatu zaman tanpa kecuali seorang pun dari kalangan mereka. Ini bermakna, jika seorang sahaja yang membangkang maka tidak dianggap ijmak. Para mujtahidin biasanya berselisih pendapat dalam sesuatu hukum, tetapi dalam sesuatu hukum tertentu, tidak seorang pun di kalangan mereka yang berbeza pendapat, maka terjadilah ijmak.

Dalam kitab Mirah al-Usul disebut “mestilah mendapat persetujuan seluruh para mujtahidin”. Ertinya jika seorang sahaja yang membangkang maka tidak dianggap ijma’. Bayangkan, para mujtahidin biasanya berkhilaf dalam sesuatu hukum syar`i tetapi dalam hukum berkenaan tidak seorang pun di kalangan mereka yang berkhilaf mengenainya.

Dalil Al-Quran

Salah satu dalil daripada Al-Quran mengenai ijmak sebagai sumber hukum yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. ” (Surah an-Nisa ayat 59)[1]

Rukun-Rukun Ijmak

Rukun-rukun ijmak menurut pendapat ulama’ usul fiqh adalah seperti berikut:-

  1. Harus ada beberapa orang mujtahid dikala terjadinya peristiwa dan para mujtahid itulah yang melakukan kesepakatan (menetapkan hukum peristiwa itu) Seandainya tidak ada beberapa orang mujtahid di waktu terjadinya suatu peristiwa tentulah tidak akan terjadi ijmak, kerana ijmak itu harus dilakukan oleh beberapa orang.
  2. Yang melakukan kesepakatan itu hendaklah seluruh mujtahid yang ada dalam dunia Islam. Jika kesepakatan itu hanya dilakukan oleh para mujtahid yang ada pada suatu tempat sahaja, maka kesepakatan yang demikian belum dapat dikatakan suatu ijmak.
  3. Kesepakatan itu harus dinyatakan secara tegas oleh setiap mujtahid bahawa ia sependapat dengan mujtahid-mujtahid yang lain tentang hukum (syara') dari suatu peristiwa yang terjadi pada masa itu. Jangan sekali-kali tersirat dalam kesepakatan itu unsur-unsur paksaan, atau para mujtahid yang diharapkan kepada suatu keadaan, sehingga ia harus menerima suatu keputusan.
  4. Kesepakatan itu dapat dilakukan dengan berbagai cara, seperti dengan pernyataan lisan, dengan perbuatan atau dengan suatu sikap yang menyatakan bahawa ia setuju atas suatu keputusan hukum yang telah disetujui oleh para mujtahid yang lain. Tentu saja keputusan yang terbaik ialah keputusan sebagai hasil suatu musyawarah yang dilakukan para mujtahid.
  5. Kesepakatan itu hendaklah merupakan kesepakatan yang bulat dari seluruh mujtahid. Seandainya terjadi suatu kesepakatan oleh sebahagian besar mujtahid yang ada, maka keputusan yang demikian belum pasti ke taraf ijmak. Ijmak yang demikian belum dapat dijadikan sebagai hujjah syariah.

Jenis-Jenis Ijmak

Dalam beberapa kitab usul fiqh terdapat beberapa jenis ijmak yang dihubungkan dengan masa terjadi, tempat terjadi atau orang yang melaksanakannya. Ijmak-ijmak itu adalah:

  1. Ijmak Sahabat - iaitu ijmak yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah.
  2. Ijmak Khulafaurrasyidin - iaitu ijmak yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar, Khalifah Utsman dan Khalifah Ali bin Abi Thalib. Tentu saja hal ini hanya dapat dilakukan pada masa keempat orang itu hidup, iaitu pada masa Khalifah Abu Bakar. Setelah Abu Bakar meninggal dunia ijmak tersebut tidak dapat dilakukan lagi.
  3. Ijmak Shaikhan - iaitu ijmak yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar bin Khattab.
  4. Ijmak ahli Madinah - iaitu ijmak yang dilakukan oleh ulama-ulama Madinah. Ijmak ahli Madinah merupakan salah satu sumber hukum Islam menurut Mazhab Maliki, tetapi Mazhab Syafie tidak mengakuinya sebagai salah satu sumber hukum Islam.
  5. Ijmak ulama Kufah - iaitu ijma' yang dilakukan oleh ulama-ulama Kufah. Mazhab Hanafi menjadikan ijmak ulama Kufah sebagai salah satu sumber hukum Islam.

Perkara Berlakunya Ijmak

Ijmak ini berlaku atas ijtihad-ijtihad yang sepakat atas semua peristiwa atau kejadian yang tidak ada dasarnya secara jelas dalam Al-Quran dan Hadis, peristiwa atau kejadian yang berhubungan dengan ibadat yang tidak langsung ditujukan kepada Allah S.W.T seperti sistem pendidikan, pemerintahan, politik, ekonomi, ketenteraan, kemasyarakatan atau semua hal-hal yang berhubungan dengan urusan duniawi tetapi tidak ada hukumnya dengan jelas dalam Al-Quran dan Hadis.

Contoh-Contoh Ijmak

  • Ijmak Sahabat tentang pemerintahan. Wajib hukumnya mengangkat seorang imam atau khalifah untuk menggantikan Rasulullah dalam mengurusi urusan Daulah Islamiyah yang menyangkut urusan agama dan dunia yang disepakati oleh para Sahabat di Saqifah Bani Sa’idah.

Lihat juga

Nota kaki

Rujukan

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.