Pembasmian kaum
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pembasmian kaum (Jawi: ڤمبسمين قومcode: ms is deprecated , juga genosid) ialah satu bentuk jenayah yang bertujuan untuk menghapuskan kewujudan sesuatu kelompok manusia.[lower-alpha 1] Pada lazimnya istilah ini merujuk kepada tindakan pembasmian kaum tertentu yang terancang dan berorganisasi.
Pada tahun 1948, Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendefinisikan pembasmian kaum sebagai mana-mana daripada lima "perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, sama ada sepenuhnya atau sebahagian, kelompok bangsa, etnik, kaum atau agama". Lima perbuatan ini ialah: membunuh ahli kelompok, menyebabkan mereka cedera parah secara fizikal atau mental, menyebabkan beban kehidupan yang bertujuan untuk memusnahkan kelompok itu, menghalang kelahiran, dan memindahkan kanak-kanak keluar dari kelompok tersebut secara paksa. Mangsa disasarkan kerana keahlian mereka—tidak mengira jika ia sahih atau hanya nampak begitu—dengan suatu kelompok, bukan secara rawak.[1]
Pasukan Tugas Ketidakstabilan Politik menganggarkan bahawa terdapat 43 genosid yang berlaku antara tahun 1956 hingga 2016, menyebabkan kira-kira 50 juta kematian.[2] UNHCR menganggarkan bahawa sekitar 50 juta orang telah dipindahkan akibat episod keganasan sebegini sehingga tahun 2008.[2] Genosid, terutamanya genosid berskala besar, dianggap secara meluas sebagai tahap kejahatan manusia yang terparah.[3] Sebagai satu label, ia kontroversial kerana ia bersifat moralistik,[4] dan telah digunakan sebagai jenis kategori moral sejak akhir tahun 1990-an.[5]
Istilah "genosid" juga boleh dilanjutkan ke dalam konteks budaya ("genosid budaya") yang merujuk kepada sesuatu tindakan menghapuskan sesuatu peradaban dengan melarang penggunaan bahasa daripada sesebuah kelompok atau suku, mengubah atau menghancurkan sejarahnya atau menghancurkan simbol-simbol peradabannya.