Gebhard Leberecht von Blücher
From Wikipedia, the free encyclopedia
Gebhard Leberecht von Blücher, Fürst von Wahlstatt (Sebutan bahasa Jerman: [ˈɡɛphaɐ̯t ˈleːbəʁɛçt fɔn ˈblʏçɐ]; 16 Disember 1742 – 12 September 1819), Graf (count), kemudian dinaikkan ke Fürst (putera raja) von Wahlstatt, adalah seorang Generalfeldmarschall (Fil Marsyal) Prusia. Beliau memperolehi pengiktirafan terbesar selepas memimpin tenteranya menentang Napoleon I dalam Pertempuran Antara Negara di Leipzig pada tahun 1813 dan Pertempuran Waterloo pada tahun 1815.
Fil Marsyal Gebhard Leberecht von Blücher | |
---|---|
Nama samaran | Marschall Vorwärts |
Kelahiran | (1742-12-16)16 Disember 1742 Rostock, Duchy of Mecklenburg-Schwerin |
Meninggal dunia | 12 September 1819(1819-09-12) (umur 76) |
Kesetiaan | Sweden Prusia |
Perkhidmatan | Tentera Darat Prusia |
Tahun perkhidmatan | 1758–1815 |
Pangkat | Generalfeldmarschall |
Pertempuran | Perang Tujuh Tahun Perang Revolusi Perancis Perang Napoleon |
Anugerah | Star of the Grand Cross of the Iron Cross Pour le Mérite Iron Cross Order of St. George Military William Order |
Blücher telah dilahirkan di Rostock, anak seorang kapten bersara tentera darat. Kerjaya tenteranya bermula pada tahun 1758 sebagai seorang Hussar didalam Tentera Darat Sweden. Beliau telah ditangkap oleh tentera Prusia pada tahun 1760 semasa Kempen Pomerania dan selepas itu menyertai Tentera Darat Prusia, berkhidmat sebagai pegawai hussar untuk Prusia semasa Perang Tujuh Tahun. Pada tahun 1773, Blücher telah dipaksa berhenti oleh Frederick Agung kerana mengingkari arahan. Beliau bekerja sebagai seorang petani sehingga kematian Frederick pada tahun 1786, apabila Blücher dikembalikan jawatan dan dinaikkan pangkat ke Kolonel. Untuk kejayaannya didalam Perang Revolusi Perancis, Blücher menjadi Mejar Jeneral pada tahun 1794. Beliau menjadi Leftenan Jeneral pada tahun 1801 dan memerintah sebuah kor kavalri semasa Perang Napoleon pada tahun 1806.
Perang sekali lagi meletus antara Prusia dan Perancis pada tahun 1813 dan Blücher kembali aktif bertugas pada usia 71 tahun. Beliau telah dilantik jeneral penuh kepada angkatan perang Prusia dan bertembung dengan Napoleon dalam Pertempuran Lützen dan Pertempuran Bautzen. Beliau kemudian memperolehi kemenangan kritikal ke atas Perancis dalam Pertempuran Katzbach. Blücher memerintah Tentera Prusia dari Silesia dalam Pertempuran Antara Negara dimana Napoleon telah dikalahkan dengan muktamad. Untuk peranan ini, Blücher telah dianugerahkan pangkat Fil Marsyal dan menerima gelaran Putera Wahlstatt. Selepas Napoleon kembali pada tahun 1815, Blücher mengambil alih Tentera Prusia Rhine Atas dan menyelaras pasukannya bersama dengan pasukan British dan pasukan Bersekutu dibawah Duke Wellington. Di Pertempuran Ligny, beliau mendapat kecederaan parah dan pihak Prusia berundur. Selepas pulih, Blücher kembali memerintah dan menyertai Wellington dalam Pertempuran Waterloo, dengan campur tangan tentera Blücher ini telah memainkan satu peranan penting dalam kemenangan akhir pihak Bersekutu.
Blücher telah dijadikan warga kehormat Berlin, Hamburg dan Rostock. Terkenal dengan personalitinya yang berapi-api, beliau digelar Marschall Vorwärts ("Marsyal Kedepan") oleh askar-askarnya kerana pendekatan agresifnya dalam peperangan. Bersama dengan Paul von Hindenburg, beliau merupakan perajurit Prusia-Jerman yang menerima pingat tertinggi dalam sejarah: Blücher dan Hindenburg adalah satu-satunya pegawai tentera Jerman yang dikurniakan pingat Star of the Grand Cross of the Iron Cross.